Penyahsenaraian atau delisting merujuk kepada proses di mana sesuatu syarikat dikeluarkan daripada senarai dagangan di pasaran saham seperti Bursa Malaysia. Ini bermakna saham syarikat tersebut tidak lagi boleh didagangkan secara awam melalui platform rasmi Bursa. Bagi pelabur yang memegang saham syarikat berkenaan, situasi ini boleh mendatangkan kekeliruan dan kebimbangan, terutamanya berkaitan nilai pelaburan dan apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan.
Jenis Delisting
Terdapat dua jenis, iaitu secara sukarela dan secara paksa.
1. Penyahsenaraian Sukarela
Ini berlaku apabila syarikat sendiri memohon untuk dikeluarkan daripada bursa. Selalunya, langkah ini diambil kerana syarikat ingin menjadi syarikat persendirian semula (Privatization), mungkin disebabkan oleh kos yang tinggi, kurang minat pelabur awam, atau rancangan penstrukturan semula oleh pemilik syarikat. Antara syarikat yang pernah delisted disebabkan privatization termasuk Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON). PROTON pernah tersenarai di Bursa Malaysia sejak tahun 1992 dan kekal sebagai syarikat tersenarai sehingga sahamnya diambil alih sepenuhnya oleh DRB-HICOM pada tahun 2012. Setelah pengambilalihan tersebut, PROTON telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia dan menjadi sebahagian daripada kumpulan DRB-HICOM.
2. Penyahsenaraian Paksa
Penyahsenaraian jenis ini berlaku apabila syarikat gagal memenuhi keperluan penyenaraian yang ditetapkan oleh pihak bursa. Ini termasuk kegagalan menghantar laporan kewangan, mengalami kerugian berterusan, atau masalah tadbir urus yang serius. Kebiasaannya syarikat-syarikat yang mengalami masalah ini akan diberikan status PN17 atau GN3 oleh pihak Bursa Malaysia. Bursa mempunyai kuasa untuk menggantung dan seterusnya menyahsenarai saham berkenaan demi melindungi kepentingan pelabur awam. Antara syarikat pernah dikeluarkan melalui paksa termasuk Serba Dinamik, Utusan Malaysia, dan yang terbaru Barakah.
Apa yang Berlaku Apabila Saham Dinyahsenarai?
Sekiranya anda masih memegang saham syarikat yang telah dinyahsenarai, berikut merupakan beberapa perkara yang perlu anda fahami :
1. Saham syarikat masih wujud
Walaupun telah dinyahsenarai, saham syarikat tersebut masih wujud dan mempunyai nilai. Anda masih dianggap sebagai pemilik syarikat tersebut, dan jumlah saham anda akan kekal dipaparkan dalam akaun CDS anda.
2. Saham tidak lagi didagangkan secara terbuka
Setelah dinyahsenarai, saham syarikat tidak lagi didagangkan di pasaran terbuka. Ini menyebabkan anda tidak boleh menjual atau membeli saham tersebut melalui pasaran saham biasa, dan menyukarkan proses jual beli.
3. Proses jualan menjadi lebih rumit
Untuk menjual saham yang telah dinyahsenarai, anda perlu menggunakan kaedah perdagangan luar (over-the-counter, OTC). Namun, proses ini lebih rumit dan biasanya melibatkan harga yang lebih rendah disebabkan tahap kecairan yang rendah.
4. Pemegang saham mungkin akan dibayar melalui pengambilalihan penuh
Dalam kes pengambilalihan penuh, pihak yang mengambil alih boleh menjalankan proses compulsory acquisition – iaitu membeli semua saham yang masih dipegang oleh pemegang saham minoriti secara paksa setelah mencapai ambang pemilikan tertentu (kebiasaannya 90% ke atas). Anda akan dibayar berdasarkan harga tawaran yang ditetapkan dalam proses tersebut, dan saham berkenaan akan dikeluarkan daripada akaun CDS anda. Contohnya seperti pengambilalihan PROTON oleh DRB-HICOM.
5. Tiada lagi laporan kewangan awam
Syarikat yang telah dinyahsenarai tidak lagi diwajibkan untuk menerbitkan laporan kewangan kepada umum seperti syarikat tersenarai. Ini menyukarkan pemegang saham untuk menilai prestasi semasa syarikat dan membuat keputusan yang bermaklumat.
6. Tiada lagi kawal selia dari Bursa Malaysia
Apabila dinyahsenarai, syarikat tidak lagi tertakluk kepada keperluan pematuhan Bursa Malaysia seperti ketelusan, laporan berkala, atau keperluan korporat lain. Ini boleh meningkatkan risiko dari segi ketelusan dan tadbir urus korporat.
7. Masih layak terima dividen (jika dibayar)
Sekiranya syarikat tersebut masih beroperasi dan membuat keuntungan, ia masih boleh mengisytiharkan dividen. Sebagai pemegang saham, anda masih layak menerima dividen sekiranya diumumkan, walaupun syarikat telah dinyahsenarai.
8. Boleh disenarai semula (relisting)
Syarikat yang telah dinyahsenarai boleh memohon untuk disenaraikan semula jika memenuhi kriteria tertentu. Namun, ini sangat jarang berlaku di Malaysia.
9. Risiko kehilangan nilai sepenuhnya
Jika syarikat yang dinyahsenarai akhirnya dibubarkan atau muflis, pemegang saham berisiko kehilangan keseluruhan nilai pelaburan kerana pemegang saham adalah pihak terakhir yang mendapat pampasan selepas pemiutang dan pemegang bon.
Langkah yang Boleh Diambil oleh Pelabur
1. Semak Pengumuman Rasmi
Baca pengumuman syarikat dan kenyataan Bursa Malaysia untuk memahami sebab penyahsenaraian dan apakah pelan seterusnya daripada pihak syarikat.
2. Hubungi Wakil Broker
Dapatkan pandangan atau nasihat daripada wakil broker anda seperti dealer dan remisier mengenai pilihan yang ada, termasuk kemungkinan menjual saham secara OTC.
3. Pertimbangkan Nilai Intrinsik dan Risiko
Tentukan sama ada masih berbaloi untuk menyimpan saham tersebut. Jika syarikat masih mempunyai aset dan aliran tunai yang baik, ada kemungkinan ia akan kembali ke bursa atau membayar dividen pada masa akan datang. Namun, ini tetap bergantung kepada keadaan kewangan syarikat.
4. Mencari Penjual
Jika anda bercadang untuk menjual saham yang telah delisted, cari pelabur sama ada individu atau syarikat yang berminat untuk membeli saham tersebut.
5. Elakkan membeli saham yang berada dalam masalah kewangan
Kebanyakan syarikat yang delisted adalah secara paksa dan sangat jarang secara sukarela. Di Malaysia sendiri, kebanyakannya adalah syarikat yang berstatus PN17 atau GN3. Jadi, saham-saham ini mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk dinyah senarai jika tiada pelan dan tindakan yang mampan.
Kesimpulan
Penyahsenaraian saham bukan bermaksud pelaburan anda menjadi tidak bernilai secara automatik, tetapi ia menandakan cabaran besar dari segi kecairan untuk anda menjual semula saham tersebut. Pelabur perlu bertindak bijak dengan memahami situasi syarikat, mendapatkan maklumat yang tepat, dan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan kedudukan kewangan dan matlamat pelaburan masing-masing.