ASAS

20-MAR-2019

Saham Blue Chip dan FBMKLCI


 


Ada beberapa terma yang selalu kita dengar di dalam movie atau berita seperti saham blue chip, dan kadang-kadang kita tertanya, apa maksudnya dan apa kelebihan melabur dalam saham kategori ini. Terma blue chip berasal daripada permainan poker di mana cip biru merupakan cip paling bernilai antara semua cip yang ada (merah dan putih).

Saham blue chip merupakan saham yang paling kuat, kukuh dan besar di Bursa Malaysia atau pasaran negara masing-masing. Selalunya saham ini dikaitkan dengan indeks utama seperti FBMKLCI yang menyenaraikan 30 syarikat terbesar & terpilih di Bursa Malaysia.



Bagaimana syarikat dikira besar kecil saiznya?


Kayu pengukur besar saiz syarikat ialah Market Capitalization (Market cap). Market cap, daripada segi formula ialah:

Market cap = Harga saham x Jumlah saham

Sekiranya harga saham naik, maka semakin besar harga keseluruhan syarikat tersebut dan kita semakin besar saiz syarikat tersebut dari segi harganya. Untuk lebih memahami market cap, market cap ialah harga syarikat sekiranya pelabur nak beli keseluruhan syarikat tersebut. Contohnya, syarikat PARKSON mempunyai market cap sekitar 280 juta, jadi sekiranya pelabur ada duit sebanyak 280 juta, boleh membeli terus 100% syarikat tersebut.

Syarikat blue chip dan bersaiz besar selalunya mempunyai market cap melebihi 10 bilion. Syarikat terbesar di Bursa Malaysia pada awal 2019 ini ialah MAYBANK, mempunyai market cap sekitar 105 bilion, diikuti dengan PBBANK (95 bilion) dan TENAGA (75 bilion).



Kenapa beli saham-saham besar atau Blue Chip ni?


Saham-saham yang besar mempunyai harga yang tinggi disebabkan operasi syarikat yang sudah tersusun, kekuatan pengurusan dalam mengukuhkan dan mengembankan syarikat serta aliran tunai yang positif dan baik. Kesemua syarikat-syarikat ini mendapat liputan dan pegangan besar daripada institusi-institusi dan dana-dana gergasi atas risiko yang rendah tetapi pulangan yang berpatutan daripada pelaburan.

Ada juga dana yang hanya melabur dalam syarikat blue chip atau syarikat yang tersenarai dalam indeks FBMKLCI sahaja atas sebab-sebab diatas. Untuk mereka yang nak melabur dengan selamat, risiko rendah dan pegang lama (long term), salah satu strategi ialah melabur sahaja dalam saham-saham blue chip.

Kalau nak gabungkan dengan elemen fundamental lain, boleh tambah mengikut cita rasa tersendiri seperti melihat pada FCON dan ROE. Sekiranya anda berminat untuk gabungkan dengan teknikal, boleh gunakan screener Blue Chip Uptrend.

Untuk melihat saham-saham blue chip, anda boleh ke menu Sectors -> Blue Chip atau klik di link berikut.


< kembali ke laman blog utama