IPO

08-JUN-2022

YX Precious Metals Ingin Mengembangkan Perniagaan Syarikat Melalui Dana IPO


 


YX Precious Metals Bhd merupakan syarikat yang terlibat dalam pemborongan, reka bentuk dan pembuatan barang kemas emas. Syarikat YX Precious Metals juga terlibat dalam jualan jongkong emas tulen, jongkong emas sekerap, pembuatan rantai perak, dan penyediaan perkhidmatan penapisan untuk logam berharga.

Harga IPO:
RM 0.28
Status syariah:
Tiada penilaian syariah SAC, dinilai tidak patuh syariah oleh Elzar Shariah
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 104.2 juta
Nisbah PE:
14.66
Permohonan ditutup:
09 Jun 2022
Cabutan saham:
14 Jun 2022
Tarikh penyenaraian:
23 Jun 2022

Bisnes YX Precious Metals Bhd

YX Precious Metals merupakan anak syarikat 100% milik Tomei Consolidated Bhd yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Mereka terlibat khususnya dalam wholesale, design dan manufacturer bagi barang kemas emas. Sebagai pakar barang kemas emas, YX Precious Metals memberi tumpuan kepada emas 916 yang mengandungi 91.67% kandungan emas tulen yang dialoi dengan logam lain. Mereka menawarkan pelbagai jenis barang kemas emas seperti rantai, gelang tangan, gelang kaki dan rantai asas, serta cincin, loket, azimat dan anting-anting.

Model perniagaan mereka adalah berdasarkan jualan barang kemas emas kepada pelanggan untuk dijual semula dan ini termasuk peruncit barang kemas, pemborong dan pengilang. Malaysia ialah pasaran utama yang menyumbang 92.73%, 90.45%, 96.23% dan 97.58% daripada jumlah pendapatan untuk FYE 2018, FYE 2019, FYE 2020 dan FYE 2021. Mereka juga telah mengeksport ke negara luar seperti Singapura, Jerman, Myanmar, Indonesia dan Hong Kong.

Bisnes aktiviti YX Precious Metals Bhd
Sumber: Prospektus

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Akibat Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada tahun 2020 berlaku, operasi perniagaan YX Precious Metals terpaksa ditutup kerana mereka tidak dikira sebagai perkhidmatan penting. Semasa PKP 1.0, pendapatan mereka merosot daripada RM13.19 juta pada Februari 2020 kepada RM8.13 juta pada Mac 2020 dan tidak mencatatkan sebarang pendapatan pada April 2020. Selain itu, disebabkan penutupan sempadan Malaysia dan Singapura, mereka juga mengalami kesukaran mengatur penghantaran ke Singapura dari Mac 2020 hingga Ogos 2020, dan hanya memulakan penghantaran ke Singapura pada September 2020. Kesannya, jualan kepada pelanggan Singapura berkurang sebanyak 40,391g, daripada 63,195g pada FYE 2019 kepada 22,804g pada FYE 2020, dan pendapatan menurun sebanyak RM6.25 juta.

Prestasi kewangan

Pada tahun 2020, keseluruhan industri barang kemas di Malaysia terjejas oleh kesan pandemik COVID-19. Nilai jualan pembuatan barang kemas di Malaysia menurun sebanyak 12.1%, manakala nilai eksport barang kemas dan bahagian logam berharga menurun sebanyak 46.0%. Semasa pelan pemulihan negara, nilai jualan keseluruhan pembuatan barang kemas meningkat sebanyak 1.9%, manakala nilai eksport barang kemas dan alat ganti logam berharga meningkat sebanyak 38.1% pada 2021. Pandemik COVID-19 dan tindak balas dasar fiskal daripada bank pusat global telah menimbulkan perubahan struktur dalam strategi peruntukan aset. Emas dilihat sebagai strategi pelaburan kerana ia aset yang sangat cair dan nilainya yang kekal dari semasa ke semasa.

Prestasi kewangan YXPM
Prestasi kewangan YX Precious Metals Bhd

Operasi perniagaan YX Precious Metals terjejas akibat PKP pada tahun 2020 dan ini dibuktikan dengan volum jualan Segmen Barang Kemas Emas menurun sebanyak 138,948g atau 12.10% berbanding tahun 2019. Pendapatan daripada Segmen Barang Kemas Emas diteruskan meningkat sebanyak RM30.92 juta atau 21.37% pada tahun 2020 terutamanya disebabkan oleh purata harga emas global yang lebih tinggi pada tahun 2020. Pada tahun 2021 pula, pendapatan syarikat YX Precious Metals meneruskan peningkatan hasil permintaan terhadap emas semakin bertambah akibat kebimbangan orang ramai terhadap kesan wabak COVID-19 dan tahap kekukuhan kewangan dunia.

Pendapatan utama diperoleh daripada Segmen Barang Kemas Emas, yang terdiri daripada Wholesale Segment yang dijalankan oleh YXG dan Design and Manufacture Segment yang dilaksanakan oleh GPM. Segmen Barang Kemas Emas telah menyumbang lebih daripada 96.00% daripada jumlah pendapatan syarikat.

Prestasi kewangan mengikut segmen
Prestasi kewangan mengikut segmen

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 31.26 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan %
Pembelian mesin dan peralatan baru 4.4 14.08
Perluasan dan naik taraf kemudahan operasi 2.5 7.99
Modal kerja 20.86 66.73
Perbelanjaan penyenaraian 3.5 11.20
Jumlah 31.26 100.0

Berdasarkan jadual di atas, dapat dilihat bahawa majoriti dana yang akan diperoleh daripada penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk modal kerja iaitu sebanyak RM 20.86 juta mewakili 66.73%. Modal kerja ini akan digunakan untuk membeli bahan mentah, iaitu bahan emas dalam bentuk jongkong emas tulen dan sekerap. Bahan mentah ialah komponen terbesar dalam kos jualan syarikat. Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan syarikat untuk mengembangkan rangkaian barang kemas emas hollow dan meningkatkan aktiviti pembuatan melalui proses automasi, YX Precious Metals memerlukan lebih banyak bahan mentah (bahan emas) untuk operasi perniagaan mereka.

Selain itu, 14.08% daripada jumlah dana IPO iaitu sebanyak RM 4.4 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baru seperti mesin rantai tali, peralatan electroforming dan mesin pelarut logam. Kemudian, RM 2.5 juta akan dimanfaatkan untuk meluaskan dan menaik taraf kemudahan operasi serta baki selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian iaitu sebanyak RM 3.5 juta.

Analisis bisnes dan industri YX Precious Metals

Mengikut laporan IMR, YX Precious Metals Bhd bersama-sama anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam pemborongan, reka bentuk serta pembuatan barang kemas emas, yang menyumbang 97.3% daripada jumlah pendapatannya bagi tahun 2021.

Industri barang kemas

Industri barang kemas boleh dibahagikan kepada 2 kategori seperti berikut:

Industri barang kemas
Industri barang kemas

Fine jewellery merujuk kepada barang kemas yang kebanyakannya diperbuat daripada precious metals dan gemstones (batu permata). YX Precious Metals khususnya terlibat dalam segmen Precious Metals di mana ia merujuk kepada barang kemas yang diperbuat daripada emas, perak atau platinum. Mereka tidak terlibat dalam gemstones jewellery. Gemstones jewellery merupakan barang kemas yang mempunyai satu atau lebih banyak batu permata. Gemstones yang biasa digunakan untuk barang kemas seperti berlian, nilam, delima, zamrud, jed serta mutiara. Umumnya, harga fine jewellery jauh lebih tinggi daripada costume jewellery kerana harga precious metals dan gemstones yang tinggi.

Prestasi industri barang kemas emas

Emas adalah komoditi yang didagangkan secara global dan tertakluk kepada turun naik harga. Industri barang kemas emas Malaysia juga terjejas mengikut permintaan dan harga global emas. Rajah di bawah menunjukkan bahawa harga emas meningkat apabila risiko ekonomi, kewangan dan geopolitik meningkat kerana emas dianggap sebagai satu bentuk pelaburan.

Prestasi industri barang kemas emas
Purata harga Emas

Purata harga emas global mengalami turun naik antara 2017 dan awal 2021. Purata harga emas global pada Januari 2017 adalah pada RM171/g dan menurun kepada RM166/g pada Disember 2017. Purata global harga emas terus menurun lagi pada 2018 di mana ia merosot ke paras terendah bulanan RM158/g pada bulan Ogos 2018. Selepas itu, purata harga emas global terus meningkat daripada RM158/g pada Ogos 2018 kepada RM202/g pada Ogos 2019 dan mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada RM265/g pada Ogos 2020. Sejak kemuncak bersejarah pada Ogos 2020, purata harga emas global telah turun kepada RM242/g pada Januari 2021, RM235/g pada Februari 2021 dan RM227/g pada Mac 2021, yang merupakan yang terendah sejak April 2020. Kegelisahan terhadap inflasi, dolar AS yang lebih lemah dan lonjakan dalam turun naik pasaran telah meningkatkan permintaan emas, memacu purata global harga emas kembali kepada trend menaik ke mencecah RM246/g pada Mei 2021 dan berakhir pada RM242/g pada Disember 2021.

Persaingan

Berdasarkan laporan IMR, pesaing bagi YX Precious Metals Bhd di dalam industri dipilih berdasarkan kriteria berikut:

Antara pesaing YX Precious Metals yang menepati kriteria-kriteria di atas adalah seperti berikut:

Pesaing YX Precious Metals
Pesaing yang terlibat sama dalam industri barang kemas emas

Perbincangan

Prestasi kewangan syarikat YX Precious Metals Bhd tertakluk kepada turun naik harga emas global kerana emas adalah komoditi yang didagangkan secara global. Harga emas dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti krisis ekonomi global, wabak, inflasi, kekuatan USD, kadar faedah, permintaan daripada industri dan pelaburan dalam sektor barang kemas. Syarikat YX Precious Metals adalah antara syarikat yang terjejas ketika pandemik COVID-19 kerana tidak dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan penting.

Namun begitu, pendapatan syarikat YX Precious Metal untuk FYE 2018, FYE 2019 dan FYE 2020, telah menunjukkan peningkatan bagi harga jualan mereka daripada RM137.53 juta pada FYE 2018 kepada RM175.63 juta pada FYE 2020 disebabkan oleh kenaikan harga emas global.

Melalui penyenaraian IPO ini, YX Precious Metals akan menggunakan jumlah besar dana yang dikumpul sebagai modal kerja untuk membeli bahan mentah iaitu bahan emas dalam bentuk jongkong emas tulen dan sekerap. Hal ini bagi mengembangkan lagi rangkaian barang kemas emas dan meningkatkan aktiviti pembuatan emas. Namun, ingin diingatkan bahawa syarikat YX Precious Metals telah dinilai tidak patuh syariah oleh Elzar Shariah.


< kembali ke laman blog utama