UMUM

18-MAY-2021

Menilai Kebarangkalian Kemuflisan Syarikat dengan Altman Z


 


Altman Z merupakan satu formula yang digunakan untuk mengkaji dan mengukur analisis kebarangkalian sesebuah syarikat akan mengalami muflis dalam masa dua tahun ke hadapan. Model ini telah dicipta dan dikembangkan oleh seorang profesor kewangan Amerika iaitu Edward Altman pada tahun 1967 yang bertujuan mengukur kestabilan kewangan syarikat.

Penilaian Skor Z

indeks altman z

Dalam penilaian ini, Altman Z menggunakan lima nisbah prestasi kewangan yang diukur kepada satu skor. Pengiraan ini akan memberikan satu skor dan menentukan kebarangkalian kemuflisan terhadap sesebuah syarikat. Kebiasaannya apabila semakin rendah skor Z, semakin tinggi syarikat untuk kebarangkalian mengalami kemuflisan.

1.8 ke bawah

Sekiranya pengiraan menunjukkan skor Z kurang daripada 1.8, ia bermaksud syarikat tersebut menghadapi masalah kewangan dan berkemungkinan akan muflis pada masa hadapan.

3 ke atas

Sebaliknya, apabila skor Z lebih daripada 3, secara umum memberitahu syarikat ini mempunyai prestasi kewangan yang memberangsangkan serta berada di zon selamat daripada mengalami muflis.

Antara 1.8 dan 2.99

Manakala, apabila skor Z berada diantara 1.8 dan 2.99 ia bermaksud syarikat itu berada di zon kelabu dan mempunyai kebarangkalian sederhana mengalami tahap muflis.

1.8 atau 1.0

Nilai 1.8 dan ke bawah ini secara umumnya dianggap sebagai skor yang teruk untuk syarikat. Namun, nilai 1 juga boleh diambil untuk menggantikan angka pembawah ini untuk memberi ruang yang lebih besar untuk penilaian zon kelabu ini. Skor yang lebih rendah dari 1, malah mencapai nilai negatif pula boleh dikatakan memang teruk.

Secara ringkas, skor Altman Z ini boleh memberikan sebuah gambaran sekilas tentang kedudukan kewangan sesebuah syarikat sama ada mempunyai kebarangkalian muflis. Namun, skor ini sendiri bukanlah penentu kepada prestasi syarikat. Altman Z merupakan salah satu kajian fundamental dan masih banyak lagi faktor serta indikator lain untuk membuat kajian terhadap prestasi syarikat.

formula skor altman z

Parameter 5 Nisbah Skor Z

A - Modal Kerja / Jumlah Aset

Modal kerja merupakan perbezaan antara aset semasa syarikat dan liabiliti semasa. Nilai terhadap modal kerja syarikat menentukan tahap kestabilan kewangan dalam jangka masa pendek. Modal ini dilaburkan dalam aset semasa syarikat.

B - Retained Earning / Jumlah Aset

Retained Earning bermaksud jumlah pendapatan bersih dalam perniagaan selepas membuat pembayaran dividen kepada pemegang saham.

C - Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) / Jumlah Aset

EBIT merupakan satu ukuran keuntungan syarikat yang merujuk kepada kemampuan syarikat untuk menjana keuntungan daripada operasi syarikat. Nisbah EBIT / Jumlah Aset menunjukkan kemampuan syarikat untuk menjana pendapatan yang menguntungkan, berupaya membiayai pengeluaran operasi dan membuat pembayaran hutang.

D - Nilai Pasaran Ekuiti / Jumlah Liabiliti

Nilai pasaran juga dikenali sebagai market capitalization yang merupakan nilai ekuiti syarikat. Ia diperoleh daripada pergerakan jumlah saham berdasarkan harga saham semasa.

E - Jumlah Jualan / Jumlah Aset

Nisbah ini menunjukkan seberapa banyak keberkesanan pihak pengurusan syarikat menggunakan aset untuk menjana pendapatan. Nisbah penjualan yang tinggi akan menyebabkan pihak pengurusan hanya memerlukan pelaburan yang kecil untuk menghasilkan penjualan. Kesannya, menyebabkan berlakunya peningkatan keuntungan keseluruhan syarikat

Apabila nisbah ini rendah atau menurun pihak pengurusan perlu menggunakan lebih banyak sumber untuk menjana penjualan mencukupi. Kesannya, keuntungan syarikat akan berkurangan.

Tidak mewakili aliran tunai

Sekiranya melihat pada parameter Altman Z tadi, anda mungkin sedar bahawa jumlah tunai dalam tangan tiada dalam pengiraan skor ini. Jadi, syarikat dengan skor Z yang tinggi tidak semestinya mempunyai tunai yang banyak. Oleh itu, jika kita lihat keputusan kewangan yang teruk, tahap tunai yang rendah dan skor Z yang rendah, kita mungkin sedang melihat syarikat yang sedang menghadapi masalah dari segi kewangan.

Fungsi dan Kegunaan

financial ratio z score

Sebagai seorang pelabur, kita boleh menggunakan Altman Z untuk membuat kajian untuk menentukan tahap kebarangkalian kemuflisan sesebuah syarikat. Namun, setiap indikator dan analisis kajian mempunyai faktor kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Penggunaan Altman Z merupakan salah satu panduan sahaja, dan banyak lagi faktor lain yang boleh mempengaruhi pasaran harga saham.

Altman Z bukan sahaja digunakan para pelabur, malah institusi kewangan juga menggunakan formula ini. Penilaian ini penting juga untuk dijadikan salah satu kaedah kepada institusi kewangan untuk memberi pinjaman kewangan kepada sesebuah syarikat.


< kembali ke laman blog utama