UMUM

05-APR-2021

Syarikat yang Bakal IPO Dalam Masa Terdekat


 


Menjelang awal tahun 2021, terdapat 4 IPO baharu telah disenaraikan di Bursa Malaysia. Penyenaraian IPO ini telah mendapat sambutan oleh pelabur saham di Malaysia ibarat pisang goreng panas. Situasi ini dapat dilihat apabila salah satu IPO iaitu Flexydynamic telah oversubscribed sebanyak 155.72 peratus dalam senarai pemohonan. Mari kita lihat antara IPO yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.

RAMSSOL Group Berhad

Ramssol mula ditubuhkan pada tahun 2010 dibawah nama RAMS Solutions yang menawarkan penyelesain inovatif teknologi terhadap pengurusan modal insan. Syarikat ini telah mengembangkan pasaran ke beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Setiap pasaran dalam negara-negara ini mempunyai fungsi dan matlamat masing-masing.

ramssol website frontpage
Gambar : Ramssolgroup.com

Pada tahun 2019, syarikat ini telah menukar nama kepada RAMSSOL Group. Dana daripada penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk mengembangkan pemasaran produk IT Feet's dan Lark ke Asia Tenggara. Selain itu, wang IPO ini juga digunakan untuk tujuan penyelidikan (R&D) dan mengembangkan sayap pasaran baru iaitu Filipina.

Dari segi prestasi kewangan, Ramssol telah mencatat pertumbuhan pendapatan yang meningkat selama 3 tahun. Pada tahun 2019 ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM15.44 juta berbanding RM6.8 juta tahun 2017. Peningkatan ini menyebabkan Ramssol mencatat margin keuntungan yang tinggi pada tahun 2019. Syarikat ini telah mencatatkan peratusan margin keuntungan sebanyak 24% (2019) berbanding tahun 2017 sebanyak 1.2%.

prestasi kewangan ramssol

Nestcon Berhad

Nestcon Berhad mempunyai dua anak syarikat iaitu Nestcon Infra Sdn Bhd dan Nestcon Builders Sdn Bhd. Nestcon Infra menjalankan projek kejuruteraan awam dan infrastruktur seperti penyediaan tapak, earthwork, penambakan tanah, infrastruktur kereta api, jambatan dan pelbagai lagi. Manakala, Nestcon Builders tertumpu terhadap pembinaan perumahaan kediaman, komersial dan bangunan industri.

Gambar: Nestcon

Melalui IPO ini, Nestcon Berhad akan mendapat dana untuk membeli peralatan mesin pembinaan, pembayaran hutang bank serta mendapatkan perisian dan sistem yang lebih baik. Selain itu, dana ini juga digunakan untuk membeli teknologi dan membina fasiliti IBS yang lengkap.

Dari segi prestasi kewangan, Nestcon menunjukkan pertumbuhan yang stabil dari 2017 sehingga 2019. Prestasi ini diteruskan apabila Nestcon mencatat keuntungan sebanyak RM14.58 juta pada tahun 2019 berbanding RM5.48 juta tahun 2017.

prestasi kewangan nestcon

Haily Group Berhad

Haily Group Berhad adalah sebuah syarikat pembinaan yang didaftar di bawah CIDB sebagai kontraktor kelas G7. Ia terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman, bukan kediaman, komersial dan industri. Haily akan bertanggungjawab dalam keseluruhan projek pembinaan meliputi persekitaran binaan luaran, infrastruktur fizikal dan lain-lain.

haily st marco park
Antara projek perumahan yang terlibat oleh Haily di St Marco Park, Kulai Johor. Gambar : Haily

Syarikat ini mempunyai dua anak syarikat iaitu Haily Construction dan Haily Machinery. Penyenaraian IPO ini bertujuan untuk mengumpul dana pembelian peralatan pembinaan seperti tractor, scaffolding, dan backhoe loaders. Pembelian mesin ini mampu meningkatkan kecekapan kerja-kerja pembinaan yang akan dijalankan pada masa hadapan. Selain itu, ia juga akan digunakan untuk pembelian peralatan pejabat seperti komputer, software server dan lain-lain.

Haily menunjukkan prestasi pendapatan dan keuntungan yang tidak konsisten sejak 2017 sehingga laporan terkini pada tahun 2019. Pendapatan tertinggi dicapai pada tahun 2018 sebanyak RM173.78 juta. Peningkatan ini terbantut apabila keuntungan syarikat merosot daripada RM12.55 juta (2017) kepada RM8.86 juta (2019).

prestasi kewangan haily

Pekat Group Berhad

Pekat Group Berhad ditubuhkan pada tahun 2000 dan menjalankan perkhidmatan dan peralatan kejuruteraan sistem ELP (Earth Ligthning Protection). Seiring dengan galakan teknologi hijau oleh kerajaan, syarikat ini telah melebarkan pasaran dengan terlibat dalam perniagaan panel solar pada tahun 2009. Ia telah mendapat kontrak pertama pemasangan solar PV sistem di Platinum Sentral berkapasiti 168.0 kWp dan siap sepenuhnya pada tahun 2011.

pekat product and services
Gambar : Pekat

Syarikat ini mempunyai beberapa buah anak syarikat seperti Pekat Solar Sdn Bhd, Pekat E&LP Sdn Bhd, Pekat Engineering, E&LP Engineering, dan Pnexsoft. Salah satu sebab penyenaraian ke IPO bertujuan mengumpul dana membangunkan sebuah ibu pejabat baharu di Elmina. Pejabat ini akan mempunyai fasiliti lengkap seperti bilik pameran, pusat latihan, gudang, bengkel dan lain-lain.

Dari segi aspek kewangan, pada tahun 2017 Pekat Group telah memperoleh jumlah pendapatan kepada RM72.83 juta dan meningkat tahun berikutnya sebanyak RM120.12 juta (2018) dan RM119.52 juta (2019). Peningkatan ini menyebabkan Pekat mencatatkan margin keuntungan yang memberangsangkan selama 3 tahun. Pada tahun 2019, Pekat mencatatkan peratusan margin keuntungan sebanyak 12.4% berbanding tahun 2018 sebanyak 9%.

prestasi kewangan pekat

Pelbagai lagi IPO menarik

Syarikat-syarikat di atas telah pun menghantar prospektus awal ke SC seawal penghujung Oktober 2020, menandakan langkah yang semakin hampir ke arah IPO. Selain itu, ada juga beberapa lagi syarikat lain yang akan ke IPO. Antara yang boleh dikenalpasti ialah Yenher Holdings Berhad, CEKD Berhad, Ecomate Holdings Berhad, Keyfield International Berhad dan HARPS Holdings Berhad.

HARPS terlibat dalam industri pembuatan sarung tangan dan bakal disenaraikan dalam pasaran utama. Penyenaraian ini bakal menambahkan jumlah syarikat yang didagangkan di Bursa dalam sektor industri sarung tangan.

Selain itu, kita juga pernah dengar Farm Fresh untuk disenaraikan di Bursa, tapi masih belum lagi nampak prospektus dihantar setakat ini. Jika menjadi, penyenaraian ini akan menjadikan Farm Fresh sebagai syarikat pengeluar tenusu tempatan pertama disenaraikan di Bursa Malaysia.

Seterusnya, CTOS juga telah mengemukakan niatnya untuk penyenaraian di Bursa. CTOS merupakan syarikat terlibat dalam perkhidmatan pengurusan risiko kredit dan penyelesaian kewangan. Pastinya dikenali ramai, bila nak buat pinjaman bank saja, antara syarikat yang kita cari untuk cek rekod kredit CCRIS ni adalah CTOS. Sebahagian syarikat ini dimiliki oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Creador yang juga mempunyai pegangan saham dalam syarikat besar seperti Mr DIY.

Penutup

Kesimpulannya, untuk merancakkan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia kerajaan telah memperkenal satu mekanisme dalam Program Strategik PEMERKASA. Misalnya, dalam inisiatif ke-9 kerajaan telah mengecualikan fi selama 12 bulan terhadap syarikat memohon penyenarain di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Program ini bertujuan untuk memulihkan ekonomi dengan suntikan dana terhadap 20 inisiatif diperkenalkan.


< kembali ke laman blog utama