AGM

31-MAY-2021

Model Bisnes dan Budaya yang Diamalkan di Greatech


 


Greatech terlibat dalam penyediaan perkhidmatan sistem pengeluaran kilang. Selain sebuah sistem kilang lengkap, mereka juga menawarkan khidmat pemeriksaan, pemasangan dan lain-lain. Pelanggan mereka terdiri daripada syarikat solar dan EV. Dalam keputusan kewangan 2020, syarikat telah menunjukkan peningkatan 20% keuntungan berbanding tahun sebelumnya walaupun dalam keadaan wabak Covid-19.

Dalam post kali ini, kita akan lihat bagaimana syarikat ini diuruskan. Penulisan ini adalah berdasarkan apa yang dibincangkan dalam AGM Greatech yang berlangsung pada 21 Mei 2021.

1. Kebolehan Greatech

Sebelum kita bercakap lebih dalam tentang Greatech, mari kita lihat terlebih dahulu apa kebolehan syarikat ini. Pertama sekali, mereka mampu reka sebuah sistem pengeluaran, atau Production Line System (PLS). Secara umumnya, sistem ini membolehkan sesebuah kilang berfungsi dengan lebih cekap dalam memproses bahan asas kepada barangan akhir, atau separa akhir. Mereka menawarkan produk dan perkhidmatan ini ke industri yang pelbagai di mana pelanggan mereka merupakan syarikat Fortune 500.

greatech product breakdown

Selain sistem pengeluaran kilang, mereka juga mempunyai Single Automated Equipment, iaitu modul peralatan berasingan untuk kegunaan semikonduktor, bateri dan solar. Mereka juga menawarkan perkhidmatan dan sokongan kepada pelanggan sedia ada dengan khidmat kejuruteraan. Sementara itu juga, mereka menawarkan pilihan penaiktarafan untuk meningkatkan produktiviti dan kepantasan peralatan.

2. Nilai teras

6 Nilai teras yang menjadi pegangan dan budaya di Greatech ialah Integrity, Innovation, Performance, Customer Satisfaction, Care & Respect dan Teamwork. CEO, Tan Eng Kee tidak menghuraikan satu-satu nilai ini secara terperinci. Berkemungkinan ada beberapa nilai ini menjelaskan dirinya sendiri dari istilah yang digunakan. Antara huraian yang disebut dengan lebih mendalam ialah Innovation ataupun inovasi. Syarikat percaya bahawa inovasi bukan hanya perlu dibuat pada peringkat produk atau rekabentuk, malah juga perlu pada peringkat bisnes itu sendiri.

greatech core values

Greatech juga meletakkan Care & Respect pada pekerja mereka kerana inilah aset mereka untuk mencapai kejayaan yang boleh terlihat sekarang. Dari segi Teamwork pula, mereka meyakini bahawa pekerja pada semua peringkat adalah diperlukan bagi menjayakan syarikat. Slogan yang mereka bawa ialah "Together we create possibilities", "Bersama kita cipta kemungkinan". Slogan ini masih lagi dan akan kekal menjadi tunjang kepada kejayaan syarikat untuk masa yang akan datang.

3. Pelan Strategik

Dalam 20 tahun lagi, Greatech akan dipacu oleh perancangan utama ini yang digariskan oleh CEO.

  1. Pembangunan produk teras
  2. Pemelbagaian produk dan pasaran
  3. Penggabungan dan pengambilalihan

80% tenaga kerja diperuntukkan untuk membangunkan dan menambahbaik produk teras mereka. Ini adalah untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai pemain pasaran dalam industri yang diceburi.

Mereka tidak menumpukan kepada produk sedia ada sahaja. Untuk tidak terlepas dari teknologi lain yang juga berpotensi membawa permintaan kepada syarikat, 20% tenaga kerja diperuntukkan dalam pemelbagaian produk. Produk yang diteroka ini haruslah suatu teknologi baru dan muncul sebagai teknologi penting di masa akan datang.

Seterusnya, satu strategi yang biasa terdapat dalam perkembangan bisnes ialah penggabungan atau pengambilalihan syarikat. Mereka akan mencari syarikat yang mempunyai bahagian pasaran yang bagus atau kepakaran yang tinggi untuk dijadikan sebahagian daripada Greatech. Buat masa ini, Tan menyatakan bahawa mereka akan menumpukan pada syarikat Amerika dan Eropah. Greatech telah pun meneliti pelbagai syarikat dalam tempoh 9 bulan kebelakangan, namun belum berjumpa dengan sebuah keputusan.

4. Pemacu kejayaan

Perkara yang dapat membawa Greatech ke arah kejayaan syarikat antaranya adalah buku pesanan yang boleh terlihat kini. Buku pesanan atau order book Greatech terbaru mencatatkan RM 351 juta iaitu 63% lebih banyak berbanding tahun lepas pada awal 2020.

Syarikat berniat untuk kekalkan margin keuntungan pada sekurang-kurangnya 30%. Ia sememangnya bukanlah suatu yang mudah. Untuk mencapai margin ini, syarikat perlu lebih selektif dalam memilih pelanggan mereka. Ini juga adalah untuk memastikan kualiti kerja yang tinggi dicapai untuk diberikan kepada pelanggan.

Greatech memegang tunai yang banyak iaitu RM 103.23 juta pada FY 2020. Namun, apabila ditanya, Tan mengatakan tidak mempertimbangkan untuk memberikan dividen sehinggalah 2023. Beliau menyatakan mempunyai banyak perancangan untuk masa depan syarikat, dan tunai ini akan digunakan untuk aktiviti berkaitan untuk syarikat.

5. Industri utama

Greatech melibatkan dirinya dalam 4 industri utama, iaitu solar, simpanan tenaga, semikonduktor dan sensor, dan sains hayat. Daripada 4 industri ini, kita dapat lihat lebih banyak sumbangan nilai dalam buku pesanan bernilai RM 293 datang dari solar dan EV iaitu masing-masing sebanyak 25% dan 73%. Selebihnya, yang lain menyumbang 2%.

greatech products

Dalam AGM, Tan menjelaskan bilangan pelanggan sedia ada dan sasaran untuk masa depan. Buat masa ini, segmen industri sains hayat dan semikonduktor bergerak agak perlahan. CEO juga menyebut bahawa industri sains hayat ini adalah suatu yang beliau percaya akan menjadi paling menguntungkan dalam jangka panjang.

6. Produk baru 2021

Dalam pelan strategik di poin nombor 3 tadi disebut tentang pemelbagaian produk dan pasaran. 20% tenaga kerja diperuntukkan dalam penerokaan produk ini. Dalam AGM baru ini, Tan menyatakan 2 produk baru yang sedang dalam pembangunan iaitu substrate dan optik. Status pembangunan produk ini masing-masing telah mencapai 95% dan 90%.

Produk ini kemudiannya akan melalui fasa percubaan. Maklumat lebih lanjut tentang produk mereka ini dikatakan akan menyusul lebih banyak pada suku ketiga tahun ini. Tan juga menyatakan terdapat produk baru yang akan dibangunkan dalam 2022.

7. Pelaburan R&D dan umum

greatech r&d expenditure

Greatech telah melaburkan RM 9.3 juta untuk aktiviti R&D pada tahun 2020. Pelaburan R&D ini adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa berevolusi, pertumbuhan portfolio produk dan inovasi yang berterusan. Untuk tahun 2021 pula, Greatech menjangka RM12 juta akan dibelanjakan untuk aktiviti R&D ini.

Secara umum pula, Greatech telah mengeluarkan pelaburan untuk penapakan fasiliti berukur 16,000 kaki persegi di Michigan, Amerika untuk peluang pertumbuhan dalam segmen produk PLS. Setakat ini, perkembangan baik dapat dilihat melalui projek baru dengan sebuah pengeluar EV di Amerika yang menurut berita dikenali sebagai Atlis. Tan yakin bahawa pelaburan di Michigan ini dapat memberikan pulangan modal atau memberi keuntungan pada tahun pertama operasi.

Di Ireland, perkembangan untuk industri sains hayat adalah agak perlahan. Namun begitu, Tan menyatakan untuk membelanjakan lebih banyak modal di sini dalam masa akan datang.

greatech batu kawan
Kilang baru Greatech di Batu Kawan. Gambar: Kok Construction

Syarikat juga meletakkan pelaburan untuk fasiliti baru di Batu Kawan Industrial Park, BK1 dan BK2 di Pulau Pinang. Sebanyak RM 19.2 juta dilaburkan sejak Mei 2020 untuk pembinaan fasiliti BK1 yang berukur sebesar 130,000 kaki persegi bangunan dua tingkat. Sebidang tanah yang berhampiran juga telah diperoleh pada Januari 2021 untuk membina fasiliti BK2 yang akan berukuran 230,000 kaki persegi.

Fasiliti ini akan membolehkan pemindahan fasiliti syarikat sebelum ini di Lunas dan meletakkan fasiliti baru ini di kawasan tumpuan operasi. Fasiliti BK1 ini akan digunakan untuk pengeluaran bahagian mesin dan komponen. BK2 ini pula akan digunakan untuk khidmat rekabentuk kejuruteraan, pemasangan dan juga pengurusan. Dengan pelaburan yang dibuat untuk fasiliti Batu Kawan ini, kos overhead yang berulang dapat dikurangkan.

8. Inisiatif bakat global

Seperti yang disebut sebelum ini, Greatech meletakkan nilai yang tinggi pada pekerja sebagai aset mereka. Untuk memastikan kelangsungan syarikat pula, Tan membentuk Greatech untuk mempunyai pelan pewarisan (succession plan) pada semua peringkat. Semua tahap pekerja perlu mempunyai tahap kecekapan yang diperlukan dalam aspek ini - Integrity, Education, Leadership, Knowledge dan Experience.

greatech career positions
Gambar: Greatech

Sekarang ini, Greatech sedang giat mencari pekerja. Ketika ini, 50% tenaga kerja mereka terdiri daripada jurutera sama ada rekabentuk, perisian, mekanikal, dan vision. Bilangan terkini yang disebut dalam AGM ialah 585 orang pekerja, dan mereka ingin mencapai angka 800 menjelang tahun ini. Ia mungkin tidak mustahil kerana dikatakan 80% daripada sasaran ini telah pun dicapai.

9. Kedudukan Greatech hari ini

Tan Eng Kee menyambung perkongsiannya dalam AGM baru ini dengan kedudukan Greatech dalam pasaran industri. Buat masa ini, Greatech hanya dapat mengaut hanya RM 261 juta daripada pasaran, sedangkan pesaing di syarikat "A" dapat mengaut sehingga RM 5.6 bil. Oleh itu, Greatech adalah sangat dahagakan bahagian pasaran yang lebih besar.

kedudukan pasaran greatech berbanding pesaing antarabangsa

Dengan perbandingan 4 pesaing lain, 2 di Amerika dan 2 di Eropah, Tan tidak selesa dengan kedudukan sekarang. Menurut beliau, pelbagai usaha yang sedang dijalankan bagi mendapatkan lebih banyak bahagian pasaran. Dengan usaha yang dibuat ini, beliau menjangka 2023 akan menjadi tahun yang bagus untuk Greatech.

Kesimpulan

Berdasarkan pembentangan AGM baru ini, sukar dinafikan bahawa Greatech merupakan sebuah syarikat dengan matlamat yang jelas. Ini jelas dibawa oleh CEO, Tan Eng Kee yang ingin menjadikan Greatech sebuah syarikat yang lebih berkembang maju. Beliau dikatakan tidak menyangka pun akan bergelar jutawan, malah disenaraikan di Forbes sebagai terkaya Malaysia. Fokus beliau diberikan sepenuhnya terhadap syarikat. Dalam AGM ini, kita dapat lihat bagaimana beliau ingin menetapkan sebuah tahap kecekapan pekerja dengan "succession plan" pada setiap peringkat.

Penafian: Penulisan ini adalah berdasarkan apa yang dibincangkan dalam AGM Greatech pada 21 Mei 2021. Sebarang penilaian positif atau negatif haruslah dipertimbangkan oleh pelabur sendiri untuk membuat keputusan pelaburan.


< kembali ke laman blog utama