UMUM

27-JUN-2021

Kebangkitan Ekonomi Negara 4 Harimau Asia


 


Selepas berakhirnya konflik Perang Dunia II dan Perang Korea, negara yang terlibat mula bergelut untuk mengatasi masalah ekonomi dan membangunkan semula negara selepas berlakunya kemusnahan dalam peperangan. Dari segi sudut positif, pembukaan semula pintu sempadan telah dilaksanakan antara negara yang telah memberi peluang aktiviti perdagangan dan teknologi berkembang secara meluas serta mengurangkan jurang ketidaksetaraan ekonomi antara negara.

Umumnya, menjelang tahun 1980-an telah munculnya beberapa buah negara yang pesat membangun dari segi pertumbuhan ekonomi sehingga digelar sebagai 4 Harimau Asia. Pertumbuhan ini telah menyebabkan negara ini telah berubah daripada ekonomi sara diri kepada ekonomi perindustrian. Gelaran ini telah diberikan kepada 4 buah negara iaitu Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong.

imej ekonomi 4 harimau asia isaham

1. Korea Selatan

*Berdasarkan data statistik tahun 2020
Nilai GDP USD 1.59 trilion
GDP per Kapita USD 30,640
Kadar Pertumbuhan -1.9%
Populasi 51.8 juta penduduk

Pada suatu ketika dahulu, Korea Selatan sebuah negara yang menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber ekonomi utama. Negara ini bergelut untuk membangunkan semula ekonomi selepas berakhirnya peperangan "Korea War" pada lewat tahun 1953. Hal ini menyebabkan Korea Selatan dikategorikan sebagai negara termiskin di dunia selama sedekad.

Sampai satu tahap GDP per kapita negara ini adalah USD 79 pada tahun 1960. Namun segalanya berubah selama 4 dekad apabila Korea Selatan mula melibatkan diri dalam ekonomi perindustrian seperti elektronik dan pembangunan perisian, automotif dan lain-lain.

Peningkatan ini didorong oleh galakan kerajaan terutamanya terhadap struktur perniagaan syarikat konglomerat Chaebol seperti Hyundai, Samsung dan LG Corporation. Galakan ini meliputi pelepasan cukai, kemudahan pinjaman kewangan bank dan lain-lain. Kini, Korea Selatan merupakan kuasa besar dalam dunia elektronik, automatif dan pembuatan kapal.

hyundai kia motors
Gambar: autonews.com

2. Taiwan

*Berdasarkan data statistik tahun 2020
Nilai GDP USD 660 bilion
GDP per Kapita USD 28,180
Kadar Pertumbuhan 2.5%
Populasi 23.6 juta penduduk

Taiwan merupakan sebuah negara kepulauan di Asia Timur yang bersempadan dengan China dan Hong Kong. Sebelum dan semasa berlakunya Perang Dunia II negara ini telah diperintah oleh pemerintahan Jepun. Jepun pada ketika itu telah membawa perubahan terhadap sektor awam dan swasta seperti meningkatkan komunikasi, mewujudkan infrastruktur pengangkutan dan menerapkan bidang pendidikan kepada penduduk Taiwan.

Pada tahun 1950, apabila tercetusnya Perang Korea, Amerika Syarikat telah memberi dorongan ekonomi melalui program Suruhanjaya Bersama Pembangunan Semula Luar Bandar yang menjadikan sektor pertanian sebagai asas pertumbuhan ekonomi. Pada tahun 1962, GDP per kapita Taiwan pada ketika itu mencatatkan USD 170 berbanding pada tahun 2020 sebanyak USD 28,180.

Perubahan ini disebabkan dasar dan polisi "Sepuluh Projek Pembinaan Utama" yang dilaksanakan oleh Chiang Ching-kuo merupakan Presiden Taiwan pada ketika itu. Dasar ini telah mengubah ekonomi Taiwan secara drastik yang mula melibatkan diri dalam perdagangan eksport dan import. Mulai tahun 1990-an pelbagai syarikat teknologi yang berpusat di Taiwan mula melebarkan sayap pasaran ke seluruh dunia. Antaranya, Acer Inc, Asus, Foxconn dan HTC. Foxconn merupakan syarikat pembuatan elektronik yang mengeluarkan produk kepada Blackberry, Apple, Nokia, Nintendo, Xbox, dan lain-lain.

taiwan taipei 101
Bangunan Taipei 101 memegang rekod dunia pencakar langit dari tahun 2004 sehingga 2010. Gambar: designbuild-network.com

3. Singapura

*Berdasarkan data statistik tahun 2020
Nilai GDP USD 340 bilion
GDP per Kapita USD 58,480
Kadar Pertumbuhan -6%
Populasi 5.8 juta penduduk

Singapura merupakan sebuah negara yang terkecil di rantau Asia Tenggara berkeluasan 728.3 km2. Walaupun negara ini kecil dan tidak mempunyai sumber alam semula jadi, namun Singapura adalah sebuah kota metropolitan yang memainkan peranan utama dalam dunia perdagangan dan kewangan antarabangsa. Kini Singapura adalah pelabuhan entrepot kedua tersibuk di dunia yang menguruskan sekitar 38.0 juta TEU dan 626.2 juta kargo pada tahun 2019.

Perubahan ini bermula selepas Perdana Menteri Singapura pada ketika itu, Lee Kuan Yew menerapkan beberapa dasar ekonomi untuk meningkatkan sektor pembuatan negara. Antaranya, beberapa kawasan perindustrian ditubuhkan dengan memberi galakan insentif cukai kepada pelaburan asing.

Pada tahun 2020, Singapura mencatatkan kadar pelaburan asing sebanyak USD 1,912 trilion. Peningkatan ini menyebabkan Singapura negara kelima di dunia menerima kemasukan kadar pelaburan asing tertinggi selepas Amerika, China, Belanda dan Hong Kong.

singapore marina
Gambar: cio.com

4. Hong Kong

*Berdasarkan data statistik tahun 2020
Nilai GDP USD 340 bilion
GDP per Kapita USD 45,180
Kadar Pertumbuhan 2.9%
Populasi 7.6 juta penduduk

Hong Kong merupakan negara pertama berkembang terlebih dahulu dalam kalangan negara 4 Harimau Asia yang bermula pada tahun 1950-an. Sebelum berlakunya revolusi perindustrian, Hong Kong mendapat permintaan terutamanya melibatkan industri kapas dan kain.

Pada tahun 1949, negara ini diletakkan sebagai wilayah pentadbiran khas (SAR) di China sehingga tahun 2047 yang mempunyai kebebasan dalam menentukan hala tuju dan dasar ekonomi tanpa dipengaruhi keputusan daripada China. Sepanjang pembangunan ekonomi dilaksanakan pada tahun 1961 sehingga 1997, GDP Hong Kong telah meningkat 180 kali ganda yang telah menjadikannya salah satu negara terkaya di dunia.

Faktor peningkatan ini disebabkan insentif cukai terhadap pelaburan asing dan upah yang murah terhadap tenaga buruh. Insentif ini telah menarik ramai syarikat tidak kira bersaiz sederhana dan besar melabur pelaburan di kawasan bandar. Tidak hairanlah, bandar Hong Kong mempunyai pelbagai bangunan pencakar langit dan pelabuhan ke-4 tersibuk di dunia yang terletak berhampiran Victoria Harbour.

hong kong victoria harbour
Gambar: bbc.com

Faktor Perubahan Revolusi Industri

Jika dilihat secara keseluruhannya, 4 harimau Asia ini terus berdaya saing dengan mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi sejak 1960-an. Singapura dan Hong Kong dilihat sebagai hub dalam perkhidmatan kewangan antarabangsa serta perdagangan eksport dan import .

Manakala Taiwan dan Korea Selatan menjadi pelopor dalam pembuatan komponen elektronik, semikonduktor dan komputer. Pertumbuhan ekonomi ini dijadikan sebagai suri teladan dan inspirasi bagi negara yang sedang membangun, terutamanya ekonomi Tiger Cub Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand dan Vietnam. Faktor perubahan ini disebabkan revolusi dan dasar yang dijalankan:

Rujukan


< kembali ke laman blog utama