FUNDAMENTAL

26-SEP-2022

Spritzer - Pengeluar Air Mineral Kaya Silika Terbesar di Malaysia


 


Air merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Umum mengetahui bahawa 70% komposisi tubuh kita terdiri daripada air. Mengikut kajian, tubuh kita boleh bertahan selama seminggu tanpa makanan tetapi hanya tiga hari tanpa air. Sebab inilah, kita digalakkan untuk sentiasa minum air yang bersih serta kaya dengan bahan mineral agar tubuh kita boleh berfungsi secara optimum.

Di Malaysia, mudah sahaja untuk kita mendapatkan akses kepada air minuman yang bersih. Sebagai contoh, kita boleh pergi ke pasaraya atau kedai runcit berdekatan dan beli sahaja produk air yang sudah dibotolkan dan dijual secara meluas. Antara produk air tempatan yang terkenal serta mudah untuk kita dapatkan ialah air botol berjenama Spritzer. Ini kerana, Spritzer merupakan pengeluar air mineral yang terbesar di Malaysia.

Spritzer Berhad

Ditubuhkan pada akhir 1980-an oleh Lim Kok Cheong, Spritzer kini merupakan perintis dan peneraju dalam industri air botol di Malaysia. Syarikat ini terlibat secara langsung dalam pembuatan, pemasaran dan penjualan produk air botol yang pelbagai. Selain daripada produk utamanya iaitu air mineral, banyak lagi jenama air lain yang sebenarnya dikeluarkan sendiri oleh Spritzer seperti Cactus, Summer, Desa, Tinge dan Pop.

Produk Spritzer
Gambar: Spritzer

Pengeluar Air Mineral Terbesar di Malaysia

Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh Euromonitor Research, Spritzer memegang sebanyak 48% nilai jualan pasaran iaitu yang tertinggi dalam keseluruhan jualan air botol di Malaysia. Ini jauh meninggalkan dua pencabar utamanya iaitu Sea Master dan Evian, masing-masing dengan nilai jualan pasaran sebanyak 13.2% dan 9.8%.

Kecanggihan peralatan kilang yang dilengkapi dengan teknologi pembotolan automatik serta dipantau sepenuhnya oleh barisan jurutera yang profesional ialah salah satu sebab kenapa Spritzer mampu mendominasi pasaran air botol di Malaysia. 

Proses pembotolan air di sini juga sangat menitikberatkan aspek kebersihan serta tiada sentuhan tangan berlaku dari sumber air sehingga kepada produk akhir. Setakat ini, Spritzer mempunyai tiga kilang pemprosesan di lokasi yang berlainan dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 750 juta liter air.

 

Kilang Spritzer
Kilang pemprosesan air Spritzer yang terletak di Taiping, Perak. Gambar: Spritzer

Hutan Hujan Berusia 220 Juta Tahun

Mungkin ramai antara kita yang terfikir, bagaimana Spritzer boleh mengekalkan kesegaran dan rasa air mineral mereka? Rahsianya ialah pada sumber air yang datang dari tapak hujan seluas 390 ekar di Taiping, Perak. Tapak sumber air semulajadi ini bebas daripada pencemaran kerana terletak sedalam 420 kaki di bawah tanah. Ketika disedut keluar, air akan melalui 5 lapisan batuan dan akan menyerap segala jenis mineral di sepanjang perjalanan.

 

Air Bawah Tanah
Gambar: Silica Waters

Air Mineral Kaya Silika

Proses pemendapan air yang lama di dalam tanah itulah punca kenapa air mineral Spritzer ini kaya dengan kandungan silika. Silika merupakan bahan mineral penting yang memberi kekuatan dan fleksibiliti kepada tisu penghubung badan manusia. Selain itu, silika juga membantu dalam proses mensintesis kolagen dalam badan secara semula jadi. Kolagen penting untuk menjadikan kulit, rambut dan kuku sihat.

Menurut satu jurnal, kandungan silika dalam air Spritzer adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan jenama air mineral yang lain di Malaysia. 

 

Kandungan Silika

Sumber: Journal of Natural Sciences Research

Acilis by Spritzer - Produk Premium Terbaharu

Pada tahun 2019, Spritzer telah melancarkan produk premium terbaharunya iaitu Acilis by Spritzer. Air ini mengandungi jumlah silika terlarut yang lebih tinggi berbanding produk Spritzer yang lain iaitu sekitar 55.2 mg/L. Air ini juga mempunyai tahap PH yang seimbang iaitu sekitar 7.2 dan menjadikan ianya selamat untuk diminum oleh semua peringkat umur.

Oleh sebab itu, produk ini dijual dengan harga yang lebih tinggi dan banyak dieksport ke negara luar seperti United Kingdom dan Belanda disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat di sana.

 

Acilis oleh Spritzer
Gambar: Silica Waters

Bila sebut tentang produk air premium, mungkin ramai antara kita yang akan mula berfikir tentang produk air antarabangsa terkenal seperti Evian, Fiji dan Socosani. Tapi tahukah anda, kandungan silika yang terdapat di dalam sebotol air Acilis oleh Spritzer ini sebenarnya antara yang tertinggi di dunia jika dibandingkan dengan produk antarabangsa yang lain?

Sebagai langkah permulaan, anda mungkin boleh mengambil kira untuk membeli produk air Acilis oleh Spritzer di pasaraya yang terdekat sebelum membeli produk air lain yang lebih mahal. Di samping menyokong produk keluaran tempatan, banyak manfaat kesihatan lain yang anda juga akan dapat.

Kandungan Silika

Sumber: Water Purification Guide

Botol Berasaskan Tumbuhan Pertama di Malaysia

Tahukah anda bahawa Acilis by Spritzer ini ialah produk pertama di Malaysia yang menggunakan botol berasaskan tumbuhan dan dibotolkan sendiri di dalam negara. 30% daripada jumlah bahan plastik botol tersebut sebenarnya diperbuat daripada tebu.

Selain daripada kandungan plastik botol yang boleh dikitar semula sepenuhnya, penggunan botol berasaskan tumbuhan ini ialah langkah produktif yang diambil oleh Spritzer ke arah menjaga kelestarian alam sekitar untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sesuai dengan slogan mereka iaitu "Go Nature, Go Spritzer".

Botol Berasaskan Tumbuhan
Gambar: Spritzer

Silika dan Penyakit Alzheimer

Penyakit Alzheimer ialah penyakit berkaitan saraf otak yang biasanya bermula secara perlahan-lahan dan memburuk secara berperingkat dari masa ke masa. Alzheimer inilah yang menyumbang hampir 60% kepada kes demensia yang berlaku. Gejala awal yang paling biasa adalah kesukaran untuk mengingati kejadian yang baru sahaja berlaku. Biasanya, orang akan panggil penyakit Alzheimer ini sebagai penyakit nyanyuk.

Menurut pakar toksikologi aluminium terkemuka dunia, Profesor Christopher Exley, selain faktor penuaan, kajian makmal yang dijalankan mendapati aluminium juga merupakan punca utama seseorang itu menghidapi penyakit Alzheimer. Kandungan aluminium yang berlebihan di dalam badan akan menganggu sel-sel otak menyebabkan kemahiran berfikir seseorang mula merosot.

 

Aluminium dan Sel Badan
Sumber: IOI Press

Kita sebenarnya sentiasa terdedah dengan aluminium dalam kehidupan seharian. Contoh yang paling mudah ialah air tin. Air yang disimpan di dalam bekas tin akan meningkatkan risiko untuk partikel aluminium meresap masuk ke dalam air. Jika kita minum air tersebut, partikel halus aluminium akan mula masuk dan merebak ke sel-sel badan dan mengganggu fungsinya. Oleh itu, kita perlu menyingkirkan kembali kandungan aluminium berlebihan yang ada dalam badan kita ini.

Kajian klinikal yang dijalankan oleh Professor Christopher di Keele University menunjukkan bahawa, kandungan silika di dalam air Spritzer boleh membantu penghidap Alzheimer untuk membuang kandungan aluminium berlebihan dalam badan mereka melalui perkumuhan air kencing.

Katanya, "individu yang menghidap penyakit Alzheimer digalakkan untuk minum sekurang-kurangnya 1 liter air mineral Spritzer setiap hari dan paras aluminium akan berkurangan secara efektif dalam jangka masa 12 minggu sahaja". Sepanjang kajian klinikal dilakukan, tiga daripada lapan individu yang menghidap penyakit Alzheimer terbukti mampu meningkatkan fungsi kognitif otak mereka.

 

Ujian Klinikal
Sumber: Keele University

Kesimpulan

Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi dan bahan mineral yang berguna untuk manusia. Spritzer merupakan salah satu syarikat tempatan yang pandai menggunakan kelebihan ini dengan menjadi pengeluar air mineral kaya silika terbesar di Malaysia. Selain daripada rasa air mineral yang menyegarkan, kandungan silika yang terkandung di dalamnya adalah baik untuk kesihatan kita.


< kembali ke laman blog utama