UMUM

7-APR-2021

Panduan Cukai untuk Keuntungan Saham


 


Bila baca tajuk, mungkin persoalan pertama yang anda terfikir ialah "untung saham kena bayar cukai ke?". Ya dan tidak. Bergantung kepada niat atau cara keuntungan ini dibuat, anda boleh dikenakan atau dikecualikan daripada cukai atas keuntungan saham.

Satu perkara yang perlu diketahui juga ialah, anda hanya akan tertakluk kepada pembayaran cukai apabila pendapatan tahunan melebihi tahap boleh dicukai. Kebiasaannya tahap ini ialah pada RM 34,000 setahun bagi individu, namun boleh jadi berbeza mengikut isi rumah yang mempunyai anak.

Yang boleh dan tak boleh dicukai

Untuk menjawab persoalan cukai untuk keuntungan saham, pertama sekali kita perlu faham struktur pendapatan yang dikenakan cukai. Pendapatan jenis kenaikan modal, dan hadiah tidak tertakluk kepada bayaran cukai. Sebaliknya, pendapatan jenis upah perkhidmatan, pekerjaan, jual beli perdagangan dan sebagainya, pendek cerita, semua pendapatan lain tertakluk kepada bayaran cukai.

Kita boleh bincangkan contoh-contoh umum seperti milikan rumah di tajuk yang lain. Dalam tajuk kali ini, kita akan tumpukan kepada kata kunci "kenaikan modal" dan "jual beli perdagangan". Kedua-dua kaedah pendapatan ini boleh menjana pendapatan dalam pelaburan saham. Namun, bergantung kepada cara dan niat pelaburan kita, ia boleh termasuk dalam salah satu kategori.

Menentukan jenis pendapatan

Satu kekeliruan yang wujud apabila mengenalpasti keuntungan saham adalah sama ada ianya merupakan kenaikan modal atau untung jualan. Jika saham membuat kenaikan dalam apa-apa jangka masa pun, kita boleh sebut bahawa ia mengalami kenaikan modal kerana saham mengalami kenaikan harga. Oleh itu, menurut kategori pendapatan berasaskan kenaikan modal, ianya tidak tertakluk kepada pembayaran cukai.

Namun apabila saham tadi dijual, apa pula yang kita boleh katakan tentang status percukaian ini? Adakah ia terkeluar daripada kategori kenaikan modal? Di sini terdapat persoalan yang perlu ditentukan secara mendalam. Anda juga mungkin akan dapat jawapan yang berbeza menurut pihak yang ditanya.

Persoalan saham dijual beli

Untuk menjawab persoalan tadi, kita boleh lihat pada gerak kerja jual beli yang dibuat. Sekiranya saham itu dipegang untuk jangka masa panjang iaitu lebih dari 1 tahun, kita boleh katakan ia sememangnya kenaikan modal kerana tiada jual beli yang berlaku sepanjang pegangan.

Sebagai pelabur runcit yang membuat jual dan beli dengan kerap, ia mungkin boleh disebut sebagai jual beli, namun masih tiada panduan yang jelas untuk tentukan pernyataan tersebut. Sekiranya anda pelabur sepenuh masa yang tiada pendapatan lain selain jual beli saham, maka anda mungkin akan dikenakan cukai pendapatan sekiranya cukup syarat.

Tunaikan kewajipan

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita sewajarnya isytiharkan apa yang patut supaya tidak terlanggar apa-apa kesalahan di sisi undang-undang negara. Untuk yang beragama Islam pula, kita ada tanggungjawab sebagai Muslim untuk membayar zakat. Sekiranya anda memenuhi syarat untuk membayar zakat harta, ianya suatu yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu. Terdapat juga potongan rebat zakat yang boleh mengurangkan cukai yang perlu dibayar.

lhdn tax deduction 2020
Pelepasan cukai LHDN taksiran 2020

Sekiranya anda tergolong dalam individu yang dikenakan cukai, anda boleh memfailkan pelepasan cukai. Bagi tahun 2021 (taksiran 2020), ada 24 perkara yang diberikan pengecualian cukai, antaranya pembelian buku, telefon bimbit dan komputer peribadi. Terbaru, pelancongan domestik juga diberikan pengecualian cukai, selaras untuk mewujudkan insentif terhadap industri ini.


< kembali ke laman blog utama