IPO

30-DEC-2022

NationGate - Dana IPO untuk Keperluan Modal Kerja


 


NationGate Holdings Sdn Bhd. (NationGate) terlibat dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang memfokuskan kepada pemasangan dan pengujian komponen elektronik dan produk untuk menghasilkan papan litar bercetak lengkap (PCB), pemasangan separuh siap dan pemasangan lengkap produk elektronik dan juga peranti semikonduktor.

Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut:

Harga IPO:
RM 0.38
Status syariah:
Disahkan syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 788.094 juta
Nisbah PE:
11.9
Permohonan ditutup:
30 Disember 2022
Cabutan saham:
04 Januari 2023
Tarikh penyenaraian:
12 Januari 2023

Perniagaan NationGate

Syarikat ini telah diperbadankan pada 4 Febuari 2021 sebagai sebuah syarikat persendirian di bawah nama NationGate Holdings Sdn Bhd. Pada 30 April 2021, syarikat ini ditukarkan kepada syarikat awam menggunakan nama yang sama.

Struktur syarikat selepas disenaraikan adalah seperti berikut:

Struktur syarikat
Sumber: Prospektus IPO

NationGate, melalui anak syarikatnya, adalah penyedia EMS yang memfokuskan pemasangan dan pengujian komponen eletronik dan produk untuk menghasilkan PCB lengkap, pemasangan elektronik separuh siap dan pemasangan produk elektronik lengkap, serta peranti semikonduktor.

Rajah berikut menggambarkan model perniagaan NationGate:

Model perniagaan NatGate
Model perniagaan syarikat

Prestasi kewangan NationGate

Secara keseluruhan, pendapatan dan keuntungan bagi syarikat NationGate membuat kenaikan secara konsisten daripada tahun kewangan 2019 sehingga 2021

Prestasi kewangan syarikat

Pendapatan syarikat NationGate datang daripada 2 segmen perniagaan iaitu:

  1. Turnkey
  2. Consignment

Pendapatan syarikat mengikut segmen adalah seperti di bawah:

Prestasi kewangan mengikut segmen

Pada tahun 2019, pendapatan keseluruhan yang diperolehi daripada segmen turnkey meningkat sebanyak RM 200.25 juta atau 70.1%. Kemudian pada tahun 2020, NationGate mengembangkan khidmat EMS mereka kepada industri semikonduktor, di mana mereka merekodkan pendapatan sebanyak RM 7.66 juta daripada ujian dan pemasangan produk pencahayaan keadaan pepejal untuk sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Sehingga tahun 2021, pendapatan syarikat kemudian meningkat 31.7%, iaitu sebanyak RM 153.82 juta, dan diikuti dengan peningkatan sebanyak 7.9% iaitu sebanyak RM 25.87 juta.

Bagi segmen consignment pula, pada tahun kewangan 2019, pendapatan yang direkodkan meningkat sebanyak 99.1%. Ini adalah disebabkan oleh permulaan aktiviti pemasangan yang dilakukan oleh superkomputer dan penggunaan semula komponen elektronik tertentu bagi 2 syarikat MNC yang terlibat dalam industri data pengkomputeran di China dan USA. Aktiviti ini menyumbang sebanyak RM 36.55 juta kepada pendapatan syarikat. Selain itu, peningkatan pendapatan daripada pelanggan sedia ada sebanyak 24.7% dan pesanan PCB yang telah selesai daripada 2 buah syarikat pembuatan di Taiwan juga membantu dalam meningkatkan pendapatan yang diperoleh daripada segmen ini.

Namun begitu, terdapat pengurangan pendapatan daripada segmen automotif, yang menyebabkan pengurangan pendapatan sebanyak 49.8% semasa tahun kewangan 2020, daripada pendapatan pada tahun 2019, iaitu sebanyak RM 7.73 juta.

Pada tahun 2020 sehingga tahun 2021, terdapat peningkatan pendapatan sebanyak RM 40.8 juta atau 50.8%. Namun, ia diimbangi dengan penurunan pendapatan daripada pelanggan sedia ada yang terlibat dalam industri segmen instrumen, rangkaian dan telekomunikasi, serta pemberhentian pesanan PCB lengkap oleh 2 syarikat pembuatan di Taiwan. Manakala bagi tahun 2021 sehingga tempoh kewangan 2022, keseluruhan pendapatan daripada aktiviti consignment meningkat sebanyak 38.6%, iaitu sebanyak RM 20.24 juta.

Pelanggan utama syarikat

NationGate tidak mempunyai pelanggan jangka masa panjang kerana perniagaan mereka bergantung kepada pesanan pembelian dari masa ke semasa. Oleh kerana itu, prestasi syarikat bergantung kepada keupayaan mereka untuk memperoleh pesanan pembelian daripada pelanggan-pelanggan baru dan sedia ada.

Merujuk rajah di bawah, Syarikat A adalah pelanggan NationGate yang menyumbang kepada 44.5%, 53.1%, 51.1% dan 54.8% daripada jumlah pendapatan syarikat pada tahun 2019, 2020, 2021 dan tempoh kewangan 2022. Hubungan dengan Syarikat A yang lama ini telah berkembang daripada pembuatan PCB lengkap secara consignment pada tahun 2009 kepada pembuatan produk optik yang kompleks secara turnkey.

Senarai pelanggan utama syarikat

Kelebihan daya saing

NationGate yakin dengan keupayaan teknikal dalam memenuhi keperluan pelanggan untuk perkhidmatan EMS. Mereka juga telah membuat pelaburan secara berterusan dengan pembelian mesin dan peralatan yang diperlukan bagi sentiasa mengikuti perkembangan dan keperluan perubahan teknologi. Secara keseluruhan, mereka mempunyai sebanyak 31 SMT baris pemasangan dengan kapasiti untuk memasang sehingga 1,257,600,000 titik pelekap setiap bulan. Khidmat pemasangan ini juga disediakan kepada semua pelanggan dari pelbagai segmen industri.

Syarikat ini juga menjalinkan hubungan perniagaan dengan pelanggan antarabangsa dan mampu untuk menyediakan perkhidmatan pembuatan EMS kepada pelbagai pasaran pengguna akhir. Tambahan lagi, mereka juga menekankan kualiti khidmat yang diberikan kepada pelanggan. QMS syarikat ini memenuhi piawaian antarabangsa seperti ISO 9001:2015, ISO 14001:2015, AS9100D, ISO 13485:2016 dan IATF 16949:2016.

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

NationGate bergantung kepada input yang diimport untuk perniagaan EMS seperti termasuk kapasitor, perintang, transistor, diod, induktor, tampal pateri, skrin, bingkai plumbum, PCB teras logam, bahan asas, wafer gergaji (hirisan nipis semikonduktor), epoksi pelekat atau pateri dan wayar. Sekiranya terdapat kekurangan global terhadap bahan-bahan tersebut, ia akan menyebabkan berlakunya kerugian dari segi peluang perniagaan, keuntungan dan perkembangan syarikat. Kos produksi juga bergantung kepada kos bahan input yang digunakan. Jika terdapat kenaikan terhadap harga bahan input, syarikat akan terjejas dari segi operasi dan kewangan.

Selain itu, NationGate juga bergantung kepada Syarikat A bagi aktiviti perniagaan EMS. Perniagaan mereka bersama Syarikat A dijalankan di bawah pengaturan turnkey, di mana mereka perlu membeli bahan mentah tertentu daripada Syarikat A untuk tujuan pemasangan dan ujian produk telekomunikasi optik. Oleh kerana itu, Syarikat A merupakan pembekal tunggal terbesar NationGate sepanjang tahun kewangan 2019 sehingga tempoh kewangan 2022. Kehilangan perniagaan dengan Syarikat A mungkin mempunyai kesan yang ketara kepada prestasi kewangan syarikat.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima daripada IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembelian mesin dan peralatan 5.93 3.6
Modal kerja 48.362 29.2
Pembayaran pinjaman 105.508 63.8
Modal penyenaraian IPO 5.7 3.4
Jumlah 165.5 100
 

Sebanyak RM 5.93 juta atau 3.6% daripada dana yang diterima akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan tambahan bagi menaiktaraf kapasiti pemasangan SMT, akibat daripada permintaan yang meningkat daripada pelanggan baru dan sedia ada.

Modal kerja sebanyak RM 48.36 juta (29.2%) akan digunakan untuk membiayai keperluan tambahan modal kerja yang selari dengan penumbuhan aktiviti perniagaan EMS syarikat. Modal kerja ini akan digunakan untuk pembelian bahan mentah, guna habis dan komponen elektronik yang diperlukan untuk aktiviti EMS.

Dari rajah di atas, dapat dilihat bahawa majoriti dana akan digunakan untuk tujuan pembayaran hutang. Hal ini ditentukan dengan mengambil kira beberapa faktor, seperti; kos faedah, jumlah pinjaman tertunggak, penarikan semula kemudahan pinjaman, dan yuran penyelesaian awal.

Manakala baki selebihnya iaitu sebanyak RM 5.7 juta akan digunakan untuk modal penyenaraian IPO.

Analisis perniagaan dan industri EMS

Perkhidmatan pembuatan elektronik sehenti (EMS) kebiasaannya merujuk kepada rekaan, ujian, pembinaan, pembekalan berantai dan pengurusan logistik bagi komponen elektronik dan pemasangan PCB. Oleh itu, pasaran EMS memainkan peranan integral dalam perkembangan dan penumbuhan pengilang.

Pasaran EMS mempunyai julat yang luas terhadap pasaran pengguna akhir, termasuk industri elektrik dan elektronik, telekomunikasi, industri elektronik pengguna dan semikonduktor.

Struktur industri

Industri EMS berhubung rapat dengan industri elektrikal dan elektronik (E&E), dan menyediakan khidmat pengilangan sokongan terhadap industri tersebut. Prestasi pasaran EMS adalah berhubungkait dengan pembangunan industri E&E.

Sumber: Prospektus

Industri E&E di Malaysia terdiri daripada dua sektor, iaitu elektrik dan elektronik. Sub-sektor komponen elektronik merangkumi pelbagai jenis produk, daripada semikonduktor kepada komponen pasif. Manakala bagi sub-sektor elektronik pengguna pula menghasilkan produk seperti kamera, tv dan pembesar suara. Bagi komponen elektrik pula, ia terdiri daripada produk seperti kabel dan wayar, lampu dan transformers. Barangan elektrik pula adalah seperti penghawa dingin.

Malaysia merupakan salah satu negara pengilang E&E di dalam negara-negara ASEAN. Penumbuhan berterusan industri ini disokong oleh kemasukan pelabur asing ke dalam negara. Oleh kerana itu, prestasi industri E&E adalah baik walaupun terdapat kelembapan terhadap penumbuhan ekonomi global.

Sungguhpun penghasilan produk E&E di Malaysia menurun sebanyak 0.5% pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19, pendapatan syarikat masih kekal baik. Jumlah eksport produk E&E meningkat sebanyak 3.5% manakala jumlah import meningkat sebanyak 3.0%. Manakala pada tahun 2021 pula, jumlah eksport meningkat sebanyak 18% dan jumlah import meningkat sebanyak 24.3%.

Prestasi industri

Pasaran EMS menyediakan perkhidmatan sokongan yang penting kepada industri E&E. Prestasi pasaran EMS dipengaruhi oleh prestasi industri E&E. Oleh kerana industri E&E di Malaysia mempunyai orientasi eksport yang sangat tinggi, jumlah eksport E&E produk akan digunakan sebagai proksi untuk saiz pasaran dan prestasi pasaran EMS di
Malaysia.

Pada tahun 2020, pasaran EMS tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan eksport produk E&E yang meningkat daripada RM373.12 bilion pada 2019 kepada RM386.29 bilion pada 2020. Pertumbuhan pada 2020 boleh dikaitkan dengan
eksport E&E yang lebih tinggi kepada China, Singapura dan Amerika Syarikat.

Pada tahun 2021, bersama dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi global, permintaan untuk produk E&E di seluruh dunia meningkat. Ini juga membawa kepada peningkatan mendadak dalam eksport produk E&E di Malaysia pada tahun
2021, dengan jumlah eksport meningkat 18.0% kepada RM455.73 bilion.

Melangkah ke hadapan, eksport produk E&E dijangka terus berkembang dalam tempoh dari tahun 2022 hingga 2027. Pertumbuhan eksport dijangka dirangsang oleh pengembangan dalam industri E&E tempatan yang disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan.

Persaingan

Berikut merupakan senarai syarikat tempatan yang terlibat dalam industri EMS dan secara langsung merupakan pesaing kepada NationGate.

Sumber: Prospektus

Perbincangan

Secara umumnya, syarikat NationGate menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang meningkat dari tahun kewangan 2019 sehingga tahun kewangan 2021. Selain itu, penganalisis bebas pasaran, Protege, menjangkakan bahawa industri ini akan terus membuat kenaikan dengan kadar CAGR sebanyak 10.3% sehingga tahun 2027 yang secara tidak langsung akan memberi kebaikan kepada NationGate.

Sebahagian dana yang diperoleh nanti akan digunakan untuk pembelian mesin baharu bagi meningkatkan keupayaan pemasangan papan litar bercetak. Ini adalah salah satu langkah strategik yang diambil oleh NationGate ke arah memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.


< kembali ke laman blog utama