IPO

06-JUL-2023

MST Golf - Dana IPO Untuk Mengembangkan Perniagaan


 


Butiran IPO syarikat MST Golf

Latar belakang perniagaan syarikat

MST Golf Group Berhad melalui anak syarikatnya merupakan syarikat yang terlibat dalam peruncitan golf di Malaysia dan Singapura. Syarikat ini turut menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan golf untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza. Antaranya ialah bimbingan golf, perkhidmatan sewa peralatan golf, membekalkan barangan golf dan lain-lain lagi.

Selain itu, MST Golf juga menyediakan kepelbagaian produk di bawah 97 jenama termasuklah jenama termuka seperti Adidas, Nike Golf dan Titleist. Sehingga 31 Mei 2023, MST Golf mempunyai 44 buah kedai. 

Prestasi kewangan syarikat

Secara umum, pendapatan syarikat mempunyai peningkatan daripada tahun kewangan 2019 hingga tahun kewangan 2022. Seiring dengan peningkatan pendapatan, keuntungan bersih juga menunjukkan peningkatan. 

Pendapatan utama syarikat adalah hasil daripada jualan runcit diikuti dengan jualan gudang dan perkhidmatan sukan golf. Pada tahun kewangan 2022, jualan runcit dan jualan gudang masing-masing telah menyumbang sebanyak 80.20% dan 15.75%. 

Peneraju pasaran golf di Malaysia

Berdasarkan laporan pasaran bebas (IMR), MST Golf menguasai pasaran kelengkapan golf sebanyak 51% di Malaysia selain menjadi rangkaian khusus golf terbesar negara. Dengan kepelbagaian produk kelengkapan golf yang dijual di bawah 97 jenama, ia mampu mengekalkan dan membantu pertumbuhan perniagaan syarikat. Hal ini boleh dilihat menerusi jualan pendapatan dan keuntungan yang diperoleh serta jualan sebanyak 12,000 unit simpanan stok (SKU). 

Selain mempunyai rekod perniagaan yang kukuh di Malaysia dan Singapura, MST Golf juga mempunyai program keahlian yang telah dilancarkan pada tahun 2005 sebagai salah satu strategi pemasaran mereka untuk memasarkan produk mereka dan membina kepercayaan pelanggan. Melalui program ini, mereka telah mempunyai bilangan ahli aktif seramai 93,995 ahli sehingga Mei 2023. Dengan bilangan ahli aktif yang ramai, ia mampu menyumbang sebanyak 75.68% kepada pendapatan syarikat dalam segmen peruncitan. 

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Melalui dana sebanyak RM 62.76 juta, MST Golf merancang untuk memperluaskan rangkaian kedai runcit mereka di Malaysia dan Singapura dengan menambah 15 buah kedai dalam tempoh 3 tahun akan datang. Menjelang tahun 2025, mereka bakal mempunyai 59 buah kedai. 

Selain itu, mereka juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran baru iaitu di Indonesia, Thailand dan Vietnam dengan sasaran sebanyak 16 buah kedai menjelang tahun 2026.

Baki dana akan digunakan untuk menambahbaik dan memperbaharui kedai sedia ada di Malaysia dan modal kerja am. 

Risiko berkaitan perniagaan dan operasi

MST Golf mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pembekal A di mana jumlah pembelian bahan menyumbang lebih 30% pada tahun kewangan 2022. Pembekal A merupakan syarikat swasta di Amerika Syarikat yang terlibat dalam pembuatan kelengkapan golf. Syarikat MST Golf telah berurusan dengan jenama produk syarikat ini selama lebih kurang 24 tahun sejak tahun 1999. Pada masa yang sama, jenama produk syarikat ini juga merupakan salah satu daripada 25 jenama teratas yang menyumbang pendapatan sekitar 16.26% dan 29.19% dari tahun kewangan 2019 hingga 2022. 

Oleh itu, operasi perniagaan dan prestasi kewangan MST Golf mungkin boleh terjejas dengan ketara sekiranya berlaku sebarang gangguan dalam hubungan perniagaan mereka. 

Perbincangan

Secara keseluruhan, MST Golf merupakan syarikat peruncitan kelengkapan golf terbesar di Malaysia melalui jaringan kedai mereka yang besar. Mereka juga menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan golf dan mempunyai rangkaian produk kelengkapan golf di bawah 97 jenama. Pendapatan syarikat juga meningkat dari tahun kewangan 2019 hingga tahun kewangan 2022, dengan jualan runcit dan jualan gudang menjadi sumber pendapatan utama syarikat. 

Melalui dana IPO yang diperoleh, MST Golf merancang untuk memperluaskan rangkaian kedai runcit mereka di Malaysia dan Singapura serta memasuki pasaran baru di Indonesia, Thailand dan Vietnam. 

Walau bagaimanapun, terdapat risiko yang berkaitan dengan operasi perniagaan mereka, antaranya ialah kebergantungan yang tinggi terhadap pembekal A dari Amerika Syarikat boleh memberi kesan terhadap perniagaan dan prestasi kewangan syarikat jika terdapat sebarang gangguan dalam hubungan perniagaan.


< kembali ke laman blog utama