IPO

20-JUN-2022

Orgabio - Dana IPO untuk Pembinaan Kilang dan Perolehan Mesin


 


Orgabio Holdings Berhad merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembuatan minuman pracampuran segera kepada pemilik jenama pihak ketiga dan pembuatan, penjualan dan pemasaran minuman pracampuran segera jenama sendiri.

Harga IPO:
RM 0.31
Status syariah:
Penilaian tidak dibuat
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 76.8 juta
Nisbah PE:
10.06
Permohonan ditutup:
21 Jun 2022
Cabutan saham:
24 Jun 2022
Tarikh penyenaraian:
05 July 2022

Dalam prospektus, penilaian syariah tidak dibuat, namun Elzar Shariah telah memberi penilaian patuh syariah pada IPO ini.

Penilaian patuh syariah daripada Elzar Shariah

Bisnes Orgabio Holdings Berhad

Orgabio Holdings melalui anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan pembuatan, penjualan dan pemasaran minuman pracampuran segera.

Rajah di bawah adalah produk dan akitiviti utama syarikat:

Produk dan aktiviti utama Orgabio

Aktiviti utama syarikat adalah menyediakan perkhidmatan pembuatan untuk minuman pracampuran segera kepada syarikat F&B, pasaraya, farmasi dan syarikat jualan langsung. Ini melibatkan proses merumus, mengadun dan membungkus pelbagai minuman pracampuran segera melalui Orgabio Manufacturing. Orgabio menyediakan rangkaian produk yang berlainan untuk memenuhi permintaan pelbagai pelanggan di dalam dan luar negara. Antara produk minuman pracampuran yang disediakan adalah kopi, coklat, teh, krimer dan food supplement. Proses pembuatan untuk menghasilkan produk tersebut juga telah mendapat Sijil Pengesahan Halal daripada pihak Hab Halal, JAKIM.

Orgabio juga mempunyai kepakaran dalam mengeluarkan minuman pracampuran segera house brand atau jenama sendiri iaitu EveryDay dan BrogaHill. Produk EveryDay dan BrogaHill dihasilkan secara dalaman daripada perumusan produk, reka bentuk pembungkusan, pengadunan, pembungkusan dan pengedaran kepada aktiviti jualan dan pemasaran. Aktiviti jualan dan pemasaran untuk EveryDay dan BrogaHill dijalankan oleh Everyday F&B.

Walaupun minuman pracampuran segera pelanggan dan jenama sendiri mungkin mempunyai perisa yang sama, namun, produk pelanggan dan jenama Orgabio sendiri mempunyai formulasi yang berbeza dari segi reka bentuk pembungkusan, strategi pemasaran, pelanggan sasaran dan strategi harga. House brand menyasarkan pengguna akhir yang mementingkan kesihatan seperti pesakit diabetes yang lebih suka kopi pracampuran segera dengan GI yang rendah. Syarikat ini juga terlibat dalam penjualan gel aloe vera, di mana proses pembungkusan akan dilakukan oleh syarikat pembungkusan pihak ketiga kerana mereka tidak mempunyai mesin khusus untuk pembungkusan produk dalam tiub.

Kesan COVID-19 terhadap bisnes

Pelaksanaan PKP telah berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020 oleh kerajaan Malaysia. Memandangkan perniagaan Orgabio dikategorikan di bawah perkhidmatan penting, mereka dibenarkan untuk terus beroperasi sepanjang tempoh PKP dengan mengurangkan jumlah tenaga kerja kepada 50% kapasiti. Semasa peringkat awal PKP, telah berlaku kelewatan dalam penghantaran sehingga 2 minggu kepada pelanggan tempatan dan pelanggan asing. Namun, semasa PKP berperingkat dijalankan sejak Mac 2020, Orgabio berjaya memenuhi tempahan daripada 12 pelanggan baharu dengan jumlah pesanan pembelian berjumlah RM1.40 juta .

Prestasi kewangan

Rajah di bawah menunjukkan prestasi kewangan bagi Orgabio Holdings Berhad bagi tahun akhir 2018 sehinggan tahun akhir 2021.

Prestasi kewangan Orgabio Holdings Berhad
Prestasi kewangan Orgabio Holdings Berhad

Pada FYE 2019, pendapatan syarikat Orgabio telah berkurang sebanyak RM0.97 juta daripada RM32.67 juta pada FYE 2018 kepada RM31.70 juta pada FYE 2019. Faktor utamanya adalah kerana pelanggan utama mereka iaitu Hai-O Enterprise Berhad tidak membeli sebarang teh pracampuran pada 2019 disebabkan jualan pracampuran teh mereka berkurangan.

Pendapatan syarikat Orgabio meningkat pula sebanyak RM7.67 juta daripada RM31.70 juta pada FYE 2019 kepada RM39.37 juta pada FYE 2020, terutamanya hasil daripada jualan food supplement premixes kepada TDV Avenue. Food supplement yang dihasilkan kepada TDC Avenue terus mendapat sambutan yang baik daripada pelanggannya. Peningkatan dalam permintaan untuk food supplement juga didorong kebanyakannya oleh peningkatan kesedaran tentang produk pemakanan akibat pandemik COVID-19. Peningkatan pendapatan bagi FYE 2021 diteruskan lagi dengan peningkatan jualan food supplement di mana meningkat sebanyak RM19.70 juta atau 50.04% daripada RM39.37 juta pada FYE 2020 kepada RM59.07 juta pada FYE2021.

Pendapatan Orgabio Holdings Berhad
Prestasi kewangan mengikut segmen

Secara keseluruhan, penyumbang utama kepada pendapatan mereka adalah daripada segmen perkhidmatan pembuatan minuman pracampuran.

Strategi IPO pada masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM 29.97 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembinaan kilang baru 16.0 53.39
Perolehan mesin 2.23 7.44
Modal kerja 8.14 27.15
Perbelanjaan penyenaraian 3.6 12.02
Jumlah 29.97 100

Pembinaan untuk kilang baru di Semenyih, Selangor diperuntukkan sebanyak RM16 juta untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan pembuatan syarikat Orgabio. Jumlah kos pembinaan kilang baru dianggarkan berjumlah RM18 juta, di mana RM16 juta melalui hasil IPO dan baki RM2 juta akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman. Syarikat Orgabio juga akan menggunakan RM2.23 juta daripada hasil IPO untuk membeli mesin iaitu Intermediate Bulk Containers blending system.

Selain itu, RM8.14 juta akan digunakan untuk menambah keperluan modal kerja. Ia akan digunakan untuk membeli bekalan utama untuk pembuatan produk seperti susu tepung, krimer, serbuk kolostrum, serbuk kopi, gula dan sachet foils. Baki selebihnya iaitu sebanyak RM3.6 juta akan diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri Orgabio Holdings

Industri minuman pracampuran segera

Industri minuman pracampuran segera adalah sebahagian daripada industri pembuatan makanan di mana ia melibatkan pengeluaran bahan mentah, pemprosesan, pembuatan, penjenamaan dan pemasaran, dan akhirnya pengedaran untuk kegunaan pengguna. Pemilik jenama minuman pracampuran segera boleh menjalankan aktiviti pembuatan dengan bantuan pengilang kontrak atau contract manufacturing service providers.

Kategori industri minuman pracampuran segera
Kategori industri minuman pracampuran segera

Contract manufacturing service providers adalah segmen utama Orgabio Holdings terlibat. Ini bermaksud bahawa Orgabio sebagai pengilang kontrak menandatangani perjanjian dengan syarikat lain untuk membuat produk minuman pracampuran segera dalam tempoh masa tertentu.

Prestasi industri

Industri minuman pracampuran minuman segera adalah sub-segmen bagi industri minuman kopi, teh, susu dan koko. Prestasi industri minuman pracampuran segera dikira berdasarkan saiz industri bagi minuman kopi, teh, susu dan koko.

Prestasi industri
Saiz industri

Nilai jualan pembuatan kopi, teh, susu dan minuman koko yang termasuk dengan minuman pracampuran minuman segera di Malaysia telah menunjukkan peningkatan daripada RM13.83 bilion pada 2018 kepada RM16.05 bilion pada 2020. Pada 2021 pula, nilai jualan pembuatan kopi, teh, susu dan minuman koko di Malaysia bertambah meningkat sebanyak 1.81% kepada RM16.34 bilion.

Menurut IMR Report, penilaian saiz industri menggunakan pendapatan pemain industri minuman pracampuran segera tidak dapat di lakukan kerana industri minuman pracampuran segera mempunyai bilangan pemain industri yang ramai dan tiada rekod berpusat yang boleh dikesan oleh mana-mana agensi kerajaan di Malaysia. Bahkan sukar untuk memastikan pendapatan yang tepat yang dapat diperoleh daripada pemain industri kerana banyak syarikat terlibat dalam pembuatan produk lain seperti minuman sedia untuk diminum, minuman pekat dan lain-lain. Oleh itu, data terdekat yang tersedia, iaitu nilai jualan pembuatan kopi, teh, susu dan minuman koko, digunakan untuk mewakili prestasi industri minuman pracampuran segera.

Persaingan

Menurut IMR Report, pesaing bagi Orgabio Holdings akan tertumpu kepada penyedia perkhidmatan pembuatan atau pengeluar kontrak di Malaysia kerana mereka khususnya terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembuatan untuk minuman pracampuran segera untuk pemilik jenama pihak ketiga.

Maka,asas pemilihan pemain industri utama dalam industri minuman pracampuran segera di Malaysia adalah seperti berikut:

Pesaing Orgabio Holdings dalam industri yang sama
Pesaing Orgabio yang terlibat dalam industri yang sama

Perbincangan

Krisis seperti pandemik COVID-19 dapat memberi gangguan sementara terhadap rantaian bekalan pengeluar minuman pracampuran segera. Pandemik ini juga telah menyebabkan Orgabio lewat menghantar pesanan kepada pelanggan akibat pengangkutan udara dan hab pengangkutan lain terpaksa berhenti operasi sementara. Namun begitu, pelanggan tidak melakukan sebarang tuntutan penalti terhadap kelewatan tersebut. Jualan tempatan Orgabio juga tidak terjejas kerana tiada sebarang pembatalan pesanan jualan daripada pelanggan.

Menurut laporan IMR, prestasi kewangan syarikat Orgabio akan terjejas jika kelewatan dalam pengeluaran dan penghantaran dalam tempoh yang berpanjangan atau jika pelanggan melakukan tuntutan penalti disebabkan kelewatan. Pendapatan syarikat juga telah menunjukkan peningkatan daripada tahun 2019 sehingga 2021, di mana perkhidmatan pembuatan minuman pracampuran segera merupakan penyumbang terbesar dalam peningkatan pendapatan.

Orgabio mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan dalam segmen jualan langsung dan pasaran eksport selepas melihat permintaan yang baik sejak 4 tahun yang lalu dengan mengumpul RM29.97 juta daripada penyenarian IPO. Kita dapat lihat bahawa Orgabio mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat. Namun, syarikat masih perlu membuktikan keberkesanan perancangan mereka apabila disenaraikan di Bursa Malaysia.


< kembali ke laman blog utama