UMUM

17-AUG-2022

Sejarah Penubuhan Tabung Haji


 


Pentadbiran yang cekap merupakan tunjang utama dalam menentukan kejayaan sesuatu organisasi atau institusi. Kali ini kita akan melihat salah satu institusi kewangan yang tidak asing lagi di Malaysia iaitu Tabung Haji. Lembaga Tabung Haji ataupun lebih dikenali sebagai Tabung Haji telah mengambil satu langkah positif bagi mentadbir kewangan jemaah haji, memudahkan urusan perjalanan jemaah haji, dan juga memastikan ekonomi umat Islam terjamin dengan pelaburan yang baik. Kini, Tabung Haji telah pun membuka 123 pejabat cawangan di seluruh negara dan mempunyai pendeposit seramai 8.41 juta ahli.

Tabung Haji

Sejarah penubuhan

Pada pertengahan abad ke-20 iaitu sebelum tahun 1963, orang Melayu sudah mula berjimat dan menyimpan duit dengan serius untuk menunaikan ibadah haji. Sebagai contohnya, cara yang paling popular ketika itu adalah dengan membeli tanah, sawah, binatang ternakan dan juga beberapa pelaburan yang lain bagi tujuan ibadah haji. Selain itu, ada juga yang menyimpan secara tradisional seperti simpan di bawah bantal, di bawah tikar, di dalam tempayan dan beberapa bahagian rumah yang tersorok.

Pada masa itu, orang Melayu berpendapat bahawa itulah cara yang terbaik untuk memastikan duit mereka disimpan dalam keadaan selamat. Walaupun ketika itu sudah wujud beberapa buah bank di Malaysia, umat Islam ketika itu tidak mahu menyimpan duit mereka di bank-bank konvensional untuk tujuan mengerjakan haji. Hal ini kerana mereka ingin memastikan wang simpanan mereka bebas dari sebarang unsur riba.

Namun begitu, instrumen penyimpanan tradisional ini bukanlah cara yang paling terbaik untuk menyimpan duit dengan selamat. Walau bagaimanapun, jelas masyarakat Melayu ketika itu amat mementingkan dan menitikberatkan kebersihan dan kesucian harta yang mereka miliki. Bermula dengan kesedaran itu, salah seorang tokoh ekonomi yang bernama YM Prof Diraja Ungku Abdul Aziz telah mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan satu institusi kewangan berdasarkan konsep pelaburan dan keuntungan. Beliau juga merupakan seorang ilmuan yang juga pernah berkhidmat di Universiti Malaya (UM).

Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid
Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Sumber: Wikipedia

Pada tahun 1950-an, Profesor Diraja Ungku Aziz telah membuat beberapa penyelidikan bagi menyelesaikan isu tersebut. Beliau juga membuat beberapa kajian dan pertanyaan tentang aspek riba dalam Islam dengan mendapatkan pendapat pakar daripada segelintir ulama yang terpelajar. Hasil penyiasatan teliti beliau mengenai persoalan kemiskinan dan simpanan haji, Prof Ungku Aziz menyediakan kertas kerja bertajuk “Rancangan Peningkatan Ekonomi Jemaah Haji” kepada Kerajaan Malaysia dalam 1959. Kerajaan memberikan respon yang positif terhadap memorandam tersebut. Usaha ini juga mendapat pujian daripada Perdana Malaysia ketika itu iaitu Tungku Abdul Rahman.

Profesor Diraja Ungku Aziz telah membuat kesimpulan bahawa cadangan itu bertujuan untuk membantu bakal jemaah haji menunaikan ibadah haji dan pada masa yang sama boleh menggunakan dana tersebut untuk pembangunan ekonomi negara. Beliau juga menegaskan bahawa rancangan itu akan membolehkan golongan miskin yang tidak mempunyai kemampuan untuk membuat simpanan yang banyak mempunyai peluang untuk menyimpan dalam jangka masa yang panjang.

Objektif penubuhan dan perkhidmatan yang ditawarkan

Profesor Diraja Ungku Aziz telah melihat situasi masyarakat melayu sebagai satu perkara perlu ditambah baik. Oleh itu, Tabung Haji diasaskan dengan bertunjangkan beberapa tujuan, antaranya:

  1. Membolehkan umat Islam menabung secara beransur-ansur bagi menampung perbelanjaan mereka dalam melaksanakan haji atau perbelanjaan lain yang berfaedah kepada mereka.
  2. Membolehkan umat Islam menyertai pelaburan dalam industri, perdagangan, perladangan dan juga hartanah melalui simpanan mereka.
  3. Menyediakan perlindungan, kawalan dan kebajikan umat Islam semasa menunaikan haji melalui pelbagai kemudahan dan perkhidmatan TH

Tabung Haji juga mengorak langkah kehadapan dengan membuat pelaburan yang memberi pulangan dividen kepada setiap pendeposit ke dalam Tabung Haji. Secara asasnya, Tabung Haji juga bertujuan untuk menyelesaikan masalah sosio-ekonomi umat Islam dan pada masa yang sama membolehkan mereka melabur bagi mendapatkan pulangan yang baik.

Perkhidmatan utama Tabung Haji pula adalah mengumpulkan dana daripada pendeposit di lebih 300 lokasi seluruh Malaysia. Tabung Haji juga membuat perjanjian khusus dengan Pos Nasional Berhad dan dua buah bank komersial bagi memudahkan urusan pengumpulan dana daripada para pelangggan. Tabung Haji telah berkolaborasi dengan Bank Islam dan Bank Rakyat bagi tujuan untuk mendeposit, pemindahan dan pengeluaran duit. Kita dapat melihat bahawa Tabung Haji sangat komited bagi memastikan pengurusannya berada dalam keadaan yang sentiasa ditambah baik.

Perniagaan dan pelaburan Tabung Haji

Sebahagian dana yang didepositkan daripada para pelanggan akan dilaburkan ke dalam pelbagai jenis perniagaan dan pelaburan bertujuan untuk menjana keuntungan dan memaksimumkan pulangan pelaburan. Tabung Haji sentiasa memastikan setiap perniagaan dan pelaburannya adalah patuh syariah. Tabung Haji banyak terlibat dalam perniagaan daripada sektor pertanian, Islamic banking, pembinaan, teknologi, hartanah, dan beberapa servis yang lain.

Perniagaan dan Pelaburan Tabung Haji
Sumber: Lembaga Tabung Haji

Pelaburan dalam dana-dana di pasaran merupakan salah satu aktiviti teras bagi Tabung Haji. Tabung haji banyak melabur dana ke dalam ekuiti, Initial Public Offering (IPO), dan private equity fund. Untuk pengetahuan semua, Tabung Haji merupakan pemegang saham utama untuk Bank Islam Malaysia Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia berhad.

Kesimpulan

Penubuhan Tabung Haji merupakan satu sejarah yang penting buat umat Islam di Malaysia. Tabung haji adalah satu institusi kewangan Islam yang patut dijadikan contoh sebagai salah satu pemacu ekonomi dalam negara. Ia bukan sahaja menyelesaikan isu simpanan umat Islam untuk menunaikan haji, bahkan dapat memberikan pulangan dividen yang baik hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan yang cekap.

Kini, tumpuan Tabung Haji lebih banyak kepada pelaburan daripada pelbagai sektor yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi para pelanggannya. Sudah pasti aktiviti ini akan memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.


< kembali ke laman blog utama