UMUM

14-OCT-2021

Perangkap Kewangan


 


Anda telah berjaya dapatkan gaji pertama. Dah berjaya peroleh pendapatan sendiri. Pertama kali akaun simpanan anda melebihi RM 3000. Namun, di akhir bulan, anda dapati duit beribu-ribu ini tetap tak mampu menampung perbelanjaan anda. Tiba-tiba baki simpanan anda sifar, dan anda perlu menunggu seminggu lagi untuk dapatkan gaji seterusnya. Lebih membimbangkan lagi, anda telah mendapat notis pembayaran hutang kad kredit, hutang rumah dan kereta.

Situasi di atas ini sangat merisaukan kerana ia berlaku dalam kalangan anak-anak muda bekerja hari ni, bahkan mereka yang berjawatan tinggi pun menghadapi situasi sama. Bagaimana situasi ini boleh berlaku? Mengapa tiba-tiba kewangan disedut begitu cepat? Jom kita analisis perangkap-perangkap kewangan yang kerap berlaku tanpa kita sedari.

Runsing Kewangan

Hutang kereta

Anda memiliki motosikal untuk berulang-alik dari rumah sewa ke tempat kerja. Setelah beberapa bulan bekerja, anda dapati ramai rakan sekerja anda menaiki kereta untuk ke tempat kerja. Anda pun rasa kecil hati dan ingin membeli kereta. Hujung bulan, anda terus ke Perodua, Honda, Proton, dan mengambil keputusan untuk buat hutang kereta bagi membeli kereta baharu. Inilah perangkap kewangan pertama.

Tanya diri anda, adakah prestasi kerja anda terkesan dengan anda menaiki motosikal berbanding kereta? Rakan sekerja anda tahu tangga gaji anda, mengapa nak puaskan hati mereka? Adakah kereta terpakai tak cukup untuk diri anda?

Kebanyakan orang, memerlukan kenderaan untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. Maka, jika anda telah mempunyai motosikal yang memenuhi tujuan itu, tak perlulah anda membeli kereta pula.

Jika anda betul-betul memerlukan kereta atas sebab-sebab yang penting, tanya diri anda, adakah kereta terpakai mampu memenuhi keperluan tersebut? Jika ya, maka carilah kereta terpakai. Ingat, jika anda membeli kereta baharu, nilai kereta tersebut akan susut 5% - 10% sebaik sahaja anda lakukan pemanduan pertama.

Jika anda perlu berhutang membeli kereta, pastikan anda mengira terlebih dahulu komitmen bulanan yang perlu dibayar, dan tolakkan siap-siap komitmen tersebut dari duit gaji anda. Jika anda mampu, teruskan. Jika anda ragu-ragu, fikir masak-masak sebelum berhutang.

Kereta mahal

Hutang rumah

Tempat tinggal adalah salah satu daripada tiga keperluan asas untuk hidup. Setelah anda bekerja, pasti anda mengidamkan rumah sendiri. Anda mahu hidup bahagia bersama keluarga di rumah idaman anda. Namun, tidak semua mencapai impian tersebut walaupun telah memiliki rumah sendiri. Ini kerana mereka telah terperangkap dengan hutang rumah. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Jom kita fikirkan.

Hartanah merupakan satu pelaburan yang cukup popular beberapa dekad lalu. Golongan-golongan yang berumur 50 tahun ke atas, akan menasihati anak-anak mereka untuk terus membeli rumah sebaik sahaja mendapat pekerjaan. Alasannya, harga rumah akan sentiasa naik, dan boleh dapatkan pendapatan bulanan daripada sewaan rumah. Namun, realiti hari ini berbeza dengan 20 tahun lalu.

Tanya soalan berikut pada diri anda, adakah anda perlu membeli rumah atau cukup sekadar menyewa? Jika anda membeli rumah, adakah anda dapat jamin bahawa anda akan kekal bekerja di kawasan tersebut? Atau anda mungkin sahaja akan berhenti atau dihentikan kerja dan perlu berpindah ke tempat lain?  

Jika anda tak yakin akan kekal bekerja di lokasi bekerja, elakkan dari berhutang membeli rumah di kawasan tersebut. Carilah rumah sewa yang sesuai dengan pendapatan bulanan anda. Jika anda yakin anda dapat kekal bekerja sehingga hari tua di tempat sama, maka hitunglah komitmen bulanan yang perlu dibayar dan tempoh pembayaran tersebut. Elakkan daripada meninggalkan hutang kepada keluarga anda pula.

Rumah besar

Kad kredit

Kita semua mahu berbelanja bagi memenuhi keperluan dan kehendak kita. Namun kadangkala, pendapatan bulanan kita tak mencukupi. Kemudian, bank pula mengiklankan kad kredit yang membolehkan kita berbelanja melebihi daripada pendapatan bulanan. Nak ambil ke tidak?

Jangan ambil jika anda tak mampu bayar jumlah hutang kad kredit setiap bulan. Tak dinafikan, kad kredit mempunyai kebaikannya tersendiri untuk memudahkan perbelanjaan kita. Namun kad kredit ini seperti api, jika kita mengawalnya, ia akan membakar kewangan kita.

Gunakan kad kredit jika anda yakin anda dapat membayar keseluruhan hutan kad kredit anda di hujung bulan. Elakkan dari menggunakan kad kredit, dan sekadar membayar pada jumlah minimum perlu dibayar. Perangkap kad kredit adalah pada faedah yang dikenakan. Jika anda lewat bayar, jumlah hutang anda bukan sekadar hutang yang anda pinjam, tetapi anda perlu membayar faedah apabila lewat membayar, atau tidak membayar sepenuhnya.

Kad kredit

Skim cepat kaya

Kerap kali kita dengar tentang skim cepat kaya yang menipu, tersungkur dan pengasasnya membawa lari segala wang pelaburan. Walaupun pelbagai nasihat telah diberikan, masih ramai yang terjebak dalam skim ini. Masalah utama adalah untuk mengenali skim cepat kaya ini. Ramai yang menyertai skim cepat kaya tanpa mengetahui bahawa skim itu adalah skim cepat kaya. Jadi, bagaimana cara kita mengenali skim cepat kaya?

"Too good to be true"

Skim cepat kaya ini biasanya menawarkan sejenis pelaburan yang hampir mustahil iaitu pelaburan yang memberi pulangan sangat tinggi, tetapi risikonya sangat rendah. Pelaburan seperti ini, sama ada wujud unsur penipuan, atau ia tidak bertahan lama. Jika agen skim-skim ini membuktikan kepada anda akan pulangan yang besar-besar dengan risiko kecil, yakinlah, pelaburan tersebut tak akan bertahan lama pun.

Ejen show-off

Tanya pada diri anda, adakah orang yang benar-benar kaya seperti Elon Musk dan Mark Zuckerberg menayangkan kekayaan mereka untuk mengajak orang lain menyertai mereka? Sudah pastilah tidak. Jika agen yang menunjuk-nunjuk ini tak dapat buktikan sumber kekayaan mereka, kebarangkaliannya, andalah tempat mereka melombong duit. Sumber harta mereka adalah dari kocek anda.

Tidak berdaftar

Syarikat pelaburan mereka ini tak berdaftar dengan suruhanjaya sekuriti, atau mana-mana badan penguat kuasa di Malaysia atau antarabangsa. Jika mereka mengatakan bahawa syarikat tersebut berpangkalan di luar negara, cuba anda semak, siapakah pelabur-pelabur mereka, adakah dari negara tersebut, atau kebanyakannya dari Malaysia?

Skim cepat kaya

Perangkap-perangkap kewangan, tidak terhad kepada tiga ini sahaja. Banyak lagi perangkap-perangkap yang wujud di luar sana yang bukan sahaja memerangkap rakyat marhaen seperti kita, tetapi telah memerangkap institusi-institusi besar. Oleh itu, berhati-hatilah dalam menguruskan kewangan anda.


< kembali ke laman blog utama