UMUM

12-JUN-2023

Sejarah Dividen Tabung Haji


 


Sejak 60 tahun penubuhan Lembaga Tabung Haji (LTH), LTH bukan hanya mendominasi pengurusan haji malah ia juga merupakan salah satu institusi yang konsisten dalam memberikan dividen kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan dan keuntungan yang dihasilkan melalui aktiviti pelaburan dan perniagaannya.

Dalam blog ini, kita akan menyelusuri sejarah dividen Tabung Haji (TH) dari tahun 1994 hingga tahun 2022 dengan memberi fokus kepada pertumbuhan dividen dan transformasi yang telah dilakukan. 

Pendekatan awal dan pengenalan dividen 

TH mula memperkenalkan dividen pada tahun 1994 sebagai tambahan kepada nilai simpanan jemaah haji. Dividen sebanyak 5.5% telah diberikan pada tahun tersebut. Sejak penubuhannya, TH merupakan satu-satunya institusi yang mengendalikan simpanan haji dan tidak menawarkan dividen kepada para jemaah haji. Strategi ini sejajar dengan visi institusi dalam memastikan pengurusan haji yang cemerlang. Boleh baca ringkasan sejarah penubuhan TH di sini.

Pertumbuhan dividen 

Dividen TH telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil sejak ia diperkenalkan sehingga tahun kewangan 2017. Namun, agihan dividen pada tahun kewangan 2018 telah merudum kepada 1.25% disebabkan oleh beberapa faktor-faktor seperti kerugian yang dicatatkan daripada pelaburan yang menyebabkan jurang defisit di antara aset dan liabiliti.

Penstrukturan semula kedudukan kewangan TH telah dilakukan melalui Pelan Penstrukturan dan Pemulihan oleh kerajaan untuk memastikan kelangsungan dana TH. Melalui pelan ini, agihan dividen dapat diteruskan berdasarkan kedudukan kewangan semasa dan peningkatan dividen dapat dilihat pada tahun kewangan seterusnya.

Bagi tahun kewangan 2022, nilai dividen kekal sebanyak 3.10% yang melibatkan agihan keuntungan sebanyak RM2.65 bilion. Agihan ini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 8.77 juta pendeposit. 

Potensi dividen

Dalam usaha TH untuk terus memperluaskan perkhidmatan haji yang cemerlang kepada jemaah haji dan pelaburan strategik dalam pasaran, TH mengekalkan dividen yang kompetitif. Pertumbuhan berterusan dalam penglibatan pengurusan haji, dana dan deposit secara keseluruhan menjadi asas kukuh TH dalam meningkatkan agihan dividen pada masa hadapan.

Selain itu, strategi dividen TH berkemungkinan akan terus memberi tumpuan dalam mencapai keseimbangan di antara penjanaan pulangan yang kukuh kepada pendeposit dan pelaburan semula dalam pasaran. 

Kesimpulan

Secara umumnya, pengenalan dividen oleh TH pada tahun 1994 telah membawa manfaat kepada para pendeposit dengan agihan dividen yang konsisten setiap tahun. Walaupun terdapat penurunan dalam agihan dividen pada tahun kewangan 2018, pelan pemulihan berjaya dilakukan untuk memastikan kesinambungan dana. Melalui aktiviti perniagaan dan pelaburan rancak, dividen TH dijangka memberi pulangan yang kompetitif dan memberi manfaat kepada para pendeposit pada masa hadapan. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


< kembali ke laman blog utama