IPO

24-JUN-2021

Ramssol Ingin Meluaskan Bisnes Serantau dengan IPO RM 25.1 Juta


 


ramssol thumbnail isaham

Ramssol Group Berhad ialah syarikat perisian yang menumpukan terhadap pengurusan sumber manusia. Syarikat ini kini membuka permohonan IPO dan butirannnya adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.45
Status syariah:
Tiada penilaian syariah SAC, dinilai tidak patuh syariah oleh Elzar Shariah
Pasaran:
ACE Market
Market Capitalisation:
RM 100.37 juta
Nisbah PE:
13.24 (FYE 2020)
Permohonan ditutup:
29 Jun 2021
Cabutan saham:
2 Julai 2021
Tarikh penyenaraian:
13 Julai 2021

Ramssol diberi status interim tidak patuh syariah oleh Elzar Shariah. Harus diketahui bahawa status rasmi hanya akan dikeluarkan oleh SC apabila sampai penggal penilaian. Status syariah IPO ini hanya akan ditentukan secara rasminya oleh SC pada bulan November 2021 nanti.

Bisnes Ramssol

Ramssol Group Berhad ataupun Ramssol merupakan sebuah syarikat perisian ataupun software. Perisian yang menjadi fokus utama Ramssol ialah perkhidmatan pengurusan sumber manusia atau HCM. Sebelum 2020, syarikat hanya mempunyai 2 segmen perniagaan iaitu HCM dan sistem pengurusan pelajar, dan penyediaan staf IT untuk syarikat. Pertambahan segmen baru sejak Covid-19 ialah segmen aplikasi teknologi HCM.

Segmen HCM dan sistem pengurusan pelajar membentuk bahagian terbesar pendapatan Ramssol. Penyediaan perkhidmatan untuk segmen ini melibatkan rundingan untuk menawarkan sebuah sistem yang optimum untuk organisasi pelanggan. Untuk perkhidmatan ini juga Ramssol perlu membeli dan menjual semula lesen penggunaan perisian kepada pelanggan. Seterusnya, perkhidmatan ini juga diiringi dengan sokongan pelanggan (customer service) dan penyelenggaraan.

Penyediaan staf IT merupakan sebahagian kecil daripada pendapatan syarikat walaupun bertapak lebih lama dari segmen aplikasi teknologi HCM. Dalam segmen ini, mereka membuat pengambilan dan membekalkan pakar IT kepada pelanggan mereka.

ramssol isaham app graphic

Dalam segmen aplikasi teknologi HCM, Ramssol mempunyai beberapa aplikasi yang antaranya bernama Feet's dan Lark. Kedua-dua aplikasi ini berfungsi sebagai alat komunikasi antara pekerja organisasi. Feet's ini merupakan sebuah entiti yang dimiliki oleh Ramssol dan sebahagian milikan pengarah sendiri. Selain itu, mereka juga menjual perkhidmatan Zoom sebagai reseller.

Sebahagian besar pendapatan Ramssol datang dari Malaysia sendiri sebanyak 45% berdasarkan tahun terkini. Pendapatan dari negara lain pula diperoleh dari Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Taiwan dan Belanda.

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Kesan daripada Covid-19, pelbagai kerja perlu dibuat secara atas talian. Ini menyukarkan akses kepada dokumen sulit yang perlu didapati secara fizikal di premis pelanggan. Dari segi kewangan, Ramssol tidak mengalami kesan yang serius. Beberapa projek dan pembayaran mengalami kelewatan, namun ia tidak menjejaskan pendapatan.

Prestasi kewangan

Ramssol menunjukkan pendapatan dan keuntungan yang menaik sepanjang tahun pemerhatian iaitu dari 2017 hingga 2020. Keuntungan pada dua tahun pertama ini adalah sedikit sahaja, menyumbang sebanyak 1% daripada pendapatan. Pada tahun 2019, keuntungan syarikat naik sehingga hampir 25% daripada pendapatan, menyumbang sebanyak RM 3.8 juta daripada RM 15.4 juta pendapatan. Tahun 2020 merupakan tahun terbaik dalam pemerhatian dengan margin 29.7% bersamaan RM 7.5 juta daripada RM 25.3 juta pendapatan.

prestasi kewangan ramssol

Pada tahun 2017, Ramssol merakam pendapatan tertinggi dari Singapura yang menyumbang 61% dari pendapatan keseluruhan. Saiz pendapatan di Singapura semakin kecil dari RM 4.18 juta menjadi RM 2.88 juta pada tahun 2020. Walaubagaimanapun, mereka merakam pendapatan yang semakin besar di Malaysia dari RM 1.7 juta sehingga RM 11.53 juta pada tahun 2020. Di Thailand dan Indonesia juga, kedudukan mereka semakin kukuh dengan pendapatan yang semakin besar.

Dari segi segmen perniagaan pula, HCM dan sistem pengurusan pelajar mengalami kenaikan sepanjang tahun pemerhatian. Penyediaan staf IT merakamkan pendapatan tertinggi pada RM 2.34 juta sebelum menurun sehingga RM 0.88 pada tahun 2020. Aplikasi teknologi HCM merupakan segmen baru namun telah pun memberikan pendapatan sehingga RM 9.10 juta pada tahun pertama aktiviti ini dijalankan.

Strategi IPO dan masa depan

Ramssol akan mengumpul dana sebanyak RM 25.09 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Penggunaan Dana IPO Ramssol
Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pengembangan bisnes ke Filipina 2.50 9.98
Pengembangan penggunaan Feet's dan Lark di rantau Asia Tenggara 6.35 25.30
Perbelanjaan R&D 4.10 16.34
Modal kerja    
Pengembangan segmen pengambilan staf IT 0.79 3.14
Pengembangan jualan lesen perisian 2.25 8.97
Modal kerja umum 4.52 18.02
Perbelanjaan penyenaraian 4.58 18.25
Jumlah 25.09 100.0

Ada banyak aspek di mana dana ini akan digunakan. Secara umumnya, kita boleh melihat dari sudut pengembangan bisnes, R&D, dan modal kerja. Pengembangan bisnes ke Filipina ini memerlukan RM 2.5 juta untuk penyewaan pejabat, penggajian, peralatan pejabat dan perbelanjaan pengiklanan dan pemasaran. Untuk Feet's dan Lark, operasi akan diluaskan lagi di rantau Asia Tenggara. R&D yang ingin dibelanjakan melibatkan penambahan fungsi AI iaitu kecerdasan buatan ke dalam Feet's yang merupakan perisian yang dibangunkan sendiri.

Selain daripada itu, perbelanjaan untuk modal kerja melibatkan pengembangan segmen pengambilan staf IT. Segmen ini dijangka akan mendapat rentak semula selepas kelembapan ekonomi akibat Covid-19. Dana diperlukan untuk menampung gaji pendahuluan yang perlu diberi untuk 2 bulan pengambilan staf IT ini.

Analisis bisnes dan industri Ramssol

Ramssol terlibat dalam sektor perisian dengan pengkhususan terhadap sistem sumber manusia iaitu HCM solutions. Industri ini melibatkan pembekalan perisian itu sendiri dan juga perkhidmatan iringan seperti rundingan dan sokongan teknikal. Ramssol terlibat dalam mengedarkan perisian HCM ini dan juga disertai dengan perkhidmatan sokongan.

industri hcm kajian smith zander

Secara keseluruhannya, industri ini mengembang dari tahun 2017 hingga 2019, dan mengalami penurunan pada tahun 2020. Smith Zander menganggarkan pertumbuhan CAGR untuk industri ini pada 4.37% dari 2017 hingga 2020.

Penggerak utama industri

Industri ini dipandu oleh pendigitalan fungsi Sumber Manusia untuk gerak kerja syarikat bagi meningkatkan kecekapan kerja. Ia juga bergantung kepada kesedaran majikan sekiranya mereka faham potensi yang boleh ditawarkan oleh perisian ini.

Persaingan

Ramssol berhadapan dengan saingan yang besar dengan syarikat-syarikat gergasi di peringkat MNC. Antara syarikat yang berada dalam industri HCM yang diceburi Ramssol ialah Accenture, Capgemini, Deloitte, E&Y, KPMG, PwC dan sebagainya.

Pun begitu, bahagian pasaran Ramssol melalui perisian kerjasama dengan Oracle menyumbang sebanyak RM 14.36 juta iaitu 1.33% daripada jumlah RM 1.08 bilion dalam rantau negara terlibat. Angka ini tidaklah besar, tapi agak mengagumkan bagi sebuah syarikat bersaiz kecil yang bertarung dalam geografi yang luas.

Perbincangan

Prestasi kewangan Ramssol menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, begitu juga pelbagai lagi aspek seperti pengembangan segmen perniagaan dan pendapatan geografi yang lebih luas. Sebahagian besar dana IPO akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan, meneruskan prestasi yang dicatatkan setakat yang kita dapat lihat dari prospektus. Ramssol juga lebih berminat untuk mendekati organisasi bersaiz besar untuk menawarkan perkhidmatan mereka. Ini dapat membentuk profail pelanggan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Risiko yang mungkin akan dialami oleh syarikat ini pula ialah kebergantungan pada perisian pihak ketiga. Perkhidmatan seperti Lark dan perisian HCM lain dimiliki oleh pihak ketiga dan Ramssol tidak mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang akan ditawarkan dari perisian ini. Sesetengah syarikat pula menganggap bahawa perbelanjaan untuk perisian sebegini juga memakan kos. Maka mereka bergantung kepada kekuatan pasukan mereka untuk mendapatkan jualan dalam apa keadaan ekonomi sekalipun.


< kembali ke laman blog utama