IPO

30-DEC-2021

Coraza - Mengembangkan Segmen Perkhidmatan Sokongan Kejuruteraan Melalui Dana IPO


 


Coraza

Coraza Intergrated Technology Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, terutamanya dalam fabrikasi kepingan logam dan komponen mesin ketepatan. Maklumat mengenai IPO Coraza adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.28
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE Market
Permodalan pasaran:
RM 119.9 Juta
Nisbah PE:
19.0 (FYE 2020)
Permohonan ditutup:
6 Januari 2022
Cabutan saham:
10 Januari 2022
Tarikh penyenaraian:
20 Januari 2022

Bisnes Coraza

Coraza merupakan sebuah syarikat yang telah diasaskan pada 2001 yang pada ketika itu bertapak di Seberang Perai, Pulau Pinang. Pada tahun 2005 syarikat ini telah berpindah ke kilang baharu yang mempunyai 93,219.7 kaki per segi di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Menjelang penghujung tahun 2020 syarikat ini telah menjadi private limited company dan bertukar kepada public limited company pada 5 Julai 2021. Syarikat ini dikenali sebagai Coraza Intergrated Technology Berhad yang mempunyai sebuah anak syarikat iaitu Coraza System.

Melalui anak syarikatnya Coraza System, ia menjalankan perkhidmatan fabrikasi kepingan logam dan komponen mesin ketepatan. Proses ini melibatkan kepingan logam seperti memotong, membengkok, mengimpal dan proses lain. Fabrikasi ini mengikut reka bentuk dan spesifikasi pelanggan mereka. Selepas siap produk yang dihasilkan, ia akan dihantar kepada pelanggan Coraza yang terlibat dalam industri semikonduktor, instrumentasi, alat perubatan dan sains hayat, telekomunikasi, aeroangkasa dan E&E. Selain itu, Coraza juga terlibat dalam perkhidmatan D&D dan sub module assembly

Perkhidmatan dan pembuatan Coraza
Gambar: Propektus IPO Coraza

Jika dilihat majoriti pendapatan yang diterima oleh Coraza diperolehi melalui pelanggan daripada industri semikonduktor. Kebanyakkan pelanggan utama Coraza datangnya dari 2 buah negara iaitu Malaysia dan Singapura. Pada FYE 2020 hasil dari negara Malaysia menyumbang 70.7% dan Singapura 21.5%. Selain itu, Coraza juga menerima pelanggan dari beberapa buah negara seperti Eropah, China, USA dan negara lain.

Gambar: Propektus IPO Coraza

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Semasa wabak pandemik Covid-19 melanda negara Malaysia, pihak kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membendung wabak pandemik ini. Walaupun tercetusnya pandemik Covid-19 dan pengenalan PKP, PKP 2.0, PKP 3.0 serta FMCO, pendapatan syarikat Coraza sikit pun tidak memberi kesan yang ketara. Pendapatan mereka menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 kepada RM 83.7 juta berbanding pendapatan pada tahun 2019 sebanyak RM 58.6 juta.

Pada 31 Mei 2021, Coraza telah menghentikan pengeluaran aktiviti operasi disebabkan sebahagian pekerja mereka dijangkiti wabak Covid-19. Ini menyebabkan wujudnya kelewatan penghantaran produk kepada pelanggan mereka. Namun, tiada sebarang pembatalan pesanan jualan atau tuntutan kerugian yang diminta oleh pelanggan mereka. Produk ini kembali semula dihantar selepas syarikat Coraza kembali beroperasi. Apa yang menariknya, Coraza terus menerima penambahan pesanan baru sebanyak RM 0.7 juta sepanjang tempoh penutupan dari 31 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021.

Prestasi kewangan

Coraza menunjukkan pendapatan konsisten selama 2 tahun sebanyak RM 56.0 juta (2018) dan RM 58.59 juta (2019). Namun keuntungan selepas cukai sedikit menurun pada tahun 2019 dengan mencatatkan RM 3.42 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM 3.45 juta. Walaupun Malaysia menghadapi wabak pandemik Covid-19 pada tahun 2020, pendapatan syarikat Coraza terus melonjak naik kepada RM 83.69 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM 6.31 juta.

Margin keuntungan selepas cukai adalah lebih baik pada tahun 2020 iaitu sebanyak 7.5% berbanding tahun 2018 (6.2%) dan 2019 (5.8%). Berdasarkan graf di bawah, kita dapat lihat keuntungan selepas cukai (PAT) agak konsisten dari RM 5.33 juta pada FPE 2020 ke RM 5.41 juta pada FPE 2021.

prestasi kewangan Coraza

Pendapatan Coraza diperolehi melalui 2 segmen perkhidmatan iaitu fabrikasi kepingan logam dan komponen mesin ketepatan. Ia melibatkan 4 pasaran industri iaitu semikonduktor, instrumentasi, perubatan dan sains hayat, aeroangkasa dan telekomunikasi serta E&E. Secara keseluruhannya, jumlah pendapatan Coraza mengalami fasa peningkatan agak drastik terutamanya pada tahun 2020 dengan mencatatkan jumlah RM 83.69 juta berbanding dua tahun sebelumnya.

Majoriti pendapatan yang diterima oleh Coraza pada tahun 2020 disumbangkan oleh pertumbuhan segmen fabrikasi kepingan logam yang meningkat sebanyak RM 19.1 juta atau 36.1% kepada RM 72.16 juta. Peningkatan ini sebahagian besar melibatkan pelanggan Coraza dalam segmen industri semikonduktor. Pasaran semikonduktor mencatatkan RM 20.73 juta (2018), RM 23.72 (2019) dan RM 49.16 juta (2020). Hal ini dapat dilihat melalui industri semikonduktor pada tahun 2020 yang mencatatkan pendapatan dua kali ganda berbanding tahun 2018 dan 2019.

Pendapatan segmen industri Coraza

Strategi IPO dan masa depan

Coraza akan mengumpul dana sebanyak RM 33.0 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembelian peralatan dan mesin 15.50 47.0
Pembinaan kilang baru 6.41 19.5
Mengembangkan keluasan kilang sedia ada 1.50 4.6
Pelaksanaan sistem ERP 1.20 3.6
Bayaran hutang bank 4.60 13.9
Perbelanjaan penyenaraian 3.77 11.4
Jumlah 32.982 100.0

Sebahagian besar dana ini melibatkan 47% akan digunakan dalam pembelian mesin baharu untuk meningkatkan kuantiti pengeluaran berdasarkan permintaan terutamanya dalam segmen semikonduktor daripada pelanggan Coraza. Ia melibatkan dana sebanyak RM 13.5 juta untuk pembelian mesin seperti seunit laser and turret punching machine, seunit laser machine, 3 unit bending machine dan seunit finishing line.

Baki sebanyak RM 2 juta akan digunakan untuk membayar beberapa mesin yang telah dibeli pada suku ketiga 2021 melalui pinjaman bank. Antara mesin yang telah dibeli adalah 2 bending machine (RM 1.3 juta), sanding machine (RM 0.5 juta) dan design software Trutops Boost (RM 0.2 juta). Jentera mesin ini digunakan untuk segmen fabrikasi kepingan logam yang dipasang di kilang sedia ada mereka. Pembayaran ini berupaya menjimatkan faedah tahunan sebanyak 2.54% setahun bersamaan RM 50.8 ribu.

Selain itu, Coraza telah memperuntukkan dana sebanyak RM 6.41 juta untuk pembinaan kilang baru yang terletak di Lot 2773 dan 2776 di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang berkeluasan 90,136.9 kaki persegi. Kilang ini dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM 19.7 juta, yang melibatkan kos pembinaan struktur, elektrik dan yuran profesional. Baki pembinaan sebanyak RM 13.3 juta akan dibayar melalui pinjaman bank yang diperolehi Coraza.

Coraza juga bercadang melaksanakan sistem ERP baharu yang melibatkan dana sebanyak RM 1.2 juta. Pada peringkat permulaan ini, mereka menggunakan sistem yang dikenali E-Soft ERP. Sistem ERP yang baharu akan mempunyai teknologi yang lebih maju dalam memproses pangkalan data. Ia dijangka akan digunakan sepenuhnya menjelang Januari 2022.

RM 1.5 juta juga akan digunakan mereka untuk mengembangkan keluasan kilang sedia ada. Keluasan ini melibatkan penambahan 10,000 kaki persegi. Ia bertujuan untuk menampung pembelian mesin baru yang telah ditempah. Baki selebihnya iaitu sebanyak RM 4.6 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian IPO berjumlah RM 3.77 juta

Analisis bisnes dan industri Coraza

Pasaran Coraza

Hampir 75% peratus pendapatan Coraza diterima daripada pasaran domestik Malaysia. Berdasarkan analisis pendapatan pasaran geografi di bawah pada tahun terkini, kita dapat melihat pendapatan selain di negara Malaysia seperti Singapura (21.5%), Amerika Syarikat (4.8%), China (1.9%), Eropah (0.9%) dan negara lain (0.2%). Negara lain seperti Australia, Indonesia, Thailand, Taiwan, Vietnam dan Jepun. Manakala Eropah pula, Jerman, Switzerland, Sepanyol, Romania dan Belanda.

Gambar: Pasaran geografi Coraza.

Pengenalan Industri ESI

ESI merupakan singkatan kepada engineering supporting system yang melibatkan pembuatan barangan logam yang kemudian digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk akhir. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ESI di Malaysia terbahagi kepada 8 segmen seperti moulds and dies, machining, metal casting, metal stamping, surface engineering, heat treatment, forging serta metal fabrication.

Pasaran ESI di Malaysia
Segmen ESI dan kegunaan dalam industri. Gambar: IPO Propektus Coraza.

Industri M&E di Malaysia

Buat masa ini, Malaysia masih lagi memerlukan pasaran import M&E untuk memenuhi permintaan domestik. Nilai import M&E telah meningkat daripada RM 54.57 bilion pada tahun 2013 kepada RM 69.64 bilion pada tahun 2019. Ia mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 4.2% sepanjang tempoh tersebut.

Sepanjang tempoh 2013 sehingga 2019, CAGR eksport telah mencatatkan sebanyak 7.3% kadar pertumbuhan tahunan. Pada tahun 2020, penularan wabak Covid-19 telah memberikan kesan penurunan pendapatan terhadap pasaran eksport dan import Malaysia. Pada tahun 2020, sebanyak 87 projek M&E telah diluluskan yang keseluruhannya bernilai RM 6.7 bilion.

Tahun Jumlah Import Jumlah Eksport
2013 RM 54.57 bilion RM 27.07 bilion
2019 RM 69.64 bilion RM 41.60 bilion
2020 RM 69.69 bilion RM 39.37 bilion
2020 (Januari - September) RM 44.04 bilion RM 28.82 bilion
2021 ( Januari - September) RM 49.40 bilion RM 35.24 bilion

Pasaran global industri semikonduktor

Industri semikonduktor global dijangka akan terus berkembang apabila jumlah peranti E&E terus meningkat disebabkan penggunaan teknologi embedded semikonduktor. Evolusi teknologi berterusan secara tidak langsung menyumbang kepada pengenalan peranti elektronik baharu. Kesannya permintaan terhadap semikonduktor akan meningkat. 

Prestasi industri instrumentasi secara global

Instrumentasi merupakan peralatan ujian yang digunakan untuk mengukur, menganalisis, menguji dan merekod data elektrik. Peralatan yang menjana isyarat elektrik dan tindak balas digunakan untuk menguji sebarang kerosakan dan memastikan peranti yang diuji berfungsi dengan baik. Perubahan kecanggihan dalam segmen teknologi dan perindustrian adalah salah satu faktor industri instrumentasi semakin mendapat perhatian.

Peralatan ujian dan pengukuran digunakan secara meluas untuk menguji prestasi dan kecacatan yang berlaku semasa pembuatan semikonduktor, barangan elektronik dan penyelenggaraan pesawat. Industri instrumentasi dijangka berkembang pesat memandangkan kemajuan dalam teknologi 5G dan Internet of Thing (IoT). Pada tahun 2020, industri ini merekodkan sebanyak USD 24.3 bilion. Ia dijangka meningkat CAGR sebanyak 3.7% daripada USD 26.0 bilion kepada USD 30.1 bilion.

Prestasi industri aeroangkasa secara global

Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar bagi industri aeroangkasa disebabkan kemerosotan permintaan penumpang dan penurunan trafik udara kapal terbang. Ia disebabkan faktor penularan wabak pandemik Covid-19. Kesannya, industri ini telah merosot daripada USD 342.4 bilion (2019) kepada USD 332.2 bilion (2020). Namun industri ini dijangka akan pulih semula dan berkembang pada CAGR 5.0% daripada USD 343.3 bilion (2021) kepada USD 417.3 bilion (2025).

Persaingan

Berdasarkan sumber dari MIDA, terdapat lebih 2000 pemain industri yang terlibat dalam segmen engineering supporting industry (ESI) di Malaysia. Ia meliputi pemain industri dari syarikat domestik dan asing yang menubuhkan syarikat pembuatan di Malaysia.

Antara pesaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan Coraza telah disenaraikan dalam propektus berikut:

Pesaing Syarikat Coraza
Pesaing yang terlibat dalam industri sama dengan Coraza. Gambar: IPO Propektus Coraza

Jika dilihat berdasarkan propektus, perbandingan antara syarikat ini telah dipilih kepada beberapa buah syarikat seperti UWC, Alpha, Kobay, Frenchken dan Synturn. Kriteria ini dinilaikan adalah seperti:

Kriteria di atas digunakan untuk memilih pemain industri yang dianggap hampir serupa dengan Coraza dari segi pendapatan diterima, jenis produk dan aktiviti utama. Pada FYE 31 Disember Coraza mencatatkan pendapatan sebanyak RM 83.7 juta bersamaan 1.3% daripada junlah ESI di Malaysia sebanyak RM 6.23 bilion pada tahun 2020.

Jika dibandingkan syarikat yang telah tersenarai di Bursa Malaysia seperti Kobay dan UWC, Coraza agak ketinggalan pada margin keuntungan selepas cukai. Berdasarkan laporan kewangan propektus 2020, Coraza mencatat nisbah PE sebanyak 19.0. Nisbah ini lebih rendah jika dibandingkan dengan nisbah PE median sektor precision machining pada nisbah 33.0 iaitu salah satu sektor yang terlibat dalam perkhidmatan Coraza.

Perbincangan

Secara keseluruhannya, nisbah PE syarikat Coraza (19.0) adalah lebih rendah jika dibandingkan pesaing lain seperti UWC (72.0) dan Kobay (63.7). Dana ini membolehkan Coraza mengembangkan pasaran lebih baik pada masa hadapan, tertakluk bagaimana cara keberkesanan dana ini diuruskan oleh pihak pengurusan.

Walaupun negara menghadapi wabak pandemik covid-19 pada tahun 2020, pendapatan Coraza langsung tidak memberi sebarang kesan negatif pada laporan kewangan mereka. Syarikat ini terus mencatatkan pendapatan sebanyak RM 83.69 juta pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM 58.59 juta.

Dari sudut positifnya, pembinaan kilang baharu ini berupaya meningkatkan permintaan dan pengembangan kapasiti pengeluaran. Ia dijangka meningkatkan pengeluaran sebanyak 25% dalam tempoh 3 tahun. Fasa 1 pembinaan dijangka siap menjelang Februari 2023 dan memulakan operai menjelang Mac 2023.

Antara risiko yang mungkin akan dihadapi Coraza adalah seperti kebanyakkan jualan eksport Coraza melibatkan kadar pertukaran USD. Kadar turun naik nilai pertukaran antara RM dan USD, tiada jaminan sekiranya ia tidak akan menjejaskan hasil dan pendapatan Coraza. Selain itu, majoriti pendapatan sekitar 70% yang diterima Coraza sepanjang FYE 2018 hingga FYE 2020 disumbang oleh 3 pelanggan utama mereka. Sekiranya berlaku penamatan kontrak ataupun pembatalan pesanan, ia akan memberi kesan kepada operasi serta prestasi kewangan Coraza.


< kembali ke laman blog utama