TEKNIKAL

27-DEC-2021

Strategi Analisis Teknikal - Bollinger Bands


AZ    


Bollinger bands ataupun dikenali sebagai BB merupakan salah satu kajian analisis teknikal yang digunakan oleh pelabur dalam pasaran saham. Indikator ini telah dicipta oleh John Bollinger pada tahun 1980-an. Ia berfungsi untuk menentukan pergerakan harga sesuatu saham. Bukan itu sahaja, BB juga mempunyai kegunaan lain seperti menentukan fasa overbought dan oversold, aliran trend pergerakan saham, dan fasa breakout.

Pengasas Analisis Bollinger Bands

John Bollinger dilahirkan pada 27 Mei tahun 1950 di sebuah kawasan bernama Montpelies, Vermont, Amerika Syarikat. Beliau terkenal dengan sumbangannya mencipta analisis pergerakan volatile yang dikenali sebagai Bollinger Bands (BB) iaitu melalui konsep pergiraan ilmu statistik dua standard deviation dan simple moving average untuk mengetahui harga diplotkan di sekitar harga purata.

Beliau menjadi pelabur sepenuh masa pada tahun 1980 dan kemudian menyertai Financial News Network sebagai Ketua Penganalis Pasaran selama 7 tahun dari 1984 sehingga tahun 1990. Beliau sering muncul dalam rangkaian penyiaran CNBC membincangkan analisis teknikal. John Bollinger mempunyai dan mengasas Bollinger Capital Management yang merupakan firma penyelidikan dan pelaburan.

John Bollinger
Gambar: worldtopinvestor

Kaedah penggunaan Bollinger Bands

Indikator ini kebiasaannya menggunakan simple moving average 20 (SMA 20). Ia berada di garisan pertengahan di antara garisan upper BB dan lower BB. 3 jalur garisan ini bermaksud:

Fasa Jalur Garisan Bollinger Bands

Fasa uptrend Bollinger Bands

Apabila fasa uptrend pergerakan sesuatu saham syarikat berlaku, indikator BB akan menilai sejauh mana momentum pergerakan ini meningkat. Kebiasaannya apabila ia menyentuh atau melebihi di sepanjang garisan jalur upper BB, ini bermaksud pergerakan momentum saham berada di peningkatan uptrend. Hal ini disebabkan berlakunya permintaan pembelian terhadap saham tersebut. Situasi ini dikenali sebagai overbought.

Sekiranya pergerakan saham gagal menyentuh atau melebihi garisan jalur upper BB, ini boleh dianggap berlaku kerana kehilangan momentum pergerakan saham dalam fasa uptrend. Ketika berada di fasa momentum uptrend, pergerakan sesuatu saham tidak seharusnya menyentuh jalur lower BB. Apabila ini terjadi, berkemungkinan perubahan trend (reversal) pergerakan saham akan berlaku.

Fasa Uptrend Bollinger Bands

Fasa downtrend Bollinger Bands

Apabila beberapa candlestick chart mula menyentuh atau melebihi garisan jalur lower BB, ini menunjukkan berkemungkinan fasa downtrend pergerakan akan bermula. Jika harga turun di garisan lower BB, saham tersebut akan memasuki fasa oversold. Aliran menurun ini sukar dijangka, ada kalanya mengambil masa berminit, berjam, berminggu, bulan atau bertahun.

Fasa Downtrend Bollinger Bands

Jangkaan pergerakan perubahan trend

Sekiranya pergerakan harga sesebuah saham berada di fasa uptrend dan melebihi garisan jalur upper BB, ia akan masuk kembali ke dalam graf apabila momentum pergerakan kenaikan harga saham berkurangan. Namun perubahan trend akan berlaku pada fasa ini, apabila candlestick mula menyentuh garisan jalur lower BB.

Jika harga sesebuah saham berada di fasa downtrend serta terus melebihi garisan jalur lower BB, ia akan masuk kembali ke dalam graf apabila momentum penurunan pergerakan harga saham berkurangan. Ia akan kembali meningkat ke fasa middle BB dan upper BB. Apabila isyarat ini terjadi, perubahan trend akan berlaku dari downtrend kepada uptrend.

Kelemahan Bollinger Bands

Bollinger Bands bukanlah satu indikator yang boleh bergerak sendiri dalam kajian teknikal. Ia juga perlu bergantung dengan indikator teknikal lain. John Bollinger telah mencadangkan beberapa indikator lain seperti moving average convergence divergence (MACD), relative strength index (RSI), average volume dan lain-lain. 

Kesimpulan

Penunjuk indikator Bollinger Bands hanyalah alat analisis teknikal semata-mata. Ia juga mempunyai kelemahan dan tidak semestinya akan memberikan isyarat yang betul.  Sekiranya teknik BB tidak menjadi, pelabur perlu mempunyai persediaan langkah alternatif. Oleh itu, strategi dan trading plan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum memulakan pelaburan saham sebenar.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama