IPO

22-JUN-2023

Minox - Pengedar Komponen Keluli Tahan Karat


 


1. Butiran IPO syarikat Minox

2. Latar belakang perniagaan syarikat

Minox merupakan syarikat yang terlibat dalam pengedaran komponen keluli tahan karat termasuk injap, tiub dan kelengkapan, komponen dan peralatan pemasangan dan hos getah di bawah jenama MINOX® dan produk lain yang berkaitan. Produk-produk ini digunakan secara khusus dalam industri makanan dan minuman (F&B), semikonduktor dan farmaseutikal. 

Model perniagaan syarikat Minox adalah seperti berikut:

3. Prestasi kewangan syarikat

Dari tahun 2019 sehingga tahun 2021, syarikat Minox mencatatkan keuntungan walaupun terdapat penurunan dalam pendapatan syarikat. 

Segmen produk tiub dan kelengkapan dan injap merupakan pendapatan utama syarikat yang menyumbang lebih 85% daripada jumlah pendapatan. 

4. Pelanggan utama syarikat

Minox mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan syarikat sehingga tempoh kewangan Jun 2022. Daripada lima pelanggan ini, Kumpulan GEA merupakan pelanggan utama teratas yang mampu menyumbang sehingga 11.8% diikuti dengan Kumpulan Tetra Pak yang konsisten menyumbang sehingga 4.6% kepada pendapatan syarikat. 

5. Penggunaan dana daripada IPO

Dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk pembangunan dan penggunaan produk termasuk kelengkapan vakum dan injap untuk industri semikonduktor, pembinaan gudang untuk mengembangkan kapasiti penyimpanan dan menubuhkan gudang baharu di Singapura untuk menyimpan inventori dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan luar negara. 

Selain itu, ia juga akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan peruntukan modal kerja am untuk menambah dana sedia ada. 

 6. Kelebihan daya saing

Selain mereka mempunyai reputasi yang kukuh dan pelbagai produk sanitari yang memenuhi piawaian antarabangsa, Minox juga mampu untuk mengedar produk mereka di dalam dan luar negara. Produk mereka juga dapat digunakan melalui industri yang pelbagai. Hal ini dapat dilihat melalui rekod prestasi Minox yang baik dengan pelanggan akhir industri selama lebih 24 tahun. Sehingga 30 November 2022, Minox mempunyai pangkalan pelanggan kira-kira 1,300 pelanggan aktif dan berulang, di mana majoriti pelanggan ini datang daripada industri F&B.

7. Strategi perniagaan dan masa depan syarikat

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Minox di pasaran, mereka ingin mengembangkan kepelbagaian produk mereka di bawah jenama mereka sendiri untuk memenuhi keperluan pelanggan dan memperluaskan lagi aktiviti perniagaan mereka untuk produk kelengkapan vakum dan injap yang dipertingkatkan.

Di samping itu, Minox juga berhasrat untuk mengembangkan lagi pasaran mereka dalam industri semikonduktor di Singapura dengan memanfaatkan kos purata yang lebih rendah bagi setiap unit produk sanitari yang dihantar dari Singapura. Berdasarkan kajian mereka, industri ini dapat memberi pertumbuhan yang positif secara keseluruhan. Untuk memastikan strategi ini berjaya, Minox merancang untuk membina gudang baharu di Singapura yang akan memberi kapasiti tambahan untuk menyimpan produk injap dan kelengkapan vakum yang baharu dan menyimpan inventori. Setakat ini, mereka mempunyai tiga gudang di Singapura. 

8. Risiko kebergantungan terhadap pembekal

Syarikat Minox mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pengeluar atau pembekal bagi produk mereka dan tidak mempunyai perjanjian jangka panjang dengan mereka dan ia boleh menimbulkan risiko terhadap operasi perniagaan Minox Tambahan pula, pengeluar atau pembekal mereka bertanggungjawab ke atas sumber bahan mentah iaitu keluli tahan karat. Oleh itu, kenaikan harga bahan mentah akan membawa peningkatan kepada kos pembelian. 

Selain itu, Minox juga tidak mempunyai kontrak jangka panjang dengan pelanggan mereka kerana jualan produk adalah berdasarkan pesanan pembelian dan keperluan. Oleh yang demikian, ia boleh menyumbangkan kepada ketidaktentuan terhadap prestasi kewangan syarikat secara keseluruhan pada masa akan datang. 

9. Perbincangan

Syarikat Minox merupakan syarikat yang terlibat dalam pengedaran produk kelengkapan sanitari di bawah jenama mereka sendiri yang memberi fokus dalam industri F&B, semikonduktor dan farmaseutikal. Walaupun pendapatan syarikat menurun, Minox masih mencatat keuntungan sehingga tahun 2021. Dengan kelebihan daya saing mereka, ia dapat membantu strategi perniagaan mereka untuk mengembangkan pasaran di Singapura. 


< kembali ke laman blog utama