UMUM

06-APR-2021

Menilai Harga Syarikat dengan Nisbah PE


 


Dalam pelaburan saham, nisbah PE merupakan satu kriteria yang selalu digunakan untuk menilai harga saham. Dengan kriteria ini, pelabur boleh kenalpasti sama ada sesebuah saham itu didagangkan pada harga yang berpatutan ataupun sebaliknya. Untuk menilai, nisbah PE ini dibandingkan dengan saham yang lain dalam aktiviti perniagaan yang sama. Ini membolehkan saham dibandingkan pada asas yang sama.

Memahami nisbah PE

PE ratio atau nisbah PE menggunakan perbandingan harga saham terhadap Earnings per share (EPS) atau pendapatan bagi setiap unit saham. Ataupun, sama juga sekiranya menggunakan pengiraan Market Capital dibahagikan dengan pendapatan syarikat. Pengiraan ini akan memberikan satu nilai yang relatif antara harga dan pendapatan. PE atau lebih tepat lagi ditulis P/E sendiri bermaksud price-to-earning.

Nombor yang dihasilkan dalam pengiraan nisbah PE ini tak memberikan apa-apa maksud yang begitu bermakna dengan sendirinya. Ianya perlu dibandingkan dengan nombor PE yang lain seperti purata nisbah PE dalam sektor, nisbah PE saham lain dan juga PE sejarah saham itu sendiri. Dari sini barulah kita boleh katakan nilai ini tinggi atau rendah.

pecca financial ratio high pe

Nisbah Tinggi

Nisbah PE yang tinggi boleh menunjukkan sesebuah saham itu didagangkan pada harga yang tinggi berbanding pendapatan yang dihasilkan. Namun, situasi ini boleh terjadi, terutamanya sekiranya saham itu dijangka akan melipatgandakan pendapatan mereka. Dalam situasi ini, pelabur sanggup membeli saham ini pada harga premium kerana optimis terhadap potensi pertumbuhan syarikat.

Walaubagaimanapun, sekiranya jangkaan ini salah dan keputusan kewangan menunjukkan pendapatan di bawah jangkaan, terdapat kemungkinan bahawa harga saham akan jatuh semula mengikut sentimen pasaran. Pelabur akan menilai semula sentimen positif mereka kepada pandangan yang lebih realistik.

Nisbah Rendah

Sebaliknya sekiranya sesebuah saham mempunyai nisbah PE yang rendah, syarikat itu boleh dianggap sebagai saham di bawah nilai. Namun, ia tak semestinya menjadikan nilai PE yang rendah ni satu pilihan yang lebih digemari. Nisbah PE yang rendah juga memberitahu bahawa syarikat ini mempunyai pertumbuhan yang rendah. Pun begitu, nisbah PE yang rendah, diikuti dengan pelaburan berpotensi boleh menjadikan saham ini lebih menarik.

Dengan prospek baru untuk syarikat, kita juga boleh unjurkan PE di masa hadapan untuk menganggarkan harga wajar yang baru.

Trailing dan Forward PE

Bacaan PE yang biasa digunakan untuk harga saham semasa disebut sebagai Trailing PE, atau PE ekoran. Nisbah PE ini dikira berdasarkan 12 bulan laporan kewangan atau QR terbaru. Nilai PE ini akan berubah bergantung kepada pergerakan harga saham. Sekiranya nisbah ini menunjukkan nilai yang tinggi, syarikat perlu tunjukkan prestasi kewangan yang baik untuk laporan kewangan akan datang supaya nisbah ini menjadi wajar.

Nisbah PE hadapan atau Forward PE pula boleh dikira untuk mengunjurkan harga saham di masa akan datang. Caranya adalah dengan menganggarkan pendapatan ke hadapan dan tetapkan nilai PE yang realistik. Pengiraan ini akan memberikan harga saham berdasarkan input yang dimasukkan tadi. Kita boleh lihat di sini bahawa semua angka ini adalah berdasarkan anggaran. Oleh itu, sebuah tanggapan yang berasas perlu dipertimbangkan untuk mendapatkan nilai yang hampir. Ini juga menjadikan satu penilaian itu sukar untuk dianggarkan dengan tepat.

Nisbah PE dengan faktor pertumbuhan

Terdapat satu variasi pengiraan nisbah PE yang boleh mengambil kira pertumbuhan masa hadapan. Variasi ini disebut sebagai price-to-earning-to-growth ratio atau nisbah PEG. Sekiranya nisbah PE memberitahu sama ada syarikat ini didagangkan pada harga yang tinggi atau rendah, nisbah PEG boleh menjustifikasikan nilai ini. Satu pengiraan tambahan akan dibuat selepas pengiraan PE dengan dibahagikan dengan EPS hadapan.

Sekiranya pengiraan menunjukkan nilai kurang daripada 1, ini secara umum memberitahu bahawa saham ini berada di bawah nilai wajar. Sebabnya, harga saham ini didagangkan murah berbanding pendapatan ke hadapan. Sebaliknya, saham mempunyai nilai PEG yang lebih daripada 1 dianggap sebagai murah berbanding pendapatan yang boleh dibuat.


< kembali ke laman blog utama