FUNDAMENTAL

21-DEC-2021

Bagaimana untuk Menjadi Pemilik Syarikat Starbucks?


 


Penggemar kopi mungkin sudah kenal dan sering mengunjungi Starbucks. Starbucks juga sering dijadikan tempat untuk meluangkan masa, bersantai dan berjumpa dengan rakan-rakan. Bukan itu sahaja, malah, ia adalah tempat kegemaran bagi sesetengah individu untuk belajar, membaca atau bekerja sambil menikmati secawan kopi.

Starbucks
Sumber: Starbucks

Starbucks adalah rangkaian kedai kopi antarabangsa yang bermula pada tahun 1971 di Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Ia merupakan salah satu coffeehouse terbesar dengan lebih 33 ribu cawangan di seluruh dunia. Setakat ini, di Amerika Syarikat sahaja sudah mempunyai lebih 14 ribu francais dan selebihnya terletak di banyak negara yang lain.

Selain kopi, Starbucks juga menyediakan beberapa jenis minuman dan pelbagai pilihan makanan. Satu minuman sahaja berharga sekitar RM20. Jika selama ini anda membelanjakan RM200 bagi secawan minuman untuk 10 hari, dengan jumlah yang sama, anda sudah boleh mendapatkan 1 lot saham pemilikan Starbucks di Malaysia.

Pegangan saham Starbucks

Buat masa ini, mungkin anda adalah salah satu pelanggan Starbucks, tetapi anda juga boleh jadi 'owner' dengan membeli sebahagian saham Starbucks./p>

Setakat pos ini ditulis, di pasaran global, harga seunit Starbucks adalah $ 108.63 dengan market capitalization sebanyak $ 127.44 bilion. Kos seunit bersamaan dengan anggaran RM 500 dan saham ini boleh didagangkan di platform global atau pada platform tempatan seperti CGS-CIMB dan lain-lain.

Di Bursa pula, harga seunit saham ialah sekitar RM 1.99 dan anda akan memperoleh sebahagian pemilikan saham Starbucks di Malaysia melalui Berjaya Food Berhad. Ia boleh didagangkan melalui mana-mana broker di Malaysia sahaja.

Pemilikan saham Starbucks di Bursa

Starbucks di Malaysia dikendalikan oleh Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd (BStarbucks). BStarbucks ini ialah anak syarikat milik penuh oleh Berjaya Food Berhad. Aktiviti perniagaan BStarbucks sama seperti Starbucks di negara lain dimana mereka menjual minuman kopi berkualiti tinggi, minuman campuran sejuk, pelbagai pastri dan lain-lain lagi.

Starbucks mula dibuka di Malaysia pada 17 Disember 1998, dengan pelancaran cawangan pertamanya di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur (sebelum ini dikenali sebagai KL Plaza). Kini, ia telah berkembang di seluruh Malaysia (kecuali Perlis) dengan mempunyai lebih 300 francais.

stores
Sumber: Laporan Tahunan 2021 Berjaya Food

Prestasi Kewangan

Walaupun wabak Covid-19 dan pengenaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dan 3.0 masih berterusan pada tahun 2021, pendapatan BStarbucks tetap meningkat dalam tahun kewangan terkini, iaitu dengan RM625.4 juta berbanding RM533.2 juta pada tahun kewangan 2020.

Tahun 2020 ini juga merupakan rekod pendapatan tahunan terendah dalam 3 tahun kewangan terkini. Ini disebabkan oleh penularan peringkat awal wabak Covid-19 yang membimbangkan.

Prestasi kewangan
Prestasi Kewangan BStarbucks

Pada tahun kewangan 2021, kedai kopi Starbucks meningkat kepada 327 buah daripada 316 buah pada tahun sebelumnya. Bilangan kedai pandu lalu pula adalah sebanyak 58 buah dengan 6 buah yang baharu dibuka.

Starbucks juga melancarkan program Starbucks Rewards baharu, dimana ia adalah satu program yang memberi kelebihan dan ganjaran kepada pelanggan setia Starbucks. Ahli yang berdaftar melalui Kad Starbucks atau aplikasi mudah alih Starbucks Malaysia akan memperolehi ganjaran yang menarik (contoh birthday rewards, promosi dll).

Kesimpulan

Berjaya Food merancang untuk membuka 38 buah kedai kopi Starbucks termasuklah 1 kedai pandu lalu dan 1 lagi Starbucks di Perlis pada tahun 2022. Ia juga akan fokus memberikan lebih banyak tawaran menarik, promosi daripada Starbucks Rewards dan pelbagai lagi.

Selain daripada Starbucks, Berjaya Food juga mengendalikan perniagaan Kenny Rogers dan juga Jollibean Foods. Ini bermaksud, jika anda membeli sebahagian saham Berjaya Food, anda juga adalah sebahagian daripada pemilik syarikat Starbucks, Kenny Rogers dan juga Jollibean.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama