FUNDAMENTAL

02-AUG-2021

Pengenalan Kepada Regulated Short Selling (RSS)


 


Pernah tak anda menonton filem The Big Short (2015) arahan Adam McKay yang mengisahkan tentang kisah ekonomi di Amerika Syarikat dimana pengurus dana, Michael Burry telah membuat short selling terhadap sektor hartanah? Akibat short selling tersebut, Michael Burry dan individu lain yang mengikuti langkah beliau berjaya menghasilkan keuntungan berbilion dollar semasa krisis ekonomi pada tahun 2008.

Short selling atau di dalam bahasa Malaysia, jualan singkat, adalah proses di mana keuntungan diperoleh dengan kejatuhan harga saham. Jika kebiasaannya kita membuat keuntungan dengan membeli saham pada harga yang rendah dan menjualnya pada harga yang tinggi, short selling pula adalah sebaliknya.

Jual tinggi, beli rendah
"Sell high, buy low"

Short selling

Short Selling diperkenalkan semula di Malaysia pada Januari 2007, setelah diharamkan selama lapan tahun oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Pada 24 Mac 2020, short selling digantung buat sementara waktu akibat pandemik COVID-19 yang telah membuatkan pasaran saham menjadi huru-hara. Buat masa sekarang, hanya Regulated Short Selling (RSS) kembali dibenarkan bermula 1 Januari 2021.

Terdapat 4 jenis short selling di pasaran Bursa Malaysia iaitu:

Walaubagaimanapun, artikel ini akan lebih bertumpu kepada RSS. Di pasaran Bursa Malaysia, short selling ini termaktub di bawah panduan Regulated Short Selling (RSS) dan Securities Borrowing and Lending (SBL).

Apakah Regulated Short Selling (RSS)?

Regulated Short Selling (RSS) atau Jualan Singkat Dikawal Selia adalah keadaan di mana pelabur menjual saham yang belum dimiliki dengan meminjam daripada Central Lending Agency (CLA). Pinjaman ini adalah sah dan peminjam harus membeli balik saham tersebut apabila harganya jatuh.

CLA ialah syarikat yang diuruskan oleh Bursa Clearing dimana proses pinjaman saham dijalankan. Namun pelabur tidaklah berhubung secara terus dengan pihak CLA, tetapi mereka akan melalui orang tengah iaitu broker atau bank pelaburan seperti M+ Online, Maybank, CIMB dan lain-lain lagi.

Analogi short selling

Ain melihat peluang untuk short sell saham syarikat XPDC Berhad berikutan laporan tahunan terkini mereka yang kurang baik.

Justeru itu, Ain meminta Broker Z untuk memberi pinjaman sebanyak 1,000 unit saham pada harga, RM 1.00 per unit saham dengan perjanjian pembayaran semula di dalam tempoh yang telah dipersetujui. Kemudian, Ain menjual kepada Yana 1,000 unit saham tersebut. Dengan ini, Ain sekarang mempunyai wang sebanyak RM 1000.00.

Oleh kerana saham yang telah Ain jual tadi adalah pinjaman dari Broker Z, Ain perlu membeli semula saham syarikat XPDC Berhad sebanyak 1,000 unit bagi menggantikan saham yang telah dia jual kepada Yana. Apabila saham XPDC Berhad jatuh nilai kepada RM 0.60, Ain terus membeli 1,000 unit saham tersebut dengan menggunakan wang RM 1000.00 yang diperolehi tadi dan memulangkan saham tersebut kepada Broker Z.

Daripada aktiviti short selling ini, Ain telah memperolehi keuntungan sebanyak RM 400.00.

Regulated Short Selling
Analogi Regulated Short Selling (RSS)

Secara ringkasnya, Ain telah membuat pinjaman saham dari broker dan menjualnya kepada pasaran. Kemudian, dia membeli semula saham tersebut dengan harga yang lebih rendah dan memulangkan saham yang dipinjam tadi kepada broker.

Kesimpulannya, aktiviti short selling ini memberikan keuntungan kepada pelabur apabila harga sesuatu saham tersebut jatuh.

Perbezaan RSS dan IDSS

Terdapat beberapa perbezaan di antara RSS dan IDSS iaitu:

Perbezaan di antara RSS dan IDSS

Jenis short RSS IDSS
Tempoh pegangan Tidak melebihi 12 bulan Jual dan beli harus dilakukan pada hari yang sama
Pelabur Terbuka kepada PDT dan institusi tertentu sahaja. Didominasi oleh intitusi luar. Terbuka kepada semua. Didominasi oleh pelabur runcit dan intitusi luar.
Strategi perdagangan Pegangan lama Teknikal dan momentum
Patuh syariah Ya Tidak

Secara keseluruhannya, RSS adalah lebih terkawal berbanding IDSS. Pada bulan Disember 2020, RSS diperkenalkan semula dengan langkah-langkah kawalan iaitu:

Sumber: Bursa Malaysia - Kenyataan Media

Cara melibatkan diri dengan RSS

Untuk bermula melibatkan diri dengan RSS, pelabur haruslah membuka akaun pelaburan khas daripada broker masing–masing. Akaun pelaburan RSS ini berbeza dengan akaun pelaburan biasa.

Broker akan membantu pelabur membuat pinjaman dengan CLA bagi menjalankan aktiviti RSS. Pelabur hendaklah membayar imbuhan untuk membuat pinjaman tersebut. Setelah berjaya membuat pinjaman, pelabur boleh mula menjalankan aktiviti RSS.

Sepanjang aktiviti RSS, pelabur hanya boleh menjual saham pada harga yang lebih tinggi dari harga semasa. Perkara ini dinamakan sebagai Up-Tick Rules.

Walaubagaimanapun, RSS hanya dibenarkan untuk Proprietary Day Trader (PDT) dan institusi tertentu sahaja.

Saham yang dibenarkan untuk short selling

Aktiviti RSS ini hanya dibenarkan bagi syarikat-syarikat yang disenaraikan di dalam senarai Bursa Approved Securities sahaja. Sehingga 24 Jun 2021, terdapat 256 syarikat dibenarkan untuk aktiviti RSS.

Bursa Approved Securities
Antara syarikat yang tersenarai untuk RSS di dalam Bursa Approved Securities

Syarikat–syarikat ini haruslah memenuhi kriteria penting untuk tersenarai sebagai saham yang boleh di short. Kriteria penting tersebut adalah seperti berikut:

  1. Saham perlu tersenarai secara rasmi di dalam Bursa Malaysia
  2. Mempunyai modal pasaran melebihi 500 juta untuk 3 bulan terkini
  3. Mempunyai sekurang – kurangnya 50 juta unit saham terapung di pasaran
  4. Purata jumlah saham yang didagangkan melebihi satu juta unit di dalam tempoh 12 bulan terkini

Senarai Bursa Approved Securities ini akan dikaji semula pada setiap 6 bulan (Sumber: Bursa Malaysia).

Risiko short selling

Short selling membenarkan pelabur untuk mendapatkan keuntungan apabila harga sesuatu saham itu jatuh. Justeru itu, ia dapat memberi keuntungan yang tinggi apabila harga saham jatuh, namun ia juga boleh menyebabkan kerugian yang besar apabila harga saham menaik.

Oleh kerana itu, aktiviti ini hanya digalakkan kepada pelabur yang mahir serta mempunyai dana yang besar untuk menampung kerugian.

Hukum short selling

Para ulama berpendapat bahawa hukum short selling adalah haram kerana kita tidak memiliki saham tersebut semasa menjualnya.

Walaubagaimanapun, Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan penyataan bahawa short selling yang dijalankan secara terkawal (Regulated Short Selling) adalah harus.

Sumber: Resolutions of the Securities Commission Shariah Advisory Council


< kembali ke laman blog utama