AGM

1-SEP-2019

George Kent, Meter Air dan Projek Kereta Api Berpisah Tiada


 


George Kent (Malaysia) Berhad ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1936 sebagai cawangan kepada syarikat induk pada masa itu, George Kent Ltd United Kingdom. Syarikat induk ini nampaknya sudah pun tak wujud, maka George Kent (Malaysia) adalah badan organisasi tempatan yang mampu membuat keputusan untuk mereka sendiri. Kini, George Kent adalah syarikat kejuruteraan yang mantap, yang terlibat dalam inftastruktur air, pengangkutan kereta api dan juga pembinaan hospital.

George Kent facility Gambar: George Kent

Tan Kay Hock dan Najib Razak

Tan Sri Dato' Tan Kay Hock merupakan pengarah di George Kent dengan pegangan terbesar sebanyak 39.15%. Pegangan ini termasuk milikan peribadi dan juga melalui Johan Equities Sdn Bhd dan pelbagai lagi syarikat Holdings Limited yang menjadi pemegang saham kepada George Kent. Tan Kay Hock ni merupakan golf buddy kepada bekas perdana menteri, Dato' Seri Najib Razak. Kita dapat lihat lepas daripada pertukaran kerajaan, saham syarikat ini jatuh teruk. Jadi itu adalah antara cerita berkaitan politik dalam syarikat ni, kita tengok pula apa aktiviti dan potensi syarikat.

Khidmat yang ditawarkan oleh George Kent

Meter Air

Produk yang paling sinonim dengan George Kent ialah meter air yang telah pun dijalankan lebih 80 tahun yang lalu. Mereka memiliki kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis meter air sama ada perumahan, komersial mahupun industri. Kapasiti pengeluaran mereka untuk produk ini adalah 2.5 juta setahun, dan pendapatan untuk segmen menyumbang sebanyak RM133.1 juta untuk tahun kewangan 2019. Meter air ini juga dibekalkan ke lebih 40 buah negara seluruh dunia. Terkini, teknologi terbaru mereka smart metering technology kini berada dalam fasa percubaan dan akan mula dikomersialkan pada tahun ini.

Kejuruteraan

Segmen kejuruteraan dalam portfolio George Kent terdiri daripada jalan kereta api (rail), hospital dan infrastruktur air. George Kent mula terlibat dalam projek sambungan laluan untuk LRT pada tahun 2012 yang menyambungkan Sri Petaling ke Putra Heights. Kini, projek yang sedang berjalan untuk projek rail adalah MRT2 dan LRT3. Kerja-kerja yang terlibat dalam segmen rail ini adalah pemasangan trek, pentauliahan sistem kawalan tren dan juga engineering, procurement, construction, testing and commissioning.

hospital endokrin Hospital Endokrin Putrajaya

Dalam bahagian hospital, pada tahun 2016 mereka berjaya memenangi tender untuk reka dan bina dua buah hospital iaitu Hospital Tanjung Karang dan Hospital Endokrin Putrajaya. Pembinaan dua buah hospital ini dilaporkan berjalan mengikut jadual untuk disiapkan pada tahun 2020.

George Kent juga merupakan pemain infrastruktur air yang agak senior iaitu selama 30 tahun. Di luar Malaysia, mereka mempunyai ekuiti dalam konsesi air PNG Water Limited di Papua New Guinea. Di sini, mereka mengendali loji rawatan air Mount Eriama yang menghantar 184 juta liter air sehari ke kawasan Port Moresby.

Tinjauan ekonomi kepada bisnes

Ekonomi Malaysia pada tahun 2018 terus memberi cabaran kepada syarikat yang terlibat dalam projek besar kerajaan. GDP dari 5.7% pada tahun 2017 berkurang kepada 4.7% pada 2018. Semua sektor kecuali perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan berdasarkan tahun ke tahun. Kedudukan kerajaan baru membawa kepada pengurangan kos perbelanjaan kerajaan yang mengakibatkan pemansuhan, penangguhan atau tawaran semula projek besar.

LRT Gambar: George Kent

Antara projek yang melibatkan George Kent adalah LRT3, di mana usaha sama antara mereka dengan MRCB ditukar daripada Project Delivery Partner kepada kontraktor. Kontrak untuk projek ini bernilai RM 11.4 bilion, dan kerja pembinaan dijangka bersambung pada lewat tahun 2019. Projek MRT2 yang dijalankan dengan usaha sama CCCC mengalami pengurangan kos sebanyak RM 3.6 bilion untuk kerja bawah tanah. Namun kontrak yang dianugerahkan oleh MRT Cort pada Ogos 2016 berjalan seperti perjanjian asal.

Perjanjian dengan Honeywell dan pengembangan bahagian meter air

Buat masa ini, meter air yang dibekalkan oleh George Kent tidak dibuat sepenuhnya oleh mereka sendiri. Sebahagian komponen perlu ditempah dari luar untuk dipasang di kilang mereka. Oleh itu, mereka telah menandatangani perjanjian jangka masa panjang dengan Honeywell untuk teknologi pembuatan jitu. Ini membolehkan kawalan yang lebih baik kepada kualiti dan stok yang dipegang. Perjanjian ini juga membolehkan George Kent jual produk mereka ke 15 kawasan baru di rantau Asia.

George Kent water meter

Buat masa ini, bahagian meter air menyumbangkan sebanyak 20% kepada keseluruhan keuntungan George Kent. Mereka kini menyasarkan angka yang lebih tinggi iaitu 50% dalam jangka masa pendek dan 75% jangka masa panjang. Ini adalah berikutan kelembapan industri pembinaan jalan kereta api tempatan.

Prestasi kewangan 2019

Pendapatan George Kent buat tahun 2019 dicatatkan pada RM432 juta, berkurang sebanyak 30% daripada tahun 2018. Keuntungan sebelum cukai pula adalah pada RM128 juta, berkuran sebanyak 20% daripada tahun sebelumnya. Seperti yang telah dinyatakan oleh George Kent, pengurangan ini adalah disebabkan cabaran dalam bisnes terutamanya bahagian pembinaan yang melibatkan projek yang ditangguhkan.

Walaupun kelihatan tak begitu banyak memandangkan banyak penyertaan dalam projek mega, sebenarnya ia belum dapat dilihat dalam laporan kewangan kerana ianya dimasukkan dalam laporan syarikat usaha sama MRCB-GK. Nilai tempahan dalam bahagian kejuruteraan dicatatkan pada RM5.08 bilion ketika AGM dilangsungkan, dan akan terserlah dalam pendapatan untuk 5 tahun yang akan datang.

George Kent financial summary

Rancangan masa depan

George Kent terus berusaha mendapatkan projek kejuruteraan tempatan dan luar negara. Ini termasuklah peluang projek laluan kereta api dan infrastruktur air yang berpotensi memberikan pulangan sebanyak RM2.5 bilion. Antaranya mereka berminat untuk memasuki tender ECRL yang kini dihidupkan semula oleh kerajaan. Dari segi pengembangan bisnes pula, sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk mengembangkan bahagian meter air. Proses ini dijangka akan berjalan buat masa 2 tahun yang akan datang.


< kembali ke laman blog utama