IPO

24-MAY-2022

Yew Lee Ingin Mengembangkan Rangkaian Berus Industri dengan Dana IPO


 


YL Thumbnail

Yew Lee Pacific Group Bhd merupakan syarikat yang terlibat dalam pembuatan berus industri, perdagangan perkakasan industri dan alat ganti mesin. Butiran IPO adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.28
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 149 juta
Nisbah PE:
14.7
Permohonan ditutup:
25 Mei 2022
Cabutan saham:
27 Mei 2022
Tarikh penyenaraian:
7 Jun 2022

Bisnes Yew Lee Pacific

Yew Lee Pacific, melalui anak syarikat dan syarikat bersekutunya, terlibat dengan pembuatan berus industri, perdagangan perkakasan industri dan alat ganti mesin.

Rajah di bawah menggambarkan aktiviti utama syarikat:

Aktiviti syarikat

Berdasarkan rajah di atas, YLPM hanya terlibat dengan pembuatan dan penjualan berus industri. Yew Lee Thailand dan Yew Lee Indonesia pula hanya terlibat dalam penjualan berus industri yang dikeluarkan oleh YLPM.

Berus industri dan perkakasan industri di syarikat Yew Lee Pacific, digunakan oleh pelbagai industri seperti pengeluar sarung tangan, pengilang kayu, industri makanan dan sebagainya.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Dalam pelbagai tempoh PKP yang dilaksanakan, syarikat Yew Lee masih menerima pesanan pembelian daripada pelanggan utama mereka, yang merupakan pengeluar sarung tangan getah utama. Seperti yang kita tahu, permintaan sarung tangan sewaktu COVID-19 sangat tinggi dan merupakan industri yang boleh beroperasi sebagai perkhidmatan penting.

Syarikat Yew Lee tidak menerima sebarang pembatalan atau penangguhan mana-mana kontrak atau pesanan pembelian disebabkan oleh pandemik, kecuali beberapa kes. Walaubagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada kewangan syarikat. Dengan peningkatan permintaan untuk sarung tangan getah dan peralatan perlindungan lain yang digunakan untuk memerangi pandemik COVID-19, syarikat ini mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang positif semasa FYE 2020 dan FYE 2021.

Prestasi kewangan

Pendapatan syarikat Yew Lee Pacific diperolehi daripada 2 segmen, iaitu segmen pembuatan dan segmen dagangan. Unitrade mengalami kenaikan pendapatan semenjak FYE 2018, iaitu dari RM 27.813 juta menjadi RM 29.21 juta pada FYE 2019. Untuk FYE 2020, pendapatan syarikat meningkat sehingga 43.71%. Kenaikan ini diteruskan sehingga FYE 2021 menjadikan jumlah pendapatan pada tahun tersebut sebanyak RM 45.53 juta.

Prestasi kewangan
Prestasi kewangan

Pendapatan Yew Lee Pacific dibahagikan melalui 2 segmen, iaitu segmen pembuatan yang terdiri daripada 2 jenis (industrial brushes & household brushes) dan segmen dagangan.

Pada FYE 2020, pendapatan syarikat untuk kedua-dua segmen ini meningkat berbanding FYE 2019. Bagi FYE 2021, pendapatan untuk segmen pembuatan meningkat sebanyak 69.4% untuk pembuatan industrial brushes dan 0.9% untuk pembuatan household brushes. Manakala, pendapatan bagi segmen dagangan mengalami sedikit penurunan pada tahun tersebut.

Prestasi kewangan mengikut segmen
Prestasi kewangan mengikut segmen

Namun, secara keseluruhannya, segmen pembuatan berus, khususnya industrial brushes adalah penyumbang utama kepada pendapatan syarikat Yew Lee Pacific. Pertumbuhan dalam segmen pembuatan syarikat ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam permintaan daripada pelanggan Yew Lee Pacific yang terlibat dalam industri pembuatan sarung tangan getah, dimana menyumbang antara 78.7%, 88%, dan 85.4% daripada jumlah pendapatan Yew Lee Pacific untuk FYE 2019, FYE 2020, dan FYE 2021, masing-masing.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 37.27 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembelian mesin dan peralatan tambahan 10.9 29.2
Pembinaan kemudahan gudang dan pejabat baharu 7.3 19.6
Pengubahsuaian pejabat baharu 1.8 4.8
Pembayaran balik pinjaman bank 8.9 23.9
Modal kerja 4.57 12.3
Perbelanjaan penyenaraian 3.8 10.2
Jumlah 37.27 100.0

Berdasarkan jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan dana yang diperoleh dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan tambahan iaitu sebanyak RM 10.9 juta mewakili 29.2% daripada dana IPO tersebut. Mesin dan peralatan yang akan dibeli adalah mesin semi-automated CNC continuous cycle drilling and filling, mesin CNC lathe, mesin CNC milling, mesin plastic injection moulding mesin bristle cutting dan banyak lagi.

Selain itu, 23.9% daripada dana IPO iaitu RM 8.9 juta diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank. Syarikat Yew Lee akan memanfaatkan RM 7.3 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan pejabat baharu, manakala RM 4.57 akan digunakan sebagai modal kerja syarikat. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk ubahsuai pejabat baharu sebanyak RM 1.8 juta dan perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM 3.8 juta.

Analisis bisnes dan industri Yew Lee Pacific

Mengikut laporan IMR, Yew Lee Pacific terlibat terutamanya dalam pembuatan berus industri. Berus industri ini memainkan peranan penting dalam pelbagai industri termasuk pertanian, automotif, elektrik dan elektronik (E&E), sarung tangan getah dan industri kerja kayu.

Industri berus

Berus digunakan untuk kerja-kerja pembersihan, mengecat dan rawatan permukaan. Berus memainkan peranan penting dalam operasi perindustrian dan komersial serta aktiviti di rumah.

Industri berus boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama seperti berikut:

Kategori industri berus
Kategori berus industri. Gambar: Prospektus

Berdasarkan rajah di atas, produk teras Yew Lee ialah berus industri iaitu terdiri daripada wheel brush, wire brush, spiral brush, roller brush dan lain-lain lagi. Terdapat pelbagai jenis berus industri (juga dikenali sebagai berus teknikal) yang digunakan dalam pelbagai industri end-user.

Seperti yang dinyatakan dalam prospektus, segmen household brush menyumbang 53.6% daripada market share atau bahagian pasaran industri berus di Malaysia. Diikuti dengan segmen berus industri, 41% market share dengan anggaran RM 199.7 juta. Manakala, segmen specialised brush pula mewakili 5.4% bahagian pasaran dengan anggaran nilai RM 26.2 juta.

Prestasi industri

Saiz industri berus tempatan diperolehi terutamanya daripada nilai import dan eksport berus industri serta nilai berus industri yang dikeluarkan dan digunakan. Pada 2019, sektor berus industri di Malaysia bernilai RM 177.3 juta, menurun daripada RM 194.9 juta pada 2018. Penurunan ini disebabkan oleh penurunan import berus industri ke Malaysia.

Gambar: Prospektus
Saiz industri dan ramalan pertumbuhan bagi sektor berus industri. Gambar: Prospektus

Namun, pada 2020, industri ini kembali pulih dengan angka RM 199.7 juta dan dijangka akan berkembang pada CAGR sebanyak 7.5% untuk mencecah RM 286.6 juta pada 2025. Pada tahun 2020, walaupun pandemik COVID-19 melanda dunia dan telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan global, industri berus perindustrian Malaysia masih berkembang. Hal ini kerana berus industri memainkan peranan penting dalam proses pembuatan bagi sektor-sektor pembuatan.

Walaupun sektor pembuatan mencatatkan penurunan sebanyak 2.6% pada 2020, tetapi terdapat pemulihan yang positif sejak Jun 2020. Pemulihan ini didorong daripada sektor perkhidmatan penting khususnya, pembekal sarung tangan getah, pengeluar pelindung diri, farmaseutikal dan sektor lain yang dibenarkan beroperasi sewaktu PKP dilaksanakan.

Persaingan

Berdasarkan prospektus, persaingan Yew Lee di dalam industri dipilih berdasarkan kriteria seperti di bawah:

Selepas mengambil kira kriteria di atas, Protégé Associates telah memilih beberapa pemain industri yang sama dengan Yew Lee untuk tujuan perbandingan. Antara pesaing Yew Lee yang terlibat dalam industri yang sama adalah:

Pesaing
Pesaing Yew Lee yang terlibat dalam industri yang sama. Gambar: Prospektus

Berdasarkan gambar di atas, dapat lihat bahawa syarikat Yew Lee mempunyai market share yang besar berbanding persaingnya. Namun, masih terdapat persaing yang mengikut rapat. Untuk FYE 2020, pendapatan yang dijana syarikat Yew Lee daripada segmen perniagaan pembuatan berus perindustrian adalah sebanyak RM 27.1 juta bersamaan dengan 13.6% daripada jumlah saiz industri berus di Malaysia (RM 199.7 juta).

Perbincangan

Menurut laporan IMR, prospek industri berus di Malaysia dijangka terjejas disebabkan oleh wabak COVID-19, tetapi dijangka akan pulih sebaik sahaja wabak ini dapat dikawal. Prestasi industri berus juga bergantung kepada prestasi pengguna akhirnya termasuk industri pembuatan E&E, semikonduktor, sarung tangan getah dan lain-lain.

Sewaktu beberapa PKP dikenakan, syarikat Yew Lee tidak mempunyai pembatalan kontrak, kecuali beberapa kes. Walaubagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada kewangan syarikat. Malah, pendapatan syarikat meningkat dari 2019 sehingga 2021, disumbang terutamanya daripada pelanggannya daripada industri pengeluar sarung tangan getah.

Yew Lee Pacific mempunyai rancangan dan strategi masa hadapan yang menarik, dimana jumlah besar dana IPO yang diterima akan dimanfaatkan sebagai modal perniagaan dimana untuk menambah lagi mesin dan peralatan serta pembinaan gudang dan pejabat baharu. Namun, syarikat perlu membuktikan keberkesanan strategi dan perancangannya selepas disenaraikan di Bursa Malaysia tidak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama