IPO

11-FEB-2022

Siab - Menyokong Pertumbuhan Syarikat dengan Dana IPO


 


Siab Holding Berhad
Siab Holding Berhad

Siab Holding Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembinaan bangunan dan perkhidmatan pelengkap seperti penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Butiran IPO Siab adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.30
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 146.89 juta
Nisbah PE:
13.33
Permohonan ditutup:
16 Febuari 2022
Cabutan saham:
18 Febuari 2022
Tarikh penyenaraian:
28 Febuari 2022

Bisnes Siab

Siab, melalui anak syarikatnya, terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembinaan bangunan. Syarikat ini juga menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Model perniagaan Siab boleh dilihat pada rajah di bawah:

Sumber: Prospektus Siab.

Sehingga kini, Siab telah berjaya membina pelbagai projek bernilai lebih RM 2 bilion. Projek-projek yang telah dijalankan termasuklah pembinaan bangunan komersial mewah, pejabat, bangunan perindustrian, pasaraya dan banyak lagi. Antara projek pembinaan yang telah dibina Siab adalah seperti Hospital Bentong, Quayside Mall, kilang Masteel, dan Tesco Jenjarom.

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalankan berulang kali di dalam negara ini, kerja-kerja di pejabat dan tapak pembinaan syarikat Siab Holdings Berhad menjadi terbatas. Oleh kerana itu, beberapa projek pembinaan yang sedang berjalan terpaksa ditangguhkan.

Sungguhpun begitu, tiada gangguan bekalan bahan berlaku kerana aktiviti ekonomi kemudian dibenarkan berjalan dengan bersyarat. Disebabkan itu, Siab tidak menerima sebarang pembatalan, penggantungan kontrak, pengurangan skop kerja, atau perubahan tender sepanjang tempoh PKP.

Pendapatan Siab pada FYE 2020 meningkat berbanding FYE 2019 iaitu sebanyakRM 30.50 juta (12.56%). Peningkatan ini adalah disebabkan pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen bukan kediaman syarikat ini. Selain itu, bantuan berkaitan COVID-19 iaitu one-off subsidi gaji yang diberikan kerajaan selama 6 bulan juga turut membantu kenaikan pendapatan syarikat ini.

Namun begitu, terdapat penurunan pendapatan pada FPE 2021, iaitu sebanyak RM 20.30 juta atau 17.90% daripada RM 113.42 juta pada FPE 2020.

Prestasi kewangan

Pendapatan syarikat Siab Holdings Berhad diperolehi daripada pembinaan bangunan kediaman dan juga bangunan bukan kediaman. Baki pendapatan syarikat pula diperolehi daripada penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Siab mengalami kenaikan pendapatan semenjak FYE 2018, iaitu dari RM 145.42 juta menjadi RM 242.89 juta pada FYE 2019. Kenaikan pendapatan diteruskan pada FYE 2020, iaitu sebanyak RM 30.50 juta atau 12.56%, menjadikan jumlah pendapatan pada tahun tersebut sebanyak RM 273.39 juta. Walaupun negara berada dalam PKP, syarikat ini diberikan kebenaran bersyarat oleh MITI bagi menjalankan kerja-kerja pejabat dan juga pembinaan untuk projek yang sedang berjalan. Siab juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan memohon extension of time (EOT) untuk menyiapkan projek tanpa dikenakan liquidated and ascertained damages (LAD).

Namun, terdapat penurunan pendapatan sebanyak 15.93% bagi FPE 2021 berbanding FPE 2020. Hal ini terjadi akibat PKP yang berterusan dan berulang, justeru menghadkan pergerakan pembinaan.

Prestasi kewangan Siab
Prestasi kewangan Siab

Pendapatan Siab melalui segmen perniagaannya dibahagikan kepada tiga, iaitu melalui pembinaan bangunan kediaman, bukan kediaman, dan lain-lain perkhidmatan seperti penyelesaian komunikasi (ICT).

Pada FYE 2018 sehingga FYE 2019, kenaikan pendapatan banyak disumbangkan daripada dua segmen, iaitu bangunan kediaman dan bukan kediaman. Manakala bagi FYE 2020 pula, peningkatan pendapatan sebanyak 12.56% berlaku disebabkan terdapat kenaikan yang tinggi pada segmen bangunan bukan kediaman.

Berbeza pula dengan pendapatan syarikat pada FPE 2020 dan FPE 2021, syarikat ini menghadapi penurunan pendapatan akibat kekurangan pendapatan dari segmen yang sama iaitu bangunan bukan kediaman.

Pendapatan mengikut segmen
Pendapatan Senheng mengikut segmen.

Jika dilihat, kesemua segmen ini mengalami peningkatan yang baik pada FYE 2018 sehingga FYE 2020, namun perniagaan menjadi sedikit terbantut pada tahun 2021 kesan dari pandemik COVID-19 yang melanda.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Membeli tanah dan pembinaan pusat penyimpanan barang 6.1 16.61
Pembelian mesin dan peralatan 13.13 35.74
Membeli sistem perisian BIM 3.07 8.35
Menaik taraf perisian dan sistem 0.81 2.21
Membesarkan pejabat 0.3 0.82
Modal kerja 9.3 25.32
Perbelanjaan penyenaraian 4.02 10.95
Jumlah 36.72 100.0

Jika dilihat dari jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan dana yang diperolehi dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan. Majoriti dana sebanyak RM 13.13 juta akan dimanfaatkan dengan membeli mesin dan peralatan, 16.61% untuk membeli tanah dan 8.35% untuk membeli perisian BIM. Sebahagian kecil dana akan digunakan untuk menaik taraf perisian lain, sistem dan membesarkan pejabat.

Selain itu, tawaran IPO ni juga dapat memberikan modal kerja kepada syarikat sebanyak 10.95%, iaitu bersamaan dengan RM 402.3 juta. Baki selebihnya pula akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Siab

Mengikut Laporan IMR, Siab terlibat terutamanya dalam pembinaan hartanah, di mana syarikat itu memberi tumpuan kepada pembinaan bangunan bukan kediaman iaitu seperti bangunan komersial dan perindustrian, serta bangunan kediaman seperti pangsapuri bertingkat tinggi dan kondominium.

Industri pembinaan

Pembinaan ialah satu siri proses yang menukarkan bahan mentah melalui dengan menggunakan tenaga buruh dan mesin untuk membina pelbagai bentuk bangunan dan infrastruktur. Industri pembinaan di Malaysia secara amnya boleh dibahagikan kepada dua, iaitu, pasaran pembinaan hartanah dan pasaran kerja perdagangan kejuruteraan awam dan khusus.

Pembinaan hartanah merujuk kepada proses menambah struktur dan bangunan ke kawasan tanah. Ini termasuklah pemasangan dan pendirian binaan pasang siap seperti tangga, tingkap, dinding, dan lain-lain. Aktiviti seperti memulihkan tapak dan bangunan bersejarah juga adalah salah satu aktiviti pembinaan. Pembinaan bangunan boleh dibahagikan kepada berikut:

Prestasi industri pembinaan

Industri pembinaan di Malaysia sebahagian besarnya adalah domestik dan merupakan komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia kerana hubungan strategik dan meluasnya dengan seluruh sektor ekonomi. Kerajaan Malaysia juga turut menyokong pertumbuhan industri pembinaan tempatan dengan mencadangkan projek-projek kerajaan sebagai sebahagian pembelanjaan pembangunan.

Terdapat sedikit peningkatan pada industri pembinaan tempatan iaitu daripada RM 66.22 bilion pada tahun 2018, menjadi RM 66.25 bilion pada tahun 2019. Hal ini terjadi kerana terdapat pertumbuhan dalam sektor kejuruteraan awam dan pasaran kerja perdagangan khusus yang sedikit sebanyak membantu prestasi hartanah yang lemah akibat situasi hartanah tidak terjual yang berterusan.

Sejarah dan ramalan pertumbuhan industrian pembinaan di Malaysia. Gambar: Prospectus Siab

Pada tahun 2020, pandemik COVID-19 telah melanda dunia dan telah menyebabkan kejatuhan sebanyak 19.2% terhadap pendapatan industri pembinaan. Pergerakan yang terbatas akibat PKP menyebabkan kerja-kerja pembinaan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu. Walaupun terdapat sedikit kelonggaran terhadap projek-projek tertentu, namun Standard Operating Procedure (SOP) PKP yang ketat membuatkan kerja pembinaan menjadi perlahan. Hampir keseluruhan ekonomi yang melumpuh sewaktu pandemik ini juga telah menyebabkan permintaan terhadap hartanah merundum.

Sungguhpun telah dibenarkan beroperasi, industri pembinaan terus terkesan dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2021 disebabkan SOP PKP yang ketat. Namun begitu, industri ini dijangka akan pulih semula bermula tahun 2022 atas peningkatan aktiviti ekonomi. Kadar vaksinasi yang tinggi juga turut membantu melonggarkan SOP.

Persaingan

Siab melalui 2 anak syarikatnya iaitu Siab (M) Sdn Bhd dan Siab Construction Sdn Bhd terlibat dalam industri pembinaan di Malaysia. Kedua-dua anak syarikat merupakan kontraktor G7 yang berdaftar di bawah pengkhususan B04.

Oleh itu, persaingan Siab di dalam industri dipilih berdasarkan kriteria dibawah:

Antara persaing Siab yang menepati kriteria-kriteria di atas adalah seperti berikut.

Gambar: Prospectus Siab

Perbincangan

Sektor hartanah adalah antara sektor yang terkesan di kala pandemik COVID-19 melanda. Sekatan perjalanan yang dilaksanakan untuk mengawal pandemik ini telah menyebabkan kerja pembinaan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu. Hal ini menyebabkan kerugian kepada keseluruhan sektor hartanah.

Jika diperhatikan, pada permulaan pandemik, Siab berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang baik walaupun dengan kekangan yang timbul. Namun, pada tahun 2021, prestasi syarikat merundum akibat PKP yang berterusan serta SOP yang ketat.

Melalui IPO ini, Siab menunjukkan jumlah besar dana akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan syarikat. Hal ini menunjukkan langkah yang positif oleh syarikat dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan. Walaupun begitu, syarikat masih perlu membuktikan keberkesanan perancangan mereka apabila tersenarai di Bursa Malaysia pada penghujung bulan ini.


< kembali ke laman blog utama