IPO

4-APR-2022

Cengild Medical - Mengembangkan Rangkaian Pusat Perubatan Melalui Dana IPO


 


Cengild Medical

Cengild Medical Berhad adalah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mengendalikan pusat perubatan. Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.33
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 270.2 juta
Nisbah PE:
27.01
Permohonan ditutup:
5 April 2022
Cabutan saham:
8 April 2022
Tarikh penyenaraian:
18 April 2022

Bisnes Cengild Medical

Cengild Medical, melalui anak syarikatnya terlibat dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mengendalikan pusat perubatan, khususnya dalam diagnosis dan rawatan gastrousus, penyakit hati dan obesiti.

Berikut ialah aktiviti perniagaan syarikat:

Aktiviti perniagaan syarikat
Sumber: Prospektus Cengild Medical

Setakat ini, pusat perubatan Cengild Medical mempunyai 10 klinik, 3 endoskopi, 28 katil, 2 dewan bedah, jabatan radiologi kemalangan dan jabatan kecemasan. Cengild Medical juga mempunyai farmasi, makmal serta jabatan bekalan steril pusat.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Akibat wabak pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan berulang kali di dalam negara ini, operasi perniagaan syarikat Cengild Medical menerima tempias. Syarikat ini dibenarkan beroperasi semasa PKP pertama, tetapi jumlah pesakit yang datang sedikit dan mengalami penurunan ketara dalam bilangan prosedur perubatan yang dilakukan disebabkan penangguhan prosedur perubatan oleh pesakit.

Walaupun terdapat penurunan bilangan pesakit dan prosedur semasa tempoh PKP pertama, Cengild Medical tidak mengalami kesan negatif ke atas kewangan dan tunai bersih syarikat daripada aktiviti operasi pada FYE 2020. Selepas PKP pertama beralih kepada PKPB diikuti dengan PKPP, jumlah bilangan pesakit dan prosedur kembali meningkat.

Prestasi kewangan

Pendapatan Cengild Medical Berhad diperolehi terutamanya daripada penyediaan rawatan pesakit, prosedur endoskopik dan pembedahan. Cengild Medical mengalami kenaikan pendapatan semenjak FYE 2018, iaitu dari RM 11.68 juta menjadi RM 28.18 juta pada FYE 2019. Kenaikan pendapatan diteruskan pada FYE 2020 dan juga FYE 2021. Pada FYE 2021, pendapatan syarikat meningkat sebanyak RM 24.29 juta atau 62% daripada RM 39.18 juta pada FYE 2020, menjadikan jumlah pendapatan pada tahun 2021 sebanyak RM 63.47 juta. Peningkatan pendapatan ini didorong oleh segmen perkhidmatan perunding dan perkhidmatan pengurusan perubatan.

Walaupun terdapat penurunan dalam bilangan pesakit dan prosedur yang dijalankan semasa tempoh PKP pertama iaitu pada tahun 2020, prestasi kewangan dan tunai bersih syarikat Cengild Medical tidak terjejas. Sejak PKP pertama juga, mereka tidak mengalami sebarang gangguan, kekurangan atau kelewatan dalam bekalan. Hal ini kerana pembekal syarikat juga dapat meneruskan operasi semasa fasa PKP.

Prestasi kewangan syarikat Cengild
Prestasi kewangan Cengild Medical

Pendapatan Cengild Medical melalui segmen perniagaannya dibahagikan kepada dua, iaitu melalui perkhidmatan perunding dan perkhidmatan pengurusan perubatan (terdiri daripada nursing services dan clinical support services).

Pada FYE 2019 sehingga FYE 2020, kenaikan pendapatan banyak disumbangkan daripada dua segmen ini iaitu sebanyak RM 13.41 juta (servis perunding) dan RM 24.18 juta (servis pengurusan perubatan) berbanding RM 9.38 juta (servis perunding) dan RM 16.8 juta (servis pengurusan perubatan) pada FYE 2019. Kenaikan ini diteruskan pada FYE 2021 menjadi jumlah pendapatan tahun tersebut sebanyak RM 23.4 juta (servis perunding) dan RM 38.93 juta (servis pengurusan perubatan).

Pendapatan syarikat mengikut segmen
Pendapatan Cengild Medical mengikut segmen

Jika dilihat, kesemua segmen ini mengalami peningkatan yang baik pada FYE 2018 sehingga FYE 2021 dan pendapatan banyak disumbangkan daripada segmen servis pengurusan perubatan.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO in akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan (%)
Memperluas pusat perubatan sedia ada 13 18
Menubuhkan pusat perubatan baharu 37.1 51.38
Modal kerja 17.40 24.11
Perbelanjaan penyenaraian 4.7 6.51
Jumlah 72.20 100.00

Jika dilihat dari jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan dana yang diperolehi dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk menubuhkan pusat perubatan baharu. Majoriti dana sebanyak RM 37.1 juta akan dimanfaatkan untuk mengembangkan pusat perubatan syarikat dengan menubuhkan 2 pusat perubatan baharu, khususnya dalam penyakit gastrousus, penyakit hati dan obesiti di Malaysia seperti Johor Bahru, Pulau Pinang atau Ipoh.

Selain itu, RM 13 juta iaitu bersamaan 18% daripada dana tersebut akan digunakan untuk memperluas dan mengubahsuai pusat perubatan sedia ada. Tawaran IPO ini juga dapat memberikan modal kerja kepada syarikat sebanyak RM 17.4 juta iaitu 24.11% daripada jumlah dana yang dikumpul. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Cengild

Mengikut Laporan IMR, Cengild Medical terlibat terutamanya dalam industri perkhidmatan penjagaan kesihatan, di mana syarikat itu memberi tumpuan kepada perkhidmatan perunding dan perkhidmatan pengurusan perubatan.

Industri perkhidmatan penjagaan kesihatan

Perkhidmatan penjagaan kesihatan merujuk kepada penyediaan rundingan, diagnostik, penjagaan pesakit dan ubat-ubatan dan lain-lain. Profesional penjagaan kesihatan seperti doktor, pakar, pembantu perubatan serta jururawat menyediakan perkhidmatan ini. Perkhidmatan penjagaan kesihatan boleh dibahagikan seperti berikut:

Prestasi industri perkhidmatan penjagaan kesihatan

Industri perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada dua peringkat iaitu perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dan swasta. Berdasarkan laporan IMR, pada 2019, pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia bernilai RM 14.89 bilion atau 10.8% meningkat daripada 2018. Hal ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah pesakit berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Sejarah dan ramalan pertumbuhan industri perkhidmatan penjagaan kesihatan
Sejarah dan ramalan pertumbuhan industri

Pada tahun 2020, pandemik telah melanda dunia dan telah menyebabkan kejatuhan sebanyak 2.3% terhadap pertumbuhan industri perkhidmatan penjagaan kesihatan. Namun, menurut laporan IMR, pasaran perkhidmatan penjagaan swasta dianggarkan berkembang dan bernilai RM 15.44 bilion untuk tahun 2021. Dalam laporan IMR juga ada dinyatakan, pertumbuhan dalam jangka pendek (2022-2023) mungkin akan terjejas disebabkan Malaysia masih dalam fasa pemulihan ekonomi. Manakala, dalam jangka panjang (2024-2026), pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia dijangka pulih ke tahap pra-COVID apabila aktiviti ekonomi pulih.

Persaingan

Cengild Medical terlibat dalam industri perkhidmatan penjagaan kesihatan, iaitu khususnya dalam perkhidmatan perunding dan perkhidmatan pengurusan perubatan. Oleh itu, persaingan Cengild Medical di dalam industri dipilih berdasarkan kriteria di bawah:

Cengild Medical adalah pusat perubatan yang berdiri sendiri dan bukan sebahagian daripada rangkaian atau kumpulan hospital seperti IHH Healthcare Berhad, KPJ Healthcare Berhad atau Columbia Asia Sdn Bhd.

Senarai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia

Selain daripada Cengild Medical, antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta dengan pakar gastroenterologi dan hepatologi di Malaysia adalah Adventist Hospital & Clinic Services, Assunta Hospital, Columbia Asia Sdn Bhd, IHH Healthcare Berhad, KPJ Healthcare Berhad dan pelbagai lagi.

Perbincangan

Melihat secara keseluruhannya, Cengild Medical menunjukkan prestasi memberangsangkan sama ada dari segi pendapatan, mahupun keuntungan yang diperolehi sepanjang 3 tahun dari 2019 sehingga 2021. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan yang diperolehi dari segmen perkhidmatannya iaitu perundingan dan pengurusan perubatan.

Sebahagian besar dana IPO akan digunakan untuk mengembangkan rangkaian pusat perubatan syarikat Cengild Medical. Hal ini menunjukkan langkah yang positif oleh syarikat dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan. Namun, pengembangan perniagaan pasti akan berhadapan dengan risiko seperti kos dan pelbagai lagi. Walaupun begitu, Cengild perlu membuktikan keberkesanan strategi mereka apabila disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia tak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama