UMUM

08-OCT-2021

Perjanjian Sistem Bretton Woods


 


Perjanjian Bretton Woods merupakan satu perjanjian yang bertujuan mereformasikan sistem pasaran monetari kewangan dunia. Perjanjian ini terjadi apabila munculnya zaman kemelesetan ekonomi selepas berlakunya peperangan dunia kedua. Ia dibincangkan dengan mendapatkan kata sepakat persetujuan pada bulan Julai 1944.

Kata sepakat ini melibatkan 44 buah negara di seluruh dunia yang mewakili 730 delegasi. Ia dilaksanakan sempena persidangan "United Nations Monetary and Financial Conference" yang diadakan di Bretton Woods, New Hampsire. Oleh sebab itulah, perjanjian ini dikenali sebagai "Perjanjian Bretton Woods".

Gambar: Wikipedia

Hasil daripada persidangan tersebut tercetuslah sistem Bretton Woods dan ia digunakan bermula dari tahun 1944 sehingga tahun 1971 iaitu selama 27 tahun. Tempoh itu dikenali sebagai Era Bretton Woods.

Perjanjian ini telah menggantikan penggunaan emas dengan dolar Amerika sebagai mata wang antarabangsa. Perlaksanaan ini akan menjadikan negara Amerika sebagai kuasa utama dalam ekonomi dunia. Selepas perjanjian ini dipersetujui, Amerika adalah satu-satunya negara yang mampu mencetak dolar. Dalam perjanjian itu, negara-negara yang terlibat akan melaksanakan dan mengekalkan kadar pertukaran tetap antara mata wang mereka dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

Bagaimana sistem ini beroperasi?

Secara prinsipnya, sistem Bretton Woods masih mengekalkan emas sebagai nilai asas mata wang dan atas kadar tukaran tetap. Ia juga dikenali sebagai sistem pancangan boleh ubah (Miltiades Chacholiades 1973). Dalam sistem ini sesebuah negara akan menetapkan nilai mata wangnya pada emas atau pada dolar Amerika Syarikat pada satu kadar yang disebut nilai tara.

Pemilihan nilai mata wang dolar AS sebagai kadar pertukaran tetap disebabkan Amerika Syarikat mempunyai 3/4 daripada bekalan emas yang ditawarkan di dunia. Tiada mata wang yang lain yang mempunyai emas yang mencukupi untuk dijadikan sebagai nilai tara (tambatan). Pengenalan Bretton Woods, sedikit demi sedikit berlakunya perubahan dari standard emas kepada penggunaan dolar AS. 

Nilai emas yang ditetapkan adalah pada harga USD 35 untuk seauns (28.35 gram) berat emas yang menjadi asas nilai sesuatu mata wang. Dolar Amerika Syarikat bebas ditukar dengan emas apabila dituntut. Jika negara yang menetapkan mata wangnya pada dolar AS ingin mendapatkan emas, negara itu harus menukarkan mata wangnya kepada dolar AS terlebih dahulu

Secara umumnya, sistem ini beroperasi dengan menjadikan emas sebagai nilai asas mata wang untuk kadar pertukaran tetap. Kesannya, nilai dolar AS semakin meningkat berbanding dengan nilai mata wang lain.

Tertubuhnya IMF dan IBRD

Melalui perjanjian ini, telah lahirnya Bank Dunia (World Bank) yang pada ketika itu dikenali sebagai IBRD. Selain itu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga diperkenalkan. Ia diumumkan secara rasmi pada bulan Disember 1945 yang merupakan sebuah organisasi yang diwujudkan dan disokong oleh Amerika Syarikat. Ia bertanggungjawab dalam memantau aktiviti perdagangan dan pembiayaan kewangan antarabangsa.

Tujuan IMF ditubuhkan untuk memantau kadar pertukaran dan mengenal pasti negara-negara yang memerlukan dana kewangan antarabangsa. Sistem Bretton Woods tidak akan berfungsi tanpa IMF. Manakala, IBRD iaitu singkatan kepada (International Reconstruction and Development) dibentuk untuk memberikan pinjaman dan dana kepada negara-negara Eropah yang hancur akibat Perang Dunia II. 

Walaupun Sistem Bretton Woods dibubarkan pada tahun 70-an, IMF dan Bank Dunia tetap menjadi tunjang penting dalam pertukaran mata wang antarabangsa pada masa kini.

Bermulanya Zaman Kejatuhan

Pada tahun 1971, negara Amerika Syarikat telah mengalami stagflasi iaitu gabungan antara inflasi dan kemelesetan sehingga menyebabkan berlakunya pengganguran serta pertumbuhan ekonomi yang rendah. Secara tidak langsung telah memberi kesan kepada nilai mata wang dolar AS. Hal ini disebabkan penawaran nilai dolar AS yang mengalir dalam transaksi semakin meningkat berbanding permintaan. Kesannya nilai mata wang AS telah merosot.

Pada ketika itu, Presiden Nixon cuba mengawal dengan menurunkan nilai dolar AS dengan nilai emas. Nixon telah menurunkan nilai dolar kepada 1/38 auns emas, kemudiannya menjadi 1/42 auns emas. Namun pelan penurunan nilai ini tidak berhasil dan menemui jalan kegagalan. Pada 15 Ogos 1971, Nixon telah mengambil keputusan untuk menamatkan sistem Bretton Woods dengan menghentikan pertukaran nilai dolar AS dengan emas.

Keratan akhbar disebalik krisis ekonomi yang berlaku di Amerika Syarikat. Gambar: marctomarket

Tindakan ini dilaksanakan untuk mengelakkan negara-negara dalam anggota perjanjian Bretton Woods menuntut jumlah emas rizab yang sama seperti dalam perjanjian sebelum ini. Sekiranya ini berlaku, negara Amerika Syarikat akan jatuh muflis disebabkan kegagalan menunaikan janji.

Natijahnya, apabila berlakunya keruntuhan sistem ini telah menyebabkan tiada pengawalan harga terhadap pertukaran nilai emas. Sampai satu tahap, nilai emas telah meningkat sehingga mencecah USD 120 per auns emas di pasaran bebas. 


< kembali ke laman blog utama