UMUM

14-APR-2021

Pelaburan Terbaik Saham Akhirat


 


Setiap manusia di muka bumi ini tidak lari daripada mengejar kekayaan di dunia demi mencapai kesenangan dalam kehidupan. Adakala, kita berusaha mencari wang ringgit dengan pelbagai cara seperti menjalankan perniagaan, melabur wang melalui saham, dan lain-lain. Namun kita sebagai seorang hamba Allah SWT perlulah seimbang amalan antara dunia dan akhirat.

Sedekah Kunci Kepada Pintu Rezeki

Ada pepatah yang mengatakan "tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima". Persoalannya, adakah kita perlu menunggu kaya raya barulah berniat untuk bersedekah kepada orang lain? Tidak, sedekah cukuplah sekadar berniat dan ikhlas walaupun pemberian itu sekecil nilai 10 sen. Pemberian sedekah ini mampu memberikan kegembiraan dan kenikmatan terutamanya kepada golongan yang memerlukan.

Sedekah mengajar kita erti nikmat kesyukuran

Sekiranya kita bersedekah dengan niat kerana Allah, nescaya keimanan kita dapat dipertingkatkan serta akan mengurangkan sifat bongkak dan bakhil terhadap harta yang dimiliki. Sedekah tidak sesekali akan mengurangkan jumlah harta yang dimiliki, malah akan dijanjikan ganjaran oleh Allah SWT dengan ganjaran besar. Ingatlah disebalik rezeki yang kita miliki, pasti ada bahagian dan syer untuk diberikan kepada orang lain.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud; "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Di iSaham, kami mempunyai sebuah senarai organisasi kebajikan yang diminati oleh komuniti iSaham sendiri. Kalau anda pergi ke laman ni, anda boleh cari organisasi kesukaan anda, jika tiada, boleh cadangkan kepada kami melalui iSaham Support. Anda boleh pilih untuk memberi sumbangan langsung kepada mereka, atau tekan butang Support dan kami akan berikan sumbangan kepada organisasi ini.

Selain itu, kami juga ada senarai masjid-masjid yang menerima derma melalui e-Wallet. Maka kini semakin mudahlah untuk membelanjakan harta ke jalan Allah. Bila-bila terasa nak membuat kebaikan, buka telefon, pergi ke link tadi, sumbangkan derma. Mudah-mudahan dengan sumbangan ini, anda pun dapat sebahagian daripada kebaikan tersebut.

Ganjaran Pahala Berterusan Melalui Wakaf

Amalan berwakaf amat dituntut dalam agama Islam yang mempunyai pelbagai kelebihan seperti ganjaran pahala. Ketika zaman Rasulullah SAW, ramai sahabat baginda berlumba-lumba membelanjakan harta ke jalan Allah melalui bersedekah, berwakaf dan lain-lain.

Wakaf bermaksud seseorang menyerahkan hak miliknya sama ada dalam bentuk aset atau harta untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Harta tersebut tidak boleh dijual atau dimiliki oleh mana-mana individu. Misalnya, tanah wakaf diperuntukkan bagi keperluan agama seperti mendirikan masjid, tanah perkuburan, madrasah dan lain-lain.

Tanah perkuburan merupakan salah satu tanah wakaf yang digunakan untuk keperluan agama islam. Gambar: Wikipedia

Ia menjanjikan ganjaran pahala berterusan kepada si pemberi wakaf walaupun telah meninggal dunia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila matinya umat manusia di muka bumi ini maka terputuslah amalan pahala kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah (wakaf), ilmu yang dimanfaatkan atau doa anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya"

Misalnya, apabila seseorang mewakaf RM10 untuk pembinaan masjid atau surau. Maka, pahala pewakaf tersebut akan berterusan mengalir selagi mana masjid itu kekal berada di situ.

Pulangan Satu Huruf al-Quran

Apabila menjelang bulan Ramadan terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku misalnya, peristiwa turunnya kitab suci Al-Quran pada malam Jumaat 17 Ramadan. Al-Quran merupakan mukjizat terulung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda beribadat di Gua Hira. Kitab ini mempunyai 114 surah dan 30 juzuk yang menjadi panduan kepada umat manusia.

Amalan membaca Al-Quran perlulah dibaca setiap hari terutamanya ketika bulan Ramadan yang dijanjikan ganjaran pahala. Ketika waktu lapang, janganlah kita membuang waktu tanpa melakukan aktiviti bermanfaat. Alangkah bagusnya, kita boleh bermula dengan membaca dan mempelajari Al-Quran.

Apa yang menariknya, setiap satu huruf bacaan Al-Quran yang kita baca ganjarannya sepuluh pahala. Misalnya, apabila kita membaca bacaan tiga huruf "alif lam mim", kita sudah mendapat ganjaran sebanyak 30 pahala. Malah, ia juga akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat. Adakah kita bersedia untuk merebut peluang ini atau biarkan ia berlalu begitu sahaja? Anda tentukan.

Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kenikmatan Malam Lailatul Qadar

Jika kita diberikan tugas dan dijanjikan pulangan wang sebanyak 1000 peratus, pasti kita akan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin. Namun adakah kita bersedia FOMO atau tidak melepaskan peluang dalam ganjaran malam 'Lailatul Qadar' yang lebih baik dari 1000 bulan bersamaan dengan 83 tahun? Pelaburan ini tidak melibatkan jumlah wang ringgit tetapi hanya memerlukan kita beribadah secara konsisten sepanjang bulan Ramadhan dengan niat kerana Allah SWT.

Tidak ramai yang mengetahui bilakah malam lailatul qadar akan berlaku. Namun menurut pendapat Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan bermaksud:

"Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain"

Betapa mulianya malam agung lailatul qadar, justeru hendaklah kita melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa mengeluh. Isikanlah waktu dengan qiamullail, membaca al-Quran, berzikir, munajat dan berdoa memohon keberkatan.

Kesimpulan

Menurut Imam Al-Ghazali berpesan“Ketahuilah dunia ini adalah tempat singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana.” Ingatlah pelaburan ini tidak akan rugi, malah memberikan ganjaran yang tinggi. Oleh itu, marilah kita bersungguh-sungguh mencari bekalan untuk saham akhirat dan janganlah alpa terhadap duniawi.

Sekiranya anda ingin bacaan tazkirah ramadan, boleh baca post tahun lepas di sini.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama