UMUM

11-OCT-2021

Gaya Pelaburan di Pasaran Saham


 


Semua pelabur, termasuk pelabur individu hingga pengurus wang profesional mempunyai gaya pelaburan tersendiri. Gaya pelaburan ini merujuk kepada strategi khas yang digunakan berdasarkan tujuan pelaburan mereka. Strategi atau gaya pelaburan yang sesuai untuk anda mungkin tidak sesuai bagi sahabat anda atau pelabur lain. Oleh itu, artikel ini akan mengupas tentang beberapa jenis gaya pelaburan yang ada di dalam pasaran saham.

Pelaburan Aktif vs Pelaburan Pasif

Strategi utama pelaburan aktif biasanya adalah fokus kepada mendapat keuntungan yang tinggi dalam jangka masa pendek. Gaya pelaburan ini mungkin serasi untuk pelabur yang mempunyai toleransi risiko yang tinggi kerana mereka akan membeli dan menjual saham secara kerap. Pelabur aktif ini akan sentiasa memantau portfolio mereka. Maka, ia sesuai kepada individu yang tiada halangan untuk selalu melihat pergerakan pasaran sahamnya.

Sebaliknya, pelaburan pasif pula sesuai kepada pelabur yang gemar dengan pelaburan yang berisiko rendah. Mereka tidak perlu melihat skrin komputer sepanjang hari untuk memantau pergerakan saham yang dibeli seperti pelabur aktif. Hal ini kerana, strategi pelaburan pasif ini adalah beli dan simpan untuk mendapat keuntungan dalam jangka masa panjang. Contoh pelabur pasif ini seperti swing trader, position trader atau investors.

Growth vs Value

Growth style atau gaya pelaburan pertumbuhan memberi tumpuan kepada saham syarikat yang pendapatannya meningkat lebih pantas daripada kebanyakan saham lain. Saham ini sering disebut sebagai overvalued. Strategi growth style ini adalah dengan mencari saham yang kadar pertumbuhan pendapatan tinggi, pulangan ekuiti (ROE) yang tinggi, margin keuntungan yang tinggi dan hasil dividen yang rendah.

Sementara itu, pelaburan value style pula akan mencari saham undervalued. Gaya pelaburan nilai ini lebih fokus untuk membeli syarikat yang fundamental bagus dengan nilai yang rendah, dengan jangkaan bahawa ia akan memberikan pulangan yang baik pada masa akan datang. Oleh itu, strategi pelaburan ini adalah dengan mencari saham price to earning ratio yang rendah, price to sales ratio yang rendah, dan hasil dividen yang tinggi.

Market Cap

Market Capitalization style adalah strategi pelaburan yang memilih saham berdasarkan saiz syarikat. Market cap ini merujuk kepada jumlah nilai keseluruhan saham syarikat dan akan dikategorikan seperti small cap, mid cap dan blue chip. Keterangan lebih mendalam tentang market cap boleh dirujuk di sini. Pelabur perlu mengambil kira semua kategori ini kerana syarikat dengan market cap berbeza mempunyai risiko dan pulangan berbeza bergantung kepada keadaan pasaran.

Saham small cap kebiasaanya mempunyai risiko lebih tinggi berbanding blue chip. Walaupun ia kadangkala memberikan pulangan yang tinggi, tetapi juga mempunyai volatility yang tinggi. Sebaliknya, saham blue chip adalah syarikat besar yang telah lama wujud dan didagangkan di pasaran saham. Sesetengah syarikat ini membayar dividend secara konsisten kepada pelaburnya. Oleh itu, kebiasaan pelabur melabur di dalam saham ini untuk jangka masa panjang.

Rumusan

Mungkin ada sebilangan pelabur mempelbagaikan sekuriti dalam portfolio mereka mengikut semua strategi yang telah dibincangkan, ada juga menggunakan satu strategi sahaja. Namun, ia bergantung kepada pelabur masing-masing yang menentukan berdasarkan tahap risiko, umur, masa, dan tujuan pelaburan mereka. Hal ini kerana tiada jenis strategi pelaburan yang betul atau salah. Oleh itu, kenal pasti gaya pelaburan yang sesuai dengan diri anda.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama