AGM

13-FEB-2020

Inta Bina: Rakan Pembinaan Dipercayai untuk Pemaju Terkemuka


 


Inta Bina merupakan kontraktor bangunan dengan lebih 30 tahun sejarah operasi dalam industri pembinaan di Malaysia. Jenis pembinaan yang dijalankan adalah berbentuk bangunan kediaman sama ada bangunan binaan tinggi (high rise) atau binaan rendah (low rise), kilang, lot kedai dan clubhouse. Portfolio projek mereka diisi dengan pelbagai projek yang diberi oleh pemaju-pemaju terkemuka seperti Eco World, Gamuda, UEM Land, Mah Sing dan sebagainya.

inta bina client Gambar: Inta Bina

Syarikat ini mempunyai struktur korporat yang ringkas dan mudah difahami. Inta Bina Group Berhad merupakan syarikat pemegang kepada Inta Bina Sdn Bhd yang menjalankan operasi syarikat sebagai kontraktor utama pembinaan. Operasi yang dijalankan hanya ditumpukan kepada pembinaan kediaman dan industri, serta kerja-kerja infrastruktur dalam projek yang dijalankan.

Sejarah Inta Bina

Syarikat ini asalnya adalah milik keluarga pengarah syarikat sendiri, iaitu Lim Ooi Joo. Beliau memasuki syarikat ini setelah mengumpul pengalaman kira-kira 10 tahun dalam bidang pembinaan. Setelah hampir 30 tahun, syarikat ini mencapai IPO dalam pasaran ACE pada tahun 2017. Setahun selepas tersenarai dalam Bursa Malaysia, mereka memasuki pasaran utama Bursa.

Prestasi pembinaan

inta bina qlassic cidb award Antara anugerah yang diterima

Inta Bina mempunyai rekod yang baik dalam portfolio pembinaan di bawah seliaan mereka. Kerja mereka dinilai mengikut pemarkahan CONQUAS dan QLASSIC. CONQUAS merupakan badan autoriti pembinaan dari Singapura dan purata Inta Bina untuk pemarkahan ini adalah atas purata. QLASSIC pula adalah penilai kualiti pembinaan dari CIDB dan memberikan purata sebanyak 80% kepada pembinaan Inta Bina.

Kedudukan kewangan dan Gearing Ratio

Sebelum IPO pada tahun 2017, Inta Bina telah pun mendapat projek yang banyak. Dalam masa yang sama, liabiliti hutang yang ditanggung berada pada paras yang tinggi menyebabkan pinjaman bank menjadi sukar untuk diluluskan. Situasi ini sebenarnya agak biasa untuk syarikat pembinaan yang mendapat projek yang banyak.

Selepas Inta Bina mendapat dana IPO, sebahagian hutang dengan bank telah dibayar dan menjadikan gearing ratio berkurang sehingga 0.28 setakat laporan kewangan terkini. Dengan gearing ratio yang rendah, mereka boleh mendapatkan pinjaman bank dengan mudah sekiranya mendapat projek pembinaan yang baru.

inta bina client

Pemerhatian dalam industri pembinaan

Syarikat pembinaan berbeza dengan syarikat pemaju. Pemaju merupakan pihak yang membeli tanah dan membuat pelan pembangunan hartanah. Syarikat pembinaan atau kontraktor pula akan mendapat upah untuk menjalankan pembinaan yang telah dirancang. Untuk mendapatkan kontrak pembinaan ini, mereka perlu menghantar tender ataupun sebut harga untuk projek yang ingin disertai.

Dalam pasaran yang bersaing tinggi ini, semua peserta tender ingin mendapatkan kontrak kerja. Ada yang sanggup menyerahkan tender di bawah harga pasaran hanya untuk mendapatkan projek. Namun syarikat yang lebih berpengalaman dan berada pada kedudukan yang baik akan lebih berhati-hati untuk memilih projek yang dapat memberikan keuntungan kepada syarikat.

Realitinya, banyak projek telah diumumkan oleh pemaju untuk proses sebut harga. Namun, pemaju juga akan berhati-hati dalam meluluskan projek untuk diteruskan. Hanya projek-projek yang dinilai akan terjual akan diluluskan. Maka situasi ini juga menyebabkan kontraktor menjadi lapar untuk projek.

Kos tinggi untuk operasi yang tersusun

Sesebuah projek perumahan terutamanya bangunan binaan tinggi memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding bangunan binaan rendah. Namun untuk sesebuah projek dengan nilai yang sama, sebanyak (lebih kurang) 3 projek binaan rendah diperlukan untuk mencapai nilai yang sama untuk projek binaan tinggi.

Inta Bina lebih gemar berurusan untuk satu projek bernilai tinggi berbanding 3 projek untuk nilai yang sama. Dengan cara ini, operasi boleh ditumpukan di satu tempat sahaja, dan tidak perlu berurusan dengan beberapa klient dalam satu masa. Ia juga menjimatkan kos dari segi penghantaran dan pembelian bahan binaan kerana berada di satu tempat yang tetap dan bahan binaan boleh dibeli secara pukal. Penggunaan kren dalam satu tempat juga mengurangkan jentera dan tenaga manusia yang diperlukan untuk menyiapkan sesebuah projek.

Prestasi kewangan Inta Bina

inta bina financial highlight

Penunjuk kewangan untuk syarikat Inta Bina mencatatkan perkembangan yang positif untuk kebanyakan aspek. Pendapatan syarikat bertambah sebanyak 32% berbanding tahun lepas iaitu dari RM 290.2 juta kepada RM 383.1 juta pada tahun 2019.

Keuntungan bersih syarikat juga meningkat setara dengan pendapatan yang dijana kepada RM 21.2 juta pada tahun ini. Margin keuntungan sebanyak 5.83% adalah lebih tinggi dari purata prestasi pemain syarikat pembinaan di Malaysia. Secara keseluruhan, angka-angka ini menunjukkan petanda yang sihat kepada operasi syarikat berbanding pemain yang lain dalam sektor pembinaan.

Memandang ke hadapan

Pihak pengurusan Inta Bina menyatakan pandangan yang optimis terhadap masa depan syarikat. Setakat Disember 2018, nilai buku pesanan yang belum tertunai (unbilled order book) adalah sebanyak RM 650 juta. Nilai ini boleh menjadikan mereka sibuk dengan kerja selama 2 tahun. Tambahan pula, terdapat tiga lagi kontrak baru yang diterima pada tahun 2019 yang bernilai sehingga RM 331 juta. Ini menambahkan lagi kekuatan operasi mereka untuk beberapa tahun lagi.

Perkara yang perlu diketahui juga tentang syarikat ini adalah mereka tidak memasuki dalam bisnes yang memberikan keuntungan yang tinggi, namun boleh memberikan pulangan yang stabil. Dari perspektif pelabur, anda boleh jangkakan pergerakan yang tidak begitu drastik kepada harga saham. Namun, ianya saham yang boleh dipantau sekiranya sektor pembinaan mendapat rentaknya.


< kembali ke laman blog utama