12-JUL-2022

UMediC - Meningkatkan Kapasiti Pengeluaran dengan Dana IPO


 


UMedic Group Berhad

UMediC Group Berhad (UMC) adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasaran dan pengedaran pelbagai peranti perubatan berjenama dan bahan guna habis.

Harga IPO:
RM 0.32
Status syariah:
Tidak dimaklumkan
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 119.651 juta
Nisbah PE:
23.53
Permohonan ditutup:
13 Julai 2022
Cabutan saham:
18 Julai 2022
Tarikh penyenaraian:
26 Julai 2022

Bisnes UMC

UMediC Group Berhad telah diperbadankan menjadi sebuah syarikat awam berhad pada 7 Oktober 2021 bagi memudahkan penyenaraian saham syarikat di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

UMC merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasaran dan pengedaran pelbagai alat perubatan berjenama dan bahan guna habis. Syarikat ini juga menawarkan khidmat selepas jualan untuk kesemua produk mereka. Selain itu, UMC juga terlibat dalam pembangunan, pembuatan dan pemasaran bahan guna perubatan mereka.

Model perniagaan syarikat UMC adalah seperti berikut:

Model perniagaan syarikat UMedic
Model perniagaan syarikat UMC

Majoriti pendapatan syarikat diperoleh dari pemasaran dan pengedaran peralatan kesihatan dari pelbagai syarikat antarabangsa, antaranya ialah Phillips dan Mindray. Selain itu, UMC juga terlibat dalam pembuatan produk guna habis iaitu penapis pra-isi, Hydro-X.

Produk syarikat ini dipasarkan kepada pusat kesihatan awam dan swasta, termasuk kepada perniagaan yang tidak berasaskan kesihatan. Pasaran domestik adalah pasaran utama bagi UMC, dengan sumbangan sebanyak 83.71% daripada keseluruhan pendapatan tahun kewangan 2021, dan 88.29% daripada keseluruhan pendapatan tahun kewangan 2022. Baki pendapatan syarikat pula diperoleh daripada pasaran global.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Disebabkan sifat perniagaan UMC yang berasaskan perkhidmatan kesihatan, ia dibenarkan untuk meneruskan operasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas mendapat kelulusan daripada pihak MITI, tertakluk kepada prosedur operasi standard COVID-19 yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, dari segi operasi, tidak ada gangguan perniagaan telah berlaku sepanjang tempoh pandemik ini.

Namun begitu, terdapat sedikit gangguan bekalan terhadap peralatan perubatan daripada pembekal pada pertengahan tahun 2020 akibat penutupan sempadan. Penyekatan sempadan ini telah mengakibatkan penangguhan penghantaran kepada pelanggan sehingga mencecah 2 minggu. Tambahan lagi, gangguan bekalan farmaseutikal, perubatan kritikal dan produk-produk berkaitan secara global juga turut menyumbang kepada kelewatan penghantaran peralatan kesihatan.

Di bahagian pembuatan pula, operasi pembekal-pembekal syarikat turut digantung sewaktu fasa pertama PKP dan PKPP. Namun, tiada gangguan bahan mentah berlaku kerana UMC mempunyai inventori yang mencukupi bagi memenuhi permintaan.

Oleh kerana UMC merupakan sebuah syarikat yang berasaskan perubatan dan kesihatan, ia dianggap sebagai khidmat penting sewaktu pandemik COVID-19. Tambahan lagi, penjualan peralatan kesihatan UMC meningkat akibat permintaan yang tinggi.

Prestasi kewangan

UMC menunjukkan pendapatan yang menaik dari tahun kewangan 2019 sehingga tahun kewangan 2022. Pendapatan mereka meningkat sebanyak 44% iaitu daripada RM 16.422 juta pada tahun 2019, menjadi RM 23.676 juta pada tahun 2020. Hal ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap peralatan kesihatan sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Kenaikan pendapatan kemudian diteruskan lagi pada tahun kewangan 2020 sehingga ke tahun kewangan 2021 dengan peningkatan sebanyak RM 10.44 juta menjadi RM 34.116 juta.

Prestasi kewangan UMC

UMediC Group Berhad melalui anak-anak syarikatnya, terlibat di dalam pemasaran dan pengedaran peralatan perubatan pelbagai jenama, bekalan perubatan guna habis dan juga perkhidmatan selepas jualan bagi kesemua produknya.

Pendapatan syarikat UMC dibahagikan mengikut dua (2) segmen, iaitu:

Pendapatan mengikut segmen

Jika dilihat pada rajah di atas, majoriti pendapatan adalah dari segmen pemasaran dan pengedaran, manakala segmen pembuatan menyumbang hanya lebih kurang 11% ke 22% daripada hasil pendapatan syarikat.

Pendapatan bagi segmen pemasaran dan pengedaran mengalami peningkatan setiap tahun, termasuk untuk tempoh kewangan 2022 (sehingga 31 Januari 2022). Segmen pembuatan juga menunjukkan peningkatan yang positif, namun terdapat sedikit penurunan pada tempoh kewangan 2022.

Strategi IPO pada masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan (%)
Pembinaan kilang dan menyediakan pejabat baru bagi tujuan pemasaran dan pengedaran 10.3 33.11
Pembayaran balik pinjaman bank 9 28.93
Modal kerja 8.63 27.84
Perbelanjaan penyenaraian 3.15 10.12
Jumlah 31.112 100.00

 

Majoriti dana yang dikutip daripada penyenaraian IPO akan digunakan untuk membina kilang dan juga pejabat pemasaran dan pengedaran baru. Kilang ini akan digunakan untuk membuat dan memasang produk-produk baru, dan pada masa yang sama akan digunakan sebagai pusat penyimpanan bagi produk yang bakal diedarkan, termasuk penyimpanan bahan mentah dan barang siap. Pejabat baru untuk pemasaran dan pengedaran yang akan bertempat di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pula akan digunakan sebagai bilik pameran dan pusat khidmat pelanggan.

Sebanyak 28.93% dana IPO akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank. Pembayaran balik ini dijangka akan dapat menjimatkan kos faedah sehingga RM 0.31 juta setahun.

Modal kerja syarikat dijangka akan meningkat sejajar dengan pengembangan perniagaan. Oleh itu, sebanyak RM 8.63 juta daripada dana akan digunakan untuk membiayai pembelian produk pengedaran tambahan. Baki dana sebanyak 10.12% pula akan digunakan untuk pembelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri UMC

Menurut laporan Protege Associates, UMC terlibat dalam pemasaran dan pengedaran peralatan perubatan pelbagai jenama, bahan guna habis dan juga khidmat selepas jualan bagi kesemua produk mereka. Selain itu, UMC juga terlibat dalam pembinaan, pembuatan dan pemasaran produk perubatan guna habis.

Produk syarikat ini kebanyakkan dijual kepada hospital swasta, kerajaan, pusat-pusat kesihatan yang lain, termasuk kepada perniagaan yang tidak berasaskan kesihatan.

Industri kesihatan

Industri kesihatan merangkumi bidang perundingan, diagnosis, rawatan dan perubatan bagi pelbagai penyakit. Khidmat ini diberikan oleh petugas-petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat. Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia dibahagikan kepada dua, iaitu awam dan swasta.

Jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan di Malaysia telah menunjukkan peningkatan semenjak dari tahun 2016 hingga 2020 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.7%. Selain itu, pembinaan hospital baru serta nisbah katil juga turut meningkat. Oleh itu, ia dapat memberi peluang untuk pembinaan berterusan bagi industri kesihatan di Malaysia.

Jumlah pembelanjaan kesihatan di Malaysia.
Jumlah pembelanjaan kesihatan di Malaysia.

Industri peralatan perubatan

Peralatan perubatan adalah sebarang peralatan seperti radas, mesin, dan perkakas yang dapat membantu prosedur perubatan seperti diagnosis, merawat, dan konsultasi.

Malaysia merupakan hub pembuatan untuk peralatan perubatan, termasuk menjadi penempatan bagi syarikat luar seperti B. Braun dan Abbot Medical. Terdapat lima kategori peralatan perubatan di Malaysia, iaitu:

Produk yang diedarkan UMC tergolong di dalam peralatan diagnostik, seperti monitor dan mesin ultrasound. Manakala produk yang dibuat oleh UMC pula adalah seperti pelembap pra-isi dan nebulizer pra-isi.

Prestasi industri

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberi impak positif terhadap penumbuhan industri. Sebanyak RM 7.7 bilion pelaburan industri telah direkodkan bagi tahun 2021, iaitu kenaikan daripada RM 6.1 bilion pada tahun 2020 dan RM 4 bilion pada tahun 2019.

Nilai eksport peranti perubatan di Malaysia
Nilai eksport peralatan kesihatan di Malaysia.

Peralatan kesihatan yang dibina di Malaysia memenuhi permintaan tempatan dan global. Hasil eksport peralatan kesihatan Malaysia meningkat sebanyak 25.5% daripada RM 23.9 bilion pada tahun 2019 kepada RM 30 bilion pada tahun 2020.

Sejarah dan ramalan pertumbuhan industri.

Merujuk kepada rajah di atas, industri peralatan kesihatan mengalami kenaikan pada tahun 2019 dan 2020 oleh kerana permintaan yang tinggi sewaktu pandemik COVID-19 berlaku. Pandemik COVID-19 ini telah menunjukkan kepentingan mempunyai peralatan kesihatan yang dapat membantu dalam memudahkan rawatan atau pencegahan penyakit.

Dengan bantuan serta sokongan dari pihak kerajaan, industri kesihatan di Malaysia dijangka akan dapat mengekalkan pertumbuhan.

Persaingan

Bagi tujuan pembandingan, Protege Associates telah memilih beberapa syarikat yang menjalankan perniagaan yang serupa dengan UMC. Syarikat-syarikat ini haruslah menetapi kriteria seperti berikut:

Antara pesaing UMC yang menepati kriteria-kriteria di atas adalah seperti berikut:

Perbandingan di antara UMedic dan pemain industri lain di Malaysia
Perbandingan di antara UMC dan pemain industri lain di Malaysia.

Perbincangan

Secara keseluruhan, UMC menunjukkan penumbuhan yang memberangsangkan dari segi pendapatan dan keuntungan sepanjang tahun 2019 sehingga 2021. Peningkatan ini didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap peralatan kesihatan semenjak wabak COVID-19 melanda.

Majoriti dana IPO akan digunakan untuk tujuan mengembangkan perniagaan. Langkah ini merupakan langkah yang positif bagi syarikat dalam meningkatkan pendapatan. Namun, syarikat berkemungkinan menghadapi risiko sekiranya permintaan berkurangan. Seandainya syarikat ini mampu menangkap penumbuhan industri dengan baik, ia berpotensi untuk melangkah lebih jauh. Oleh itu, UMC perlu membuktikan bahawa kemampuan mereka untuk berkembang apabila disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia tak lama lagi.


< kembali ke laman blog utama