UMUM

20-AUG-2021

ETF Menawarkan Pelaburan Berisiko Rendah


 


Kami pernah berkongsi pengenalan tentang ETF. Ia merupakan singkatan kepada Exchange Traded Fund atau dalam bahasa Melayu, Dana Dagangan Saham. Seperti Unit Trust, sebuah dana itu boleh merangkumi satu koleksi atau bakul saham yang membentuk profail risiko tersendiri.

ETF boleh difahami sebagai sebuah dana pelaburan seperti Unit Trust atau Amanah Saham. Dana ini boleh terdiri daripada pelaburan dalam ekuiti, komoditi atau REITs dan sebagainya, dan ia boleh didagangkan di Bursa Malaysia. Satu kelebihan ETF kita boleh lihat di sini ialah ia mempunyai kecairan yang lebih baik berbanding dana Unit Trust. ETF boleh didagangkan sepanjang waktu pasaran, manakala Unit Trust hanya boleh didagangkan mengikut satu harga pada waktu tutup pasaran.

Kenapa Risiko ETF lebih rendah

Seperti juga Unit Trust, ETF dilaburkan ke dalam ekuiti yang dipelbagai (diversified) untuk mengurangkan risiko. Sebagai contoh, sebuah dana ETF boleh meletakkan pegangan dalam beberapa saham di dalam satu bakul. Bakul ini mewakili sebuah unit ETF dan saham-saham di dalam bakul ini sebagai saham pendasar (underlying stock). Harga unit ETF ini akan bergerak mengikut pergerakan saham pendasar ini.

mplus tradeplus etf poster

Satu andaian mudah adalah seperti ini. Anda memegang beberapa saham yang bagus dalam portfolio yang terdiri daripada beberapa sektor yang pelbagai. Apabila satu sektor mengalami trend menurun, contohnya Oil & Gas, ada banyak lagi saham lain dalam pegangan yang tidak terkesan.

Strategi pembelian ETF

Sebagai contoh, nilai sebenar dana GOLDETF boleh dilihat berdasarkan harga semasa emas seperti yang ditunjukkan di graf di bawah. Pergerakan harga emas juga adalah sejajar dengan pergerakan GOLDETF.

Perbezaan Harga Emas dan GOLDETF

Pun begitu, ETF kebiasaannya dibeli untuk jangka waktu yang panjang dan untuk strategi pegangan yang pasif. Pasif di sini membawa maksud jangka masa lama dan tidak perlu dipantau secara aktif.

Jenis ETF

Kebiasaannya, ETF dianggap sebagai sebuah dana dalam kelas aset ekuiti. Ini adalah disebabkan pilihan ETF jenis ekuiti yang lebih banyak berbanding yang lain. Namun, terdapat juga ETF jenis komoditi yang aset pendasarnya bersandarkan pada harga komoditi, contohnya emas.

mplus tradeplus etf poster

TradePlus Shariah Gold Tracker merupakan satu-satunya ETF jenis komoditi di Malaysia yang bersandarkan pada harga emas. Ia boleh didagangkan di Bursa Malaysia dengan simbol GOLDETF.

Dana TradePlus Shariah Gold Tracker atau GOLDETF membolehkan kita melabur pada emas fizikal tanpa perlu dipegang secara fizikal. Dana ini disandarkan pada emas fizikal yang disimpan di Singapura. Pelaburan dana ini adalah patuh syariah, berpandukan perunding syariah Amanie Advisors Sdn Bhd. Setakat ini, TradePlus Shariah Gold Tracker adalah satu-satunya dana ETF syariah yang bersandarkan pada harga emas dan berstatus patuh syariah

Sekurangnya 95% dari keseluruhan dana disimpan dalam bentuk emas yang di beli hanya dari pengilang emas bertauliah dari London Bullion Market Association (“LBMA”). Kesemua emas ini disimpan dengan selamat di dalam peti besi di Singapura. Ketika artikel ini ditulis, sekitar 99% daripada keseluruhan dana disimpan dalam bentuk emas.

Dari sini, satu unit GOLDETF dianggarkan sama dengan 0.01 gram emas, berserta tunai. Sekiranya anda membeli 1 lot unit, ianya bersamaan dengan membeli 1 gram emas. Sebagai perbandingan, kita boleh lihat harga emas semasa dengan harga satu lot ETF di bawah:

emas dan goldetf

Carta harga emas: iSaham

Cara menjana keuntungan dengan ETF

Sama seperti saham, anda mendapat keuntungan dari ETF sekiranya membeli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi (Buy Low Sell High). Sekiranya ETF tersebut adalah jenis ekuiti, kebiasaannya terdapat juga pemberian dividen yang disebut sebagai income distribution. Dividen ini tertakluk kepada pemberian dividen oleh saham pendasar di bawah dana ETF tersebut.

Untuk ETF jenis komoditi emas pula, cara mendapatkan keuntungan adalah sama sahaja dengan pelaburan emas. Nilai pelaburan anda akan menaik apabila harga emas menaik. Antara perkara yang boleh menyebabkan harga emas naik ialah tahap hutang yang tinggi dalam pasaran kewangan dan kelemahan harga aset.

Kesimpulan

Tidak semua ETF ini dikategorikan sebagai patuh syariah. Oleh itu, TradePlus Shariah Gold Tracker atau GOLDETF boleh menjadi pilihan anda untuk pelaburan patuh syariah. Jika anda mencari ETF dari sektor-sektor tertentu, anda juga boleh mengisikan borang permintaan secara atas talian di sini.


< kembali ke laman blog utama