FUNDAMENTAL

10-JUN-2020

Topline dan Bottomline - Sekilas Prestasi Kewangan


 


Ada dua ukuran terbesar yang kita boleh lihat sebagai cara mudah menilai syarikat. Dua ukuran tersebut adalah topline dan bottomline sesebuah syarikat. Kedua-dua istilah ini boleh sahaja disebut sebagai pendapatan kasar dan bersih sesuatu syarikat. Namun istilah ini juga kerap disebut sebagai topline dan bottomline dalam perbincangan syarikat, contohnya dalam AGM.

Istilah topline dan bottomline

Asal usul istilah topline dan bottomline ini boleh difahami dari format penyata pendapatan syarikat. Penyata pendapatan (income statement) syarikat kebiasaanya akan menunjukkan penyata pendapatan dan perbelanjaan syarikat.

Dari penyata ini, barisan pertama akan menunjukkan pendapatan (revenue). Inilah yang dirujuk sebagai topline. Di baris terakhir pula, penyata untuk angka pendapatan bersih (net profit/loss) akan ditulis. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah bottomline di sini. Dengan ini, anda boleh terus lihat pada barisan pertama dan barisan terakhir dalam penyata pendapatan syarikat.

topline bottomline statement

Pertumbuhan topline

Seperti yang dibincangkan tadi, topline merujuk kepada pendapatan kasar syarikat. Ada syarikat lebih menumpukan pertumbuhan topline. Dari segi aktiviti syarikat, pertumbuhan ini boleh diterjemah kepada projek, pengeluaran atau jualan yang lebih banyak. Sekiranya syarikat membuat jualan yang lebih banyak, bermakna capaian syarikat adalah lebih besar dan potensi jualan adalah lebih tinggi.

Pertumbuhan bottomline

Bottomline merujuk kepada pendapatan bersih syarikat setelah mengambil kira perbelanjaan syarikat yang termasuk kos operasi, faedah pinjaman, kadar cukai dan sebagainya. Peningkatan kepada topline boleh meningkatkan bottomline. Tapi untuk topline yang sama, syarikat yang mempunyai perbelanjaan yang lebih rendah akan mempunyai bottomline yang lebih tinggi.

Oleh itu, bottomline boleh menunjukkan kecekapan syarikat dalam menguruskan kewangan dan kos operasi. Dengan pertumbuhan bottomline, syarikat akan memegang simpanan tunai yang lebih banyak. Pegangan tunai ini boleh digunakan untuk pemberian dividen, pelaburan perniagaan, pembelian semula saham syarikat dan sebagainya.

topline bottomline qr Carta QR boleh didapati pada bahagian fundamental saham. Contoh: AXREIT

Satu perkara yang perlu diperhatikan juga ialah penjualan aset akan termasuk dalam bottomline syarikat. Sesebuah syarikat boleh mencatatkan keuntungan yang lebih daripada pendapatan sekiranya jualan aset berlaku, terutamanya melibatkan aset yang besar. Penjualan aset seperti ini disebut sebagai one-off gain. Adakalanya, jualan aset seperti ini membuatkan pelabur terkeliru dengan prestasi sebenar syarikat. Maka, ia adalah sesuatu yang perlu diteliti dalam kajian.

Yang mana lebih penting

Kepentingan topline atau bottomline boleh jadi berbeza mengikut syarikat dan situasi yang dipersiapkan. Ada syarikat yang lebih mementingkan pertumbuhan topline daripada bottomline. Ini lebih biasa dijumpai pada syarikat yang baru dan ingin meluaskan capaian pelanggan.

growth line

Syarikat yang mempunyai bottomline yang lebih tinggi akhirnya akan memegang tunai yang lebih banyak. Ini adalah penting terutamanya dalam menghadapi waktu yang mencabar. Namun, syarikat yang bagus sebenarnya akan mempunyai topline dan bottomline yang meningkat. Dan sebenarnya syarikat seperti ini memang banyak di Bursa. Sekiranya anda ingin melabur, modal anda lebih selamat untuk dilaburkan di dalam syarikat-syarikat seperti ini.

Kesimpulan

Secara ringkas, kita boleh melihat pada topline dan bottomline sesebuah syarikat untuk menilai sekilas prestasi jualan dan kewangan. Ia tidaklah memberikan gambaran keseluruhan syarikat yang dapat dinilai dari pelbagai kriteria fundamental yang lain. Namun, ia sudah memadai untuk kajian asas sesebuah syarikat di mana pertumbuhan dalam kriteria ini menunjukkan syarikat ini sedang melakukan sesuatu untuk bertambah maju.


< kembali ke laman blog utama