FUNDAMENTAL

4-MAY-2020

Panduan Membaca Annual Report


 


Sekiranya anda nak tahu lebih dalam tentang sesebuah syarikat, cara terbaik adalah dengan menghadiri AGM. Namun, ianya adalah membantu kalau anda membuat bacaan awal terhadap syarikat itu. Dan sekiranya anda tak menghadiri AGM, laporan tahunan juga dapat memberikan banyak maklumat tentang kegiatan syarikat dan perkembangan terbaru mereka.

Disebabkan banyaknya maklumat, kadang-kadang nak baca pun tak tahu dari mana nak mula. Maka dalam artikel ni, kami ringkaskan tentang isi perbincangan dalam pelbagai bahagian dalam laporan tahunan.

1. Isi kandungan

Seperti mana-mana buku, isi kandungan adalah tempat di mana anda boleh rujuk untuk tahu tentang isi buku dan muka surat mana anda boleh cari tajuk yang menarik bagi anda.

Kebiasaannya, bahagian awal akan menceritakan tentang syarikat itu sendiri. Di sini juga dimasukkan perutusan dari pengerusi syarikat, maklumat pengurus, ringkasan prestasi syarikat, aktiviti, produk dan pelbagai lagi maklumat tentang syarikat.

Seterusnya, bahagian belakang akan membentangkan penyata syarikat yang merangkumi keseluruhan aktiviti yang berlaku dalam setahun. Di sini juga akan diberitahu siapa pemegang saham terbesar syarikat.

2. Struktur korporat syarikat

Sesebuah kumpulan syarikat boleh mempunyai beberapa anak syarikat dan boleh jadi berlapis-lapis. Dalam bahagian struktur korporat syarikat, anda boleh mempelajari ke mana syarikat membuat pelaburan dan banyak mana pegangan yang mereka ada dalam anak-anak syarikat ini. Sesetengah syarikat juga mengelaskan syarikat pegangan mereka ini dengan sektor atau negara yang terlibat.

annual report ijmp group structure

3. Perutusan pengerusi

Bahagian perutusan ini sebenarnya boleh memberikan anda banyak maklumat tentang syarikat dalam masa setahun. Bayangkan anda diberitahu oleh pengerusi sendiri tentang syarikat. Anda boleh mengetahui tentang aktiviti syarikat, cabaran, keadaan pasaran, dan juga hala tuju syarikat. Sekiranya terdapat prestasi syarikat yang menurun atau meningkat, ada juga diberitahu sebabnya. Secara ringkasnya, anda akan diberitahu apa yang berlaku pada syarikat oleh seorang yang paling layak.

annual report fgv chairman statement

4. Maklumat Lembaga Pengurus

Sebuah syarikat yang bagus adalah dipandu oleh pengurusan yang bagus. Maka, maklumat ahli lembaga pengurus dapat memberikan anda sebuah kefahaman tentang latar belakang pengurus syarikat. Di sini, kita ingin melihat sekiranya ahli pengurus mempunyai kelulusan atau pengalaman yang berkaitan. Dengan ini, kita boleh berasa lebih yakin dengan kebolehan pihak pengurusan syarikat untuk menjalankan bisnes.

5. Ringkasan prestasi syarikat

Syarikat akan bentangkan ukuran utama prestasi syarikat sepanjang beberapa tahun yang terbaru. Dari sini anda boleh lihat prestasi utama dengan sekilas pandang. Pun begitu, ada juga syarikat yang tak berbuat begini, dan hanya akan dibentangkan dalam bentuk laporan penyata audit.

annual report fgv key summary

6. Pernyataan kelestarian

Pernyataan kelestarian atau sustainability statement adalah sebuah pernyataan syarikat dalam menjadikan perniagaan mereka lebih peka terhadap persekitaran atau komuniti. Dalam pernyataan ini, kita boleh lihat langkah-langkah yang diambil oleh syarikat untuk memberikan semula kepada ekosistem yang terdekat.

Antara langkah-langkah ini mungkin program penanaman pokok, kitar semula, penggunaan tenaga boleh dipebaharui atau apa-apa sahaja yang merangkumi skop kelestarian alam dan komuniti. Ia dapat menonjolkan nilai yang diambil berat oleh syarikat, lebih-lebih lagi sekiranya syarikat sendiri tidak menerima manfaat yang nyata dari tindakan ini.

7. Penyata kewangan

Penyata kewangan syarikat adalah antara perbincangan utama dalam mesyuarat am tahunan (AGM) syarikat. Dalam buku laporan pula, ia memakan jumlah halaman yang agak tebal. Bermula dengan penyata pendapatan dan aset, semua butiran ini akan diterangkan lagi dengan lebih terperinci.

8. Pemegang saham terbesar

Kebiasaannya, syarikat juga akan menyenaraikan pemegang saham terbesar dalam bilangan 10 hingga 30 teratas. Dengan ini, anda boleh memahami siapa yang berminat dengan saham syarikat.

annual report fgv shareholder

< kembali ke laman blog utama