UMUM

20-JUN-2023

Kesalahan Manipulasi Pasaran Saham


 


Pasaran saham merupakan tempat untuk membeli dan menjual saham syarikat yang tersenarai. Secara umumnya, pasaran saham berfungsi dengan adil dan teratur berdasarkan penawaran dan pemintaan yang seimbang. Namun, terdapat beberapa situasi di mana sesetengah pihak cuba melakukan aktiviti manipulasi pasaran saham yang boleh merugikan para pelabur. 

content thumbnail

Manipulasi pasaran saham merujuk kepada tindakan suatu individu atau kumpulan yang mempengaruhi harga saham secara buatan untuk memperoleh keuntungan peribadi. Perbuatan ini sememangnya menyalahi undang-undang di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dikenakan tindakan penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM 1 juta. Boleh rujuk senarai kes atau ilustrasi manipulasi pasaran saham yang pernah berlaku di pasaran Bursa Malaysia di sini

Antara aktiviti manipulasi pasaran saham yang kerap digunakan oleh para pelabur ialah aktiviti 'pump and dump' dan 'price leading'. 

Pump-and-dump

Aktiviti pump-and-dump merujuk kepada manipulasi terancang yang dilakukan oleh golongan individu atau sekumpulan orang berkepentingan yang cuba untuk meningkatkan harga saham atau sekuriti sebelum harga saham tersebut mengalami penurunan yang sangat drastik. Golongan yang terlibat dalam aktiviti ini biasanya telah membeli saham pada harga yang lebih rendah dalam jumlah unit saham yang besar. 

Modus operandi yang biasa dilakukan adalah mereka akan menyebarkan maklumat dan kenyataan palsu melalui platform media sosial, emel, panggilan atau aplikasi pesanan mesej yang boleh menarik minat sesetengah pelabur yang tidak curiga untuk membeli saham tersebut. Mereka juga akan cuba untuk menyebarkan maklumat seperti perkembangan dan prospek positif bagi sesuatu saham untuk menambahkan lagi keyakinan para pelabur. 

Apabila pelabur-pelabur ini telah membeli saham tersebut, ia akan menyebabkan harga saham meningkat secara signifikan dan pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada golongan berkepentingan untuk menjual semua unit saham yang dipegang untuk meraih keuntungan. Hal ini akan menyebabkan para pelabur yang telah membeli saham pada harga yang tinggi mengalami kerugian. 

corak carta pump and dump

Contoh corak carta yang terlibat dalam pump-and-dump

Price leading

Aktiviti price leading pula merupakan aktiviti manipulasi yang hampir sama dengan aktiviti pump-and-dump namun terdapat sedikit perbezaan seperti golongan yang terlibat dan cara pelaksanaannya. Golongan yang terlibat biasanya merupakan golongan individu dan mereka tidak terlalu bergantung kepada golongan berkepentingan lain untuk meningkatkan harga saham. Hal ini demikian kerana golongan ini cuba untuk memperoleh keuntungan peribadi dalam masa yang singkat.

Dagangan yang dilakukan oleh mereka mungkin tampak seperti dagangan normal namun aktiviti ini boleh dikesan melalui corak dagangan harian yang dilakukan. Sebagai contoh, mereka melakukan dagangan belian saham yang sama dalam kuantiti unit kecil secara berturut-turut dalam tempoh masa yang pendek. Kemudian, mereka akan mencuba untuk menjual semua unit pegangan saham tersebut dalam kuantiti unit yang besar secara sekaligus yang boleh menyebabkan harga saham tersebut meningkat secara mendadak dalam tempoh masa yang sama.

Berikut merupakan contoh dagangan transaksi yang dilakukan yang boleh dikesan sebagai aktiviti price leading.

corak carta pump and dump

Jika dilihat dalam senario di atas, impak yang boleh berlaku terhadap harga saham mungkin tidak sebesar dengan impak daripada aktiviti pump and dump. Namun, jika aktiviti ini turut dilakukan oleh pelabur-pelabur individu lain, ia mungkin boleh memberikan kesan manipulasi yang tinggi terhadap perubahan harga saham dalam tempoh masa tersebut. 

Cara mengenali saham yang mudah dimanipulasi

Dunia pasaran saham tidak akan terlepas daripada aktiviti-aktiviti di atas. Sebagai seorang pelabur, anda perlu mengenali ciri-ciri saham yang mudah dimanipulasi untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam situasi di atas. Ciri-ciri tersebut adalah seperti di bawah:

Kesimpulan

Selain meningkatkan ilmu pelaburan saham, para pelabur perlu bijak dalam melakukan keputusan pelaburan bagi sesuatu saham untuk melindungi diri daripada terlibat dengan situasi di atas. Kesalahan manipulasi pasaran saham merupakan salah satu kesalahan yang boleh berlaku dalam pasaran. Namun, terdapat kesalahan lain yang boleh berlaku seperti dagangan palsu dan dagangan dalaman. Boleh rujuk blog ini untuk bacaan lanjut. 


< kembali ke laman blog utama