TEKNIKAL

27-MAY-2020

Pengenalan kepada Carta Candlestick


 


Memahami Candlestick

Carta harga saham adalah sebuah carta yang agak berbeza dengan carta-carta lain. Carta seperti carta bar, garisan dan lain-lain mempunyai sebuah nilai yang tetap untuk sebuah ukuran. Contohnya, dalam carta dana pelaburan asing, sesuatu hari akan memberikan kita sebuah angka iaitu nilai dana pada hari tersebut. Sekiranya kita bandingkan dengan hari sebelumnya, kita boleh nilai sama ada angka tersebut mengalami kenaikan atau penurunan.

Dalam saham pula, carta ini berbentuk lilin dan dipanggil candlestick. Sekiranya anda membakar lilin, anda pasti dapat lihat bahawa sumbu lilin semakin pendek, dan badan lilin juga semakin rendah dari detik ke detik yang lain. Mengambil inspirasi daripada lilin ini, begitulah carta candlestick berfungsi.

candle formation

Harga saham boleh berubah setiap detik sepanjang hari. Pergerakan seharian ini dapat diterjemah kepada satu bentuk candle. Dengan pembentukan candlestick ini, kita boleh faham lebih mendalam tentang keadaan psikologi pelabur dan potensi pergerakan harga.

Candlestick boleh dianalisa secara teknikal

Seperti yang disebut tadi, keadaan psikologi boleh difahami dari candlestick. Sebagai contoh, suatu saham mungkin dilihat bergerak dalam keadaan menaik. Namun dengan meneliti pada candlestick, kita boleh mendapati bahawa tekanan menjual telah pun bermula dan harga bakal jatuh. Semua ini boleh dikenal pasti dengan hanya menganalisa pada corak lilin dari carta.

Mengenali Candlestick

4 data penting dalam carta candlestick ialah Open, High, Low dan Close atau selalu juga dipendekkan menjadi OHLC mengikut abjad depan huruf. Definisi OHLC adalah seperti berikut:

Open (O) - Harga buka

High (H) - Harga tertinggi

Low (L) - Harga terendah

Close (C) - Harga tutup

isaham candlestick details

Cara mudah nak memahami candle ini ialah dengan mengenalpasti Badan (Body) dan Ekor (Shadow). Badan candlestick adalah bahagian yang terbentuk dari pergerakan harga buka dan tutup. Ekor pula adalah bahagian yang terbentuk apabila harga saham melepasi harga buka atau tutup.

Badan Candlestick

Kita mulakan dengan BADAN dulu. Untuk setiap candle, ada yang berbadan HIJAU dan MERAH. Candle HIJAU bermaksud harga saham ditutup lebih tinggi berbanding harga Open. Candle MERAH pula bermaksud harga saham ditutup lebih rendah berbanding harga open. Harga tutup yang lebih rendah menunjukkan tekanan jualan lebih tinggi daripada belian.

isaham candlestick body
Warna Badan Maksud
Hijau Harga tutup lebih tinggi dari harga buka
Merah Harga tutup lebih rendah dari harga buka

Badan lilin juga ada yang pendek dan ada yang panjang. Lebih panjang badan, lebih kuat tekanan belian (kalau HIJAU) atau jualan (MERAH) sesuatu saham. Ada juga yang tidak ada badan, iaitu apabila harga 9 pagi (Open) dan harga 5 petang (Close) adalah sama.

Ekor Candlestick

Ekor candlestick pula menunjukkan sejauh mana harga naik dan juga turun pada hari tersebut. Boleh jadi harga saham pada waktu pagi ialah RM1.00 dan petang ialah RM1.10, tetapi pada pertengahannya harga turun sehingga ke RM0.80. Jadi ekor candle ini akan kelihatan sehingga ke paras RM0.80. Kalau harga saham tak turun kurang daripada harga buka pula, ekor tak terbentuk di bahagian bawah.

isaham candlestick shadow

Membaca candlestick dari carta saham

Dari carta harga saham, paksi kanan merujuk kepada harga manakala paksi bawah merujuk kepada masa. Semakin ke kanan, carta akan menunjukkan data terbaru, manakala semakin ke kiri carta, anda dapat lihat data bulan-bulan yang lepas.

frontkn candle chart

Secara asasnya, kita akan guna carta harian (Daily Chart), dimana satu point atau satu candle merujuk kepada satu hari. Candle hanya akan terbentuk pada hari pasaran dibuka. Maka, hari minggu dan cuti umum tidak akan dimasukkan ke dalam carta.

Jika kita melihat dari corak candle yang terbentuk, pelbagai analisa boleh diperoleh. Ilmu teknikal ini dipanggil chart pattern. Ia membantu pelabur teknikal untuk memahami psikologi pelabur di pasaran. Antara chart pattern yang boleh terbentuk adalah seperti "Double Top", "Double Bottom", "Head and Shoulder" dan lain-lain.


< kembali ke laman blog utama