UMUM

02-APR-2020

T7 Global - Mengharungi Dua Sektor Terkesan COVID-19


 


Di kala pandemik COVID-19 ini berlaku, ramai yang sedia maklum bahawa industri penerbangan dan minyak terjejas dengan teruk kerana takut terkena wabak ini. Satu syarikat dikenali yang menjalankan aktiviti perniagaan dalam kedua-dua bidang yang terkesan ini adalah T7 Global Berhad.

Pemelbagaian ke bidang aeroangkasa

T7 Global Berhad (atau "T7") telah ditubuhkan sejak 1990 dan merupakan syarikat penyedia perkhidmatan dalam bidang minyak dan gas. Bidang perkhidmatan minyak dan gas yang dijalankan oleh T7 adalah subsea services atau perkhidmatan bawah laut. Bahagian operasi ini telah berjalan sejak peringkat awal penubuhan syarikat lagi.

Bermula 2018, mereka telah mempelbagaikan aktiviti perniagaan dengan menceburi bidang aeroangkasa. Mungkin pada pandangan ramai, bidang ini bukan yang pertama yang difikirkan untuk pemelbagaian aktiviti perniagaan. Namun, mereka menyatakan bahawa terdapatnya sebuah pasaran dan permintaan yang menggalakkan.

gambar kapal terbang

Dari segi kepakaran, mereka menganggap pemelbagaian ke bidang aeroangkasa ini bukanlah suatu lompatan yang besar. Secara asasnya, kedua-dua bidang ini bersifat kejuruteraan, dan pekerja mereka boleh dilatih semula untuk kepakaran aeroangkasa.

Keadaan pasaran minyak dan aeroangkasa

Seperti mana yang disebut di atas tadi, kedua-dua bidang iaitu minyak dan aeroangkasa ini terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 ini. Ia bermula dengan kurangnya penerbangan antarabangsa dan juga pergerakan kenderaan secara umumnya yang mengakibatkan permintaan berkurang untuk kapal terbang dan juga minyak.

Namun apakah kesannya kepada syarikat dalam bidang ini, khususnya T7 Global? Untuk bidang minyak dan gas, T7 ada kontrak yang masih berjalan dengan Petronas untuk kerja-kerja Maintenance, Construction & Modification (MCM) dan Water Inspection Services yang diterima pada penghujung 2019. Aktiviti MCM dijangka berjalan dengan kukuh untuk 3 tahun ke hadapan, manakala perkhidmatan Underwater Services pula adalah aktiviti berkala.

petronas activity maintenance, construction, modification Gambar keratan dari Petronas Activity Outlook

Bidang aeroangkasa pula menghadapi permintaan yang berkurang buat masa ini. Maka untuk jangka masa pendek, aktiviti perniagaan ini akan terjejas dengan kurangnya permintaan. Untuk jangka masa panjang pula, Airbus dan Boeing menjangkakan angka yang meningkat untuk pesawat udara sebanyak lebih dari dua kali ganda menjelang tahun 2037. Pertambahan bilangan pesawat udara ini adalah sebanyak 37,000 hingga 40,000 buah pesawat dalam masa kurang 20 tahun.

mida aerospace infographic Gambar: MIDA

Pasaran aeroangkasa adalah industri di mana rantaian bekalannya bersifat global. Rantaian ini kini semakin beralih ke negara ASEAN untuk proses perkilangan. Malaysia juga mempunyai perancangan melalui Malaysian Aerospace Industry Blueprint 2030 untuk menjadi negara yang mendahului sektor aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.

Industri ini masih kecil dan kerajaan sedang giat menarik syarikat antarabangsa untuk melabur dan menjadikan Malaysia sebagai kawasan strategik untuk industri aeroangkasa ini. Anggaran pendapatan tahunan yang disasarkan menjelang tahun 2030 dari industri ini adalah sebanyak RM 55.2 bilion.

Prestasi kewangan T7 Global

Kedudukan kewangan T7 Global adalah agak stabil untuk beberapa tahun terbaru ini. Kita boleh lihat T7 mencatatkan pendapatan lebih dua kali ganda dari tahun 2016 ke 2017 pada angka RM 204.5 juta. Angka ini diikuti dengan peningkatan sebanyak 2.9% kepada RM 210.4 juta pada tahun 2018.

t7 global financial highlight 2018

Jika melihat pada keuntungan selepas cukai pula, tiga tahun kewangan terbaru menunjukkan angka yang meningkat. Keuntungan dicatatkan pada RM 5.06 juta pada tahun 2016. Ia meningkat ke RM 5.66 juta pada tahun 2017 dan kenaikan hampir gandaan dua pada RM 10.56 juta pada 2018. Sebahagian besar keuntungan ini disumbangkan dari segmen minyak dan gas. Walaupun T7 juga menjalankan aktiviti perniagaan dalam hartanah dan aeroangkasa, hasil ini belum mencukupi untuk dipecahkan ke dalam segmen tersendiri.

Secara ringkas

Sebagai penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas, T7 Global masih menerima manfaat dari kontrak yang telah mula berjalan. Manfaat ini dijangka dapat memberi T7 sumber pendapatan yang berterusan sehingga 2 tahun ke hadapan. Namun, sekiranya harga minyak kekal rendah, terdapat kemungkinan pelbagai perkhidmatan sokongan minyak dan gas untuk dikurangkan. Bidang aeroangkasa pula dilihat sebagai terjejas untuk jangka masa pendek, tapi positif untuk jangka masa panjang.


< kembali ke laman blog utama