UMUM

24-FEB-2020

Pindah Wang Lebih Cepat dengan DuitNow


 


Cara lama nak pindahkan duit adalah dengan pergi ke ATM dan uruskan pemindahan duit dari ATM. Cara ini agak leceh sebab kena pergi ke lokasi yang ada ATM, dan perlu beratur untuk giliran. Bila dah makin maju, kita gunakan aplikasi bank dari telefon pintar untuk pindahan segera (Instant Transfer). Itupun, bukan boleh jamin boleh pindahkan duit dalam masa beberapa minit.

Kali ini, kita akan belajar cara pindahkan duit yang lebih laju daripada cara-cara yang disebut tadi. Bila tekan saja Hantar, duit akan sampai dalam masa yang singkat. Inilah cara yang dinamakan DuitNow. Tekan hantar, sekarang dapat.

duitnow feature Gambar: DuitNow

Sangat berguna untuk kegunaan harian. Kalau ada kawan yang berhutang dengan kita, mintak je transfer guna DuitNow. Duit cepat masuk, lepas tu boleh lah masukkan duit ke dalam akaun CDS pulak.

DuitNow ni apa?

DuitNow adalah kaedah pembayaran bank menggunakan ID sama ada nombor telefon atau IC yang dihubungkan dengan bank. Maksudnya sekiranya anda masuk ke menu pembayaran bank, DuitNow akan tersenarai sebagai kaedah pembayaran di samping pilihan seperti Instant Transfer, InterBank GIRO dan sebagainya.

Sebagai contoh, Ahmad ingin pindahkan wang kepada Badrul yang menggunakan DuitNow. Ahmad perlu login ke dalam bank, dan lakukan transaksi di bawah kaedah DuitNow kepada Badrul. Dalam beberapa saat, wang tadi akan sampai dalam pegangan Badrul.

Dibangunkan oleh PayNet

Kadang-kadang kita tengok benda bagus ni, kita nak tahu lah siapa yang buat. Mana tahu ada saham yang boleh dibeli. Sebenarnya takde. DuitNow ni dibangunkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). Syarikat ini juga membangunkan kaedah bayaran bank yang lain seperti FPX, IBG, JomPay dan DirectDebit. PayNet sebenarnya merupakan sebahagian daripada organisasi BNM melalui MyClear dan MEPS.

duitnow PayNet Gambar: PayNet

Bank yang boleh guna DuitNow

Kita dapat nampak rangkaian yang luas untuk DuitNow ni. Bank yang boleh digunakan dengan DuitNow boleh dilihat seperti di bawah sebagaimana yang tertera di website mereka.

duitnow bank using

Dalam masa yang akan datang, mereka juga akan membolehkan pemindahan ke rangkaian e-Wallet.

duitnow e-wallet soon

Cara nak daftar DuitNow

Nak daftar untuk DuitNow ni senang je. Anda cuma perlu log in ke dalam bank sama ada melalui aplikasi atau secara online. Lepas tu, cari setting untuk pendaftaran DuitNow. Cuma ada satu isu, lain bank lain perjalanan untuk nak cari setting ni. Namun, kami akan cuba yang terdaya supaya panduan ini berguna untuk anda.

duitNow register

Dari dashboard akaun bank anda, cari menu setting untuk akaun anda. Boleh jadi menu ini berada di bahagian atas, bawah, atau di sebalik ikon menu (terutamanya untuk aplikasi mobile). Dah jumpa menu setting, anda perlu cari menu pendaftaran DuitNow. Kadang-kala ia diletakkan di dalam bahagian Apply & Transfer, ada juga yang terus paparkan menu DuitNow. Bila dah jumpa, kita pergi ke laman menu DuitNow.

Dalam laman menu DuitNow, anda akan nampak beberapa maklumat seperti nombor telefon dan nombor IC. Sekiranya belum dihubung dengan mana-mana bank, boleh pilih ID untuk didaftarkan. Sesetengah bank tidak paparkan apa-apa maklumat sekiranya tiada ID yang berhubung dengan bank untuk kaedah bayaran DuitNow. Dalam kes ini, anda perlu cari butang untuk menambah sama ada nombor telefon atau nombor IC sebagai ID untuk DuitNow.

Kedua-dua maklumat ini adalah ID yang boleh digunakan untuk dihubungkan dengan akaun bank anda. Anda boleh daftarkan contohnya nombor telefon untuk bank pertama dan nombor IC untuk bank kedua. Dalam butiran ID sama ada nombor telefon atau nombor IC, anda boleh pilih mana-mana satu untuk didaftarkan dengan bank yang anda gunakan.

DuitNow memudahkan urusan pemindahan wang

Kaedah penghantaran menggunakan DuitNow adalah sama seperti Instant Transfer, IBG dan yang bersamaan. Tapi untuk DuitNow, anda perlu masukkan nombor telefon atau IC penerima. Dah tak perlu tunggu kawan bagi nombor akaun. Terus je cari nombor telefon dari handphone untuk hantar duit.

Sebagai pemindah wang sendiri, anda tak perlu berdaftar dengan DuitNow. Anda cuma perlu berdaftar sekiranya ingin terima wang dengan kaedah DuitNow yang pantas ni. Jadi, bagus juga anda daftar DuitNow untuk memudahkan urusan pemindahan wang ni.


< kembali ke laman blog utama