IPO

1-JUN-2022

SFP Tech - Memperkukuh Pertumbuhan Syarikat dengan Dana IPO


 


SFP Tech Holdings Berhad

SFP Tech Holdings Berhad merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sokongan kejuruteraan dan penyelesaian automatik. Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.30
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM240 juta
Nisbah PE:
12.98
Permohonan ditutup:
02 Jun 2022
Cabutan saham:
08 Jun 2022
Tarikh penyenaraian:
20 Jun 2022

Bisnes SFP Tech Holdings Berhad

SFP telah terlibat dalam perkhidmatan sokongan kejuruteraan melalui anak syarikatnya iaitu STSB dan EEASB khususnya dalam penyediaan pembuatan kepingan logam, pemesinan CNC (computer numerical control), pemasangan mekanikal, penyelesaian automatik dan perdagangan alat ganti.

Gambar dibawah menunjukkan produk dan perkhidmatan utama syarikat SFP Tech:

Aktiviti utama perniagaan
Sumber: Prospektus

Berdasarkan rajah di atas, pelanggan utama bagi syarikat SFP Tech adalah pengilang peralatan asal dan pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik. Syarikat SFP Tech juga menyediakan produk dan perkhidmatan khususnya bagi industri semikonduktor, E&E, solar pv dan automotif. Pelanggan utama syarikat pula terdiri daripada Malaysia, USA, Singapore, Vietnam, Thailand, Denmark dan Perancis.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Pada 2020, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 dan ini telah menyebabkan penutupan mandatori semua premis kerajaan dan swasta. Semasa tempoh awal PKP, semua perniagaan dikehendaki berhenti operasi buat sementara waktu, kecuali perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, makanan dan minuman serta pembuatan barangan keperluan. Syarikat SFP Tech dianggap sebagai perkhidmatan penting kerana mereka adalah sebahagian daripada industri sokongan kejuruteraan dan terlibat dalam rantaian bekalan produk E&E. Oleh itu, anak syarikatnya iaitu STSB dan EEASB telah dibenarkan untuk menyambung semula operasinya semasa PKP selepas menerima kelulusan daripada MITI tetapi pada kapasiti jumlah tenaga kerja berkurangan sebanyak 50%.

Pada tahun 2021 pula, syarikat SFP Tech telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM 0.42 juta untuk melaksanakan SOP baharu berhubung COVID-19. Mereka juga tidak mengalami masalah dari segi material dalam aktiviti pengeluaran. Namun, PKP telah menghalang mereka daripada menjalankan pertemuan bersemuka dan lawatan tapak dengan bakal pelanggan, sekaligus memperlahan proses pembangunan perniagaan mereka. Walau bagaimanapun, hasil pendapatan syarikat untuk FYE 2021 tidak mengalami kesan yang besar akibat COVID-19 kerana aktiviti pengeluaran tidak begitu terjejas.

Prestasi kewangan

Pendapatan yang diperolehi oleh SFP Tech telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dan ketara daripada FYE 2018 iaitu RM27.6 juta menjadi RM 50.41 juta pada FYE 2021. Perniagaan SPF Tech telah mengalami pertumbuhan hasil daripada peningkatan pendapatan dengan CAGR sebanyak 22.21% antara FYE 2018 dan FYE 2021. PKP tidak banyak memberi kesan negatif terhadap pendapatan syarikat kerana mereka masih boleh beroperasi secara biasa dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Produk dan perkhidmatan syarikat disediakan kepada pelanggan tempatan dan asing. Peningkatan pendapatan ini didorang oleh segmen pembuatan kepingan logam dan pemesinan CNC, yang menyumbang 66% daripada jumlah pendapatan syarikat.

Prestasi kewangan SFP Tech
Prestasi kewangan

Pendapatan SFP Tech melalui segmen perniagaannya dibahagikan kepada tiga, iaitu melalui pembuatan kepingan logam, pemesinan CNC dan pemasangan mekanikal. Penyumbang utama antara ketiga-tiga segmen ini adalah pemesinan CNC.

Pendapatan daripada segmen pemesinan CNC meningkat sebanyak RM 9.02 juta daripada RM 7.83 juta pada 2018 kepada RM 16.85 juta pada 2019. Peningkatan ini diteruskan lagi sebanyak RM 6.18 juta daripada RM 25.41 juta untuk FYE 2020 kepada RM 31.59 juta untuk FYE 2021. Pendapatan daripada segmen kepingan logam pula menurun sebanyak RM 2.82 juta atau 26.81% untuk FYE 2019 disebabkan oleh pesanan dan permintaan yang rendah terhadap struktur dan bahagian kepingan logam daripada industri semikonduktor dan E&E. Namun, pendapatan bagi FYE 2021 meningkat sebanyak RM 11.97 juta kerana berlaku tempahan baru untuk bahagian logam. Pendapatan bagi segmen pemasangan mekanikal juga menunjukkan penurunan sebanyak RM 3.53 juta atau 38.04% daripada RM 9.28 juta untuk FYE 2018 kepada RM 5.75 juta untuk FYE 2019. Hal ini disebabkan oleh penurunan tempahan bahagian untuk pembuatan mesin dan modul daripada Electro Scientific Industries group of companies (ESI Group).

Pendapatan SFP Tech Mengikut Segmen
Pendapatan SFP Tech Mengikut Segmen

Secara keseluruhan, hanya segmen pemesinan CNC yang menunjukkan peningkatan yang stabil dan menjadi penyumbang terbesar terhadap pendapatan syarikat.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 62.23 juta akan digunakan untuk tujuan berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan %
Pembelian mesin dan peralatan baru 24.5 39.37
Pembinaan kilang pembuatan 3 15.0 24.10
Pembayaran balik pinjaman bank 10.0 16.07
Perbelanjaan modal kerja 5.1 8.25
Perbelanjaan penyenaraian 4.6 7.39
Pusat D&D 3.0 4.82
Jumlah 62.2 100

Mengikut jadual di atas, dapat dirumuskan bahawa majoriti dana yang diperolehi dari penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baru bagi menjalankan aktiviti pembuatan kepingan logam dan pemesinan CNC iaitu sebanyak RM 24.5 juta mewakili 39.37%. Kemudian, RM 15 juta akan diperuntukkan untuk pembinaan kilang pembuatan yang ketiga bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang semakin meningkat. Dana IPO ini juga akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank sebanyak RM 10 juta.

Selain itu, RM 5.1 juta mewakili 8.25% akan digunakan untuk perbelanjaan modal kerja iaitu untuk membeli bahan mentah, pembayaran gaji dan perbelanjaan utiliti. Perbelanjaan penyenaraian akan diperuntukkan sebanyak RM 4.6 juta bersamaan 7.39% dan baki selebihnya adalah bagi membiayai pusat D&D iaitu sebanyak RM 3 juta. Ini akan melibatkan pembelian peralatan dan software serta pengubahsuaian pusat D&D.

Analisis bisnes dan industri SFP Tech Holdings Berhad

Industri Sokongan Kejuruteraan

Industri sokongan kejuruteraan atau Engineering Supporting Industry (ESI) terlibat dalam pengeluaran produk logam bagi menghasilkan pelbagai produk siap. ESI terdiri daripada 2 industri pengguna iaitu industri machinery & equipment (M&E) dan end-user markets. Menurut Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ESI di Malaysia terdiri daripada 8 segmen berbeza iaitu moulds and dies, machining, metal casting, metal stamping, surface engineering, heat treatment, forging dan metal fabrication.

Engineering Supporting Industry

Sumber: Prospektus

Industri M&E ialah perantara bagi produk logam yang dikeluarkan oleh ESI. End-user markets pula adalah pengguna yang menggunakan logam yang dihasilkan oleh ESI. Pasaran pelanggan utama bagi SFP Tech pula adalah semiconductor, E&E dan solar photovoltaic (PV).

Rantau Asia Pasifik telah menguasai industri semikonduktor dengan menjadi penyumbang pendapatan tertinggi dalam industri semikonduktor pada tahun 2020 sebanyak USD 271.03 billion bersamaan 61.6% daripada jumlah hasil semikonduktor di seluruh dunia. Antara syarikat semikonduktor utama di dunia adalah Samsung Electronics (South Korea), MediaTek Inc. (Taiwan) dan Hynix Semiconductor Inc. (South Korea).

Malaysia adalah antara negara pengilangan E&E utama di Southest Asian Nations (ASEAN) . Di Malaysia, industri E&E adalah perniagaan berorientasikan eksport yang bukan sahaja menjana rangkaian produk yang luas, tetapi juga menjadi pembekal kepada global. Pengeluaran produk E&E menurun sebanyak 0.5% pada tahun 2020 disebabkan oleh COVID-19 dan PKP yang mengganggu aktiviti ekonomi dan rantaian bekalan industri, namun pengeluaran pada tahun 2021 telah meningkat sebanyak 14.5% iaitu RM 483.20 billion.

Bagi sistem PV pula, kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah untuk menggalakkan penggunaan tenaga suria sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui. Malaysia sangat komited untuk membangunkan industri PV dalam jangka panjang bagi mencapai sasaran 20% bagi tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025. Pertumbuhan industri PV solar akan disokong terutamanya oleh program penjualan tarif yang diterajui kerajaan dan pelbagai insentif cukai pelaburan hijau.

Prestasi industri

ESI secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun disebabkan turun naik dalam pertumbuhan ekonomi global dan Dolar AS yang mempengaruhi permintaan eksport. Prestasi pertumbuhan kitaran juga disebabkan oleh sektor pengguna akhir terutama industri semikonduktor.

Sejarah dan ramalan pertumbuhan bagi ESI
Sejarah dan ramalan industri sokongan kejuruteraan

Akibat pandemik COVID-19, ESI Malaysia telah jatuh sebanyak 21.4% pada tahun 2020 daripada RM 7.93 billion kepada RM 6.23 billion. PKP telah menjejaskan rantaian bekalan global, kenaikan harga bahan mentah dan kos logistik. Namun begitu, pada tahun 2021, berlaku pemulihan ekonomi Malaysia dan ini telah meningkatkan ESI tempatan. Menurut laporan IMR, ESI Malaysia diramalkan akan mengalami pertumbuhan kitaran dari tahun 2023 hingga 2026, berikutan turun naik dalam pertumbuhan ekonomi global dan pertukaran mata wang asing yang tidak menentu di mana keduanya dijangka terus memberi kesan terhadap permintaan eksport Malaysia untuk produk logam. Maka, ESI di Malaysia diramalkan berkembang 8.9% setiap tahun daripada RM 8.36 billion pada tahun 2022 kepada RM 11.67 billion pada tahun 2026.

Persaingan

SFP Tech adalah penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang terlibat terutamanya dalam penyediaan pembuatan kepingan logam , pemesinan CNC, perkhidmatan pemasangan serta penyelesaian peralatan automatik. Maka, persaingan SFP tech di dalam industri dipilih berdasarkan kriteria seperti berikut:

Antara syarikat yang menjadi pesaing bagi SFP Tech dalam industri semikonduktor adalah seperti berikut:

Pesaing industri yang terpilih

Perbandingan antara pesaing dalam industri semikonduktor

Secara amnya, pembuatan peralatan automatik adalah di bawah industri M&E. Memandangkan SFP Tech adalah antara syarikat yang terlibat dalam segmen penyelesaian peralatan automatik, terdapat beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang turut terlibat dalam industri yang sama. Antara syarikat yang boleh dibuat perbandingan adalah seperti berikut:

Perbandingan pesaing dalam industri M&E
Perbandingan pesaing dalam industri M&E

Perbandingan antara pesaing dalam industri M&E

Menurut laporan IMR, SFP Tech dijangkakan dapat mencapai margin yang lebih tinggi kerana mereka menjalankan pembuatan campuran yang lebih kompleks yang mana penggunaan mesin CNC yang lebih canggih akan diperlukan. Tambahan pula, SFP Tech terlibat secara langsung dengan reka bentuk peralatan ujian dan pengukuran jenama OEM. SFP Tech juga telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM50.4 juta, yang mewakili 0.7% bahagian ESI di Malaysia pada tahun 2021. Bahagian pasaran ini dikira berdasarkan pendapatan SFP Tech sebanyak RM50.4 juta berbanding saiz ESI di Malaysia sebanyak RM7.62 bilion pada 2021.

Perbincangan

Syarikat SFP Tech tidak begitu terjejas akibat pandemik COVID-19 kerana mereka masih dapat beroperasi dan meneruskan pengeluaran produk dan menjalankan perkhidmatan sokongan kejuruteraan. Permintaan produk daripada pelanggan juga tidak mengalami pengurangan, namun ia memberi kesan terhadap pertemuan secara bersemuka dengan pelanggan.

Dapat dilihat bahawa pendapatan syarikat juga menunjukkan peningkatan yang berterusan daripada FYE 2018 hinggan FYE 2021 yang banyak disumbang oleh segmen pemesinan CNC. Antara pasaran global mereka adalah negara USA di mana ini dapat meningkatkan prestasi kewangan perniagaan syarikat dan lebih mudah untuk berkembang secara global.

Melalui dana daripada IPO ini, SFP Tech akan menggunakan majoriti dana tersebut untuk membeli mesin dan peralatan baru iaitu mesin pemotong dan penebuk laser baharu serta 41 mesin pengilangan baharu CNC bagi tempoh tiga tahun akan datang. Ini dapat membantu dalam meningkatkan pengeluaran pembuatan produk sekaligus mengembangkan perniagaan syarikat. Namun, SFP Tech perlu membuktikan keberkesanan strategi yang telah dirancang setelah disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Jun 2022 ini.


< kembali ke laman blog utama