ASAS

25-JAN-2022

Salah Laku dalam Pasaran Mengikut Akta 671


 


Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan semestinya mempunyai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi. Sebagai contoh, jika kita hendak memandu di jalan raya, kita haruslah mengikut peraturan lalu-lintas seperti memandu mengikut had laju yang ditetapkan, tidak melanggar lampu isyarat, dan memakai tali pinggang keledar.

Antara peraturan jalan raya yang perlu dipatuhi.

Pasaran saham Bursa Malaysia juga mempunyai peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk para pelabur. Setiap peraturan yang ditetapkan adalah untuk mengelakkan pasaran menjadi huru-hara, dimanipulasi atau berat kepada pihak-pihak berkepentingan sahaja.

Badan yang bertanggungjawab

Di Bursa Malaysia, industri sekuriti dikawal selia oleh Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) iaitu Akta 671, sebuah akta yang menggabungkan Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993. Tujuan akta CMSA dikeluarkan adalah untuk mengawal selia hal berkaitan aktiviti, pasaran dan pengantara dalam pasaran modal.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Mereka bertanggungjawab untuk mentadbir CMSA. Antara fungsi SC adalah mengawal selia hal berkaitan sekuriti dan derivatif, memastikan undang-undang berkenaan sekuriti serta menguruskan hal ehwal berkaitan seperti pemberian lesen dan memberi kebenaran kepada individu-individu tertentu.

Secara ringkasnya, SC bertanggungjawab untuk membuat dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan pasaran modal, memastikan pertumbuhan dan pembangunan pasaran, menyelia aktiviti pasaran modal dan institusi pasaran, rumah penjelasan dan pengendali pasaran berdaftar, dan mengawal selia semua entiti dan individu yang berlesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. SC juga perlu melapor kepada Menteri Kewangan.

Salah laku dalam pasaran berdasarkan CMSA

Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 digubal untuk mengawal selia perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti, pasaran dan pengantara dalam pasaran modal.

Antara peraturan berkaitan dagangan yang sering kita dengari adalah seperti berikut:

1. Seksyen 175 CMSA - Dagangan Palsu/ Penipuan Pasaran

Dagangan palsu atau false trading berlaku apabila harga dimanipulasi dan seterusnya memberi maklumat yang mengelirukan pasaran. Pasaran kemudiannya akan dicemari oleh perubahan yang tidak menentu kerana nilai sebenar pasaran dikaburkan oleh maklumat yang salah.

Perkara ini terjadi apabila terdapat transaksi berpadanan di mana pembeli dan penjual adalah sama. Hal ini berlaku apabila individu tertentu membuat dagangan dengan diri sendiri menggunakan akaun Sistem Pendepositan Berpusat (CDS) menggunakan broker yang berlainan atau melakukan transaksi di dalam kumpulan tertentu. Dalam erti kata lain, telah berlakunya pertukaran tangan, tetapi tiada pertukaran pemilikan.

Situasi ini juga dinamakan No Change in Beneficial Owner (NCBO), iaitu sejenis transaksi yang dilarang sama sekali.

2. Seksyen 176 CMSA - Manipulasi Pasaran Saham

Manipulasi pasaran saham ialah suatu tindakan yang boleh menggerakkan harga sekuriti bagi sesuatu syarikat. Tindakan ini dilakukan untuk mempengaruhi orang ramai untuk membeli atau menjual sekuriti syarikat tersebut.

Antara contoh manipulasi pasaran saham adalah 'pump and dump', dan kebiasaannya dilakukan terhadap syarikat-syarikat kecil yang mudah dimanipulasi.

Contoh carta pump and dump

3. Seksyen 188 CMSA - Dagangan Dalaman

Dagangan dalaman ataupun insider trading adalah apabila seseorang yang mempunyai maklumat sulit yang boleh mempengaruhi harga sekuriti sesuatu syarikat, membeli atau menjual sekuriti syarikat tersebut.

Dagangan dalaman adalah tidak dibenarkan sama sekali kerana ia akan memberi kelebihan terhadap pihak tertentu sahaja. Justeru, menyebabkan ketidakadilan dalam pasaran.

Hukuman terhadap salah laku dalam pasaran

Menurut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, bagi kesalahan mengikut seksyen 175 dan 176 pelaku akan dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada 1 juta ringgit.

Manakala bagi kesalahan mengikut seksyen 188, jika disabitkan, pelaku juga akan dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada 1 juta ringgit.

Kesimpulan

Peraturan dicipta sebagai satu garisan yang perlu dipatuhi demi memastikan sesuatu perkara lebih teratur dan tidak berpihak kepada individu atau organisasi tertentu. Oleh itu, jika kita ingin memasuki pasaran, kita seharusnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Elakkan membuat perkara yang menyalahi undang-undang jika anda tidak boleh menanggung akibatnya. Jangan nanti apabila sudah terhantuk, baru tengadah.


< kembali ke laman blog utama