UMUM

4-NOV-2020

Pemilihan Presiden Amerika - Donald Trump dan Joe Biden


 


us election 2020 trump vs biden

Musim pemilihan pemimpin sering membawa sebuah ketidaktentuan politik. Di mana-mana negara pun, pernyataan ini adalah benar. Semasa pemilihan sedang berlaku, kita tidak tahu sama ada pimpinan akan berubah tangan. Dari sini sahaja satu ketidaktentuan telah pun wujud.

Sekiranya berlakunya peralihan pimpinan pula, maka wujudnya sebuah lagi ketidaktentuan untuk melihat dan memahami tindakan pimpinan yang baru ini. Itulah yang sedang berlaku di Amerika Syarikat, dan ia sedikit sebanyak menyebabkan ketidaktentuan perhubungan politik untuk negara-negara lain, termasuklah kita di Malaysia.

Memahami Pemilihan Presiden Amerika Syarikat

Apabila terlantik, Presiden Amerika Syarikat dibenarkan untuk menggalas tugas selama dua penggal, di mana satu penggal bersamaan 4 tahun. Selepas habis penggal pertama, sebuah pemilihan perlu dibuat untuk menentukan sama ada presiden semasa akan kekal atau seorang presiden baru akan dipilih melalui undian.

Falsafah dua parti yang berlawan

democrat vs republican

Seperti biasa, calon presiden ini terdiri dari dua parti utama di Amerika: Republican dan Democrat. Republican yang pernah diwakili tokoh seperti Abraham Lincoln dan George W. Bush adalah parti yang berfalsafahkan hak kebebasan dan tanggungjawab individu. Democrat pula pernah diwakili Barack Obama dan Bill Clinton, dan mereka mementingkan hak persamaan dan tanggungjawab sosial.

Daripada falsafah ini maka terbentuknya pelbagai perbezaan idea untuk ekonomi, percukaian, hak persamaan dan sebagainya. Sebagai contoh, Republican percaya bahawa cukai tak sepatutnya dinaikkan untuk sesiapa, sama ada yang miskin atau kaya. Democrat pula beranggapan bahawa golongan berpendapatan tinggi perlu dikenakan cukai yang lebih tinggi.

Banyak lagi perbezaan pendapat antara kedua-dua parti ini yang kini diwakili oleh calon mereka yang bertanding untuk jawatan Presiden Amerika yang sedang berlangsung ketika ini.

Dua calon presiden Amerika Syarikat 2020

Tahun ini kita menyaksikan dua calon parti ini bertanding, dengan Republican diwakili oleh Presiden Amerika kini, Donald Trump dan Joe Biden dari Democrat. Pasti ramai yang kenal Donald Trump, presiden yang mempunyai perwatakan tersendiri dengan slogan utamanya "Make America Great Again". Joe Biden juga tak kurang popular sebagai orang kanan sepanjang Presiden Barack Obama menerajui White House.

trump vs biden iSaham

Satu persoalan yang membuatkan keadaan semasa tidak menentu ialah apakah bentuk hubungan ekonomi dengan negara luar yang akan berlaku selepas pemilihan presiden nanti?

Sekiranya Donald Trump dipilih untuk meneruskan jawatannya, kita boleh jangkakan keadaan politik semasa akan kekal seperti sedia ada sebelum pemilihan ini. Sekiranya Trump digantikan dengan Joe Biden, kita boleh jangkakan satu perubahan dalam hubungan antarabangsa.

Ini membawa kepada persoalan lanjut: apa perbezaan polisi Trump dan Biden?

Polisi Trump dan Biden

Matlamat kita di sini bukanlah untuk mengundi, kita hanya ingin melihat polisi yang mungkin akan memberi kesan terhadap perhubungan diplomatik antarabangsa. Ada dua skop yang kita boleh tumpukan, iaitu fokus pemimpinan dan polisi luar negeri.

Skop Donald Trump Joe Biden
Fokus pimpinan Pemulihan ekonomi, tenaga kerja, menjaga kepentingan perdagangan Amerika dan isu berkaitan imigresen Mencipta peluang ekonomi baru untuk pekerja, pemulihan penjagaan alam sekitar dan hak rawatan kesihatan, dan persekutuan antarabangsa
Polisi luar negeri "Utamakan Amerika" dalam polisi luar negeri - antara yang kita pernah lihat ialah menarik diri dari perjanjian iklim Paris Accord, perdagangan bebas NAFTA, dan pakatan NATO Memulihkan hubungan dengan sekutu Amerika terutamanya NATO, dan gabungan perjanjian dagangan antarabangsa terhadap China

Ini cuma sebahagian ringkasan daripada perdebatan panjang lebar antara dua calon ini. Antara lain ialah Donald Trump kurang percaya kepada perubahan iklim dunia seperti pemanasan global. Joe Biden pula mempercayai kesan perubahan iklim dan mencadangkan pelaburan sebanyak USD 2 trilion ke dalam teknologi hijau.

Saham berkaitan Trump dan Biden

Secara ringkas, sektor saham yang pernah dibincangkan dua calon ini boleh dilihat dalam jadual di bawah.

Donald Trump Joe Biden
Saham teknologi Amerika
Infrastruktur 5G
Pertahanan
Tenaga dan oil & gas
Penjagaan terurus
Farmaseutikal
Bank di Amerika
Saham teknologi China
Infrastruktur kelestarian
Keperluan asas pengguna
Tenaga hijau
Pemilik fasiliti rawatan kesihatan
Pengeluar kelengkapan perubatan
Utiliti

Anda juga boleh tekan pada link di bawah untuk melihat jadual ini dalam bentuk satu senarai saham. Senarai ini disusun berdasarkan fokus perbincangan oleh calon dalam jadual di atas tadi.

Perlantikan presiden kali ini dijangka akan diumumkan pada 4 November waktu Malaysia seawal tengahari. Maka sama-sama kita lihat kesudahan pemilihan ini, dan bagaimana ia membentuk dunia dalam beberapa tahun akan datang.


< kembali ke laman blog utama