UMUM

15-DEC-2021

Pasaran Saham Sebelum Wujudnya Internet


 


Pelaburan saham telah wujud sekian lamanya semenjak tahun 1500 sehinggalah pada zaman modenisasi ini. Sepanjang tahun, pelbagai nama saham yang diperdagangkan di serata dunia telah memberi keuntungan dan kerugian kepada pelabur. Pernahkah anda terfikir, bagaimanakah kaedah jual dan beli saham berlaku sebelum wujudnya penggunaan teknologi internet?

Warung kopi menjadi tumpuan

 

Pada tahun 1602 Syarikat Perdagangan Hindia Timur Belanda (SHTI) (Dutch East India Company) telah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat "joint-stock" dan mempunyai beberapa jumlah saham yang didagangkan. Pada ketika itu, saham SHTI merupakan saham syarikat dagangan awam pertama diperkenalkan di dunia. Ia didagangkan di Bursa Saham Amsterdam. Stok dan bon diterbitkan kepada pelabur dan setiap pelabur berhak mendapat peratusan keuntungan Syarikat Hindia Timur.

Apabila pasaran saham mula berkembang dalam Syarikat Hindia Timur, ini menyebabkan penjualan saham semakin meningkat dalam kalangan pelabur dan pihak broker. Namun pada masa ini, bursa saham belum diperkenalkan secara meluas di beberapa buah negara. Pelabur perlu mencari broker untuk menjalankan urus niaga saham.

Misalnya, di England kebanyakan broker dan pelabur menjalankan urus niaga saham di pelbagai kedai kopi di sekitar London. Terbitan hutang dan saham yang dijual akan ditulis serta ditampal di ruangan pintu kedai sebagai tatapan umum kepada pelabur.

Lahirnya bursa saham pertama di London

 

Sebelum abad ke-17, pihak broker banyak menjalankan urus niaga saham di Royal Exhange. Namun disebabkan sikap kurang sopan seperti bergaduh, pihak broker tidak dibenarkan masuk ke Royal Exchange. Hal ini menyebabkan pihak broker mencari alternatif lain dengan menjalankan urus niaga saham di kedai kopi.

Gambar: britishmuseum.org

Menurut rujukan sejarah, "The Stock Exchange" mula berkembang dan berfungsi di sebuah kedai kopi yang dikenali sebagai Jonathan's Coffee House. Rumah kopi ini dibuka sekitar tahun 1680 oleh Jonathan Miles di bandar London. Melalui kedai kopi inilah, pada tahun 1698 timbulnya ilham daripada broker John Castaing yang telah menyenaraikan harga saham mengikut sektor dan komoditi pada setiap hari selasa dan jumaat. Komoditi yang terlibat tadi seperti garam, arang batu, dan kertas.

Penyenaraian ini telah menunjukkan bukti pertama munculnya pertukaran sekuriti yang sistematik di London. Pada awal tahun 1773, sekumpulan para broker berhasrat menubuhkan "New Jonathan's" yang menjalankan urus niaga dalam bangunan sendiri tanpa melibatkan penjualan saham di kedai kopi. Pada tahun 1801, munculnya bursa pertama di London yang dikenali sebagai "London Stock Exchange".

Evolusi komunikasi ticker tape

 

Pada awal dagangan saham sekitar tahun 1870, para pelabur tidak mempunyai akses secara langsung dalam pasaran saham. Semua urusan pembelian dan penjualan perlu melalui broker. Disebabkan teknologi kemudahan internet dan platform komunikasi dalam pasaran saham belum diperkenalkan, pihak broker akan tinggal berdekatan dengan kawasan bursa seperti di New York Stock Exchange (NYSE). Hal ini akan memudahkan pihak broker mendapatkan maklumat terkini melalui info di ticker tape.

Salah satu mesin ticker tape yang digunakan untuk mencetak stock ticker tape. Gambar: Pinterest

Pembacaan melalui pita (ticker tape) merupakan salah satu teknik lama yang digunakan oleh pelabur saham untuk menganalis harga dan jumlah pergerakan sesuatu kaunter saham. Ia dihantar dan dicetak melalui mesin telegraf yang menggunakan tenaga elektrik. Ticker Tape diperbuat daripada jalur kertas yang akan melalui mesin yang dikenali sebagai stock ticker. Mesin ticker tape pertama mula diperkenalkan pada tahun 1867 oleh Edward A. Calahan untuk kegunaan Gold and Stock Telegraph Company.

Pada tahun 1871, Thomas Edison mula berinovasi dengan memperkenalkan stock ticker untuk kegunaan dalam pasaran saham. Mesin ini mula diguna pakai oleh broker-broker utama. Menjelang tahun 1930, mesin stock dikatakan lebih cepat mencetak pergerakan saham berbanding model sebelum ini. Namun ia tetap berlakunya kelewatan selama 15-20 minit antara pergerakan saham sebenar dan pergerakan yang dicetak.

Stock ticker ini akan mencetak simbol nama syarikat, harga pasaran dan jumlah urus niaga saham. Ia terus digunakan sebagai medium komunikasi dalam pasaran saham sekitar tahun 1870 sehingga 1970 sebelum wujudnya teknologi internet dan komputer.

 Maklumat dan info di jalur kertas ticker tape. Gambar: Investopedia
 
Ticker Symbol Nama atau Simbol saham sesebuah syarikat yang didagangkan.
Shares Traded

Jumlah pembelian unit (volume) saham

K = ribu, M= juta, dan B= billion

Price Traded Perubahan harga semasa saham (last bid price)
Change Direction Menentukan sama ada harga saham meningkat atau menurun berdasarkan harga dagangan semalam.
Change Amount Perubahan harga semasa berdasarkan harga tutup semalam

 

Permulaan teknologi ECN

 

ECN diperkenalkan pada tahun 1967 yang merupakan singkatan kepada electronic communication network yang menggunakan sistem komputer secara automatik yang melibatkan urus niaga jual dan beli di sekuriti pasaran saham. ECN berupaya menghubungkan broker utama dan pelabur individu menjalankan dagangan saham secara langsung tanpa melalui orang tengah.

Teknologi ECN mula digunapakai pertama kalinya oleh Instinet pada tahun 1969 yang membangunkan "first electronic trading platform / security network" digunakan sebagai medium telekomunikasi dalam transaksi saham melibatkan beberapa institusi. Instinet merupakan sebuah anak syarikat Nomura Group terlibat dalam agensi broker yang menyediakan perkhidmatan sekuriti kewangan global yang menggunakan teknologi sistem pesanan elektronik. Sepanjang tempoh ini, terdapat beberapa teknologi ECN yang terlibat seperti SelectNet dan NYSE Arca.

Gambar: thinkso.com

Ia akan memudahkan pelabur yang berlainan lokasi geografi untuk melaksanakan traksasi urus niaga saham dengan broker secara cepat dan mudah. Sistem ini bukan sahaja dapat memudahkan dagangan saham di bursa utama pada waktu pasaran, malah selepas waktu pasaran yang melibatkan perdagangan mata wang asing. Teknologi ini telah semakin berkembang luas di serata dunia yang melibatkan perdagangan saham secara elektronik di bursa utama seperti NYSE, NASDAQ dan lain-lain.

Era kini

 

Perubahan dalam anjakan penggunaan internet dan penggunaan telefon pintar telah memberi kesan kepada cara penjualan transaksi saham antara broker dan pelabur individu. Kini pelabur individu tidak perlu lagi berurusan dengan broker, hanya menjalankan transaksi saham di medium trading platform yang disediakan oleh broker saham masing-masing.

Penilaian ini dinilai berdasarkan analisis fundamental dan teknikal bagi sesuatu saham. Fundamental melibatkan untung rugi, penilaian kewangan (quarter report) dan sebagainya. Teknikal pula melibatkan kajian pergerakan saham melalui chart dan penggunaan indikator.

Gambar: Wikipedia

Pada masa kini juga terdapat kemudahan seperti di iSaham, yang menawarkan screener berdasarkan indikator seperti MACD, Stochastic RSI dan pelbagai lagi. Namun begitu, screener ini hanyalah sebagai bantuan dan strategi sebelum memulakan sesuatu pelaburan. Pelabur yang bijak perlulah mempunyai trading plan dan telah membuat kajian sendiri.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama