UMUM

27-AUG-2021

Mengingati Dawn Raid: Peristiwa Perampasan Semula Hak Negara


 


Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, namun negara kita pada waktu itu masih belum mencapai arti 'kemerdekaan' sepenuhnya. Sungguhpun berpijak di bumi sendiri, masih banyak lagi tanah dan perihal ekonomi tempatan berada di bawah kuasa British.

Pada 7 Septembar 1981, London Stock Exchange (LSE) telah dikejutkan dengan satu serangan dalam pengambilalihan syarikat perladangan British iaitu Kumpulan Guthrie Berhad oleh kerajaan Malaysia.

Serangan ini dilakukan dalam masa empat jam sahaja dan dipimpin oleh Tun Dr Mahathir yang pada waktu itu baru sahaja menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat selepas Tun Hussien Onn. Serangan ini dikenali sebagai Serangan Subuh atau Dawn Raid.

Kumpulan Guthrie Berhad

Guthrie merupakan syarikat perladangan British yang tertua dan terbesar di Malaysia pada waktu tersebut. Syarikat ini memiliki tanah-tanah yang besar di Malaysia dan ia juga tersenarai di kedudukan 68 di dalam LSE. Disebabkan polisi Tunku Abdul Rahman yang menggalakkan pelaburan asing, ia telah menyebabkan syarikat Guthrie ini terus berpengaruh walaupun selepas merdeka.

Perihal Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 pada tahun 1981. Tun Dr Mahathir bukanlah berasal dari golongan berada atau berketurunan diraja, tetapi beliau hanyalah seorang rakyat biasa. Disebabkan itu, beliau dikatakan agak berbeza berbanding perdana menteri yang sebelumnya.

Dasar yang dilaksanakan Tun Dr Mahathir ketika itu juga kelihatan anti British. Ini kerana beliau mempromosikan dasar Pandang Ke Timur dan Buy British Last.

Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir. Gambar: New Straits Times

Isu yang ditimbulkan oleh British

Antara sebab rancangan ini dibuat adalah:

1. Penolakan penanaman semula pokok getah

Sungguhpun agensi kerajaan iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 25% di dalam Guthrie, namun banyak cadangan oleh PNB seperti penanaman semula getah untuk membantu petani dan penoreh getah melayu ditolak oleh syarikat tersebut.

2. Tujuan penubuhan Guthrie-Ropel

Atas desakan Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat Guthrie-Ropel telah ditubuhkan khas untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan membeli sebahagian tanah kecil Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Namun, ini hanyalah rancangan licik oleh British kerana tanah-tanah yang dijual itu dikatakan tidak sesuai untuk pertanian dan terletak di kawasan berbukit.

3. Kenaikan yuran pendidikan

Kerajaan British telah menghentikan subsidi pendidikan terhadap pelajar Malaysia di United Kingdom dan telah menaikkan yuran pengajian terhadap pelajar asing. Perkara ini telah menyebabkan pelajar-pelajar Malaysia di sana terkesan. Sebanyak 17,000 orang pelajar Malaysia dibebani yuran pengajian yang mahal. Terdapat juga pelajar yang melaporkan yurannya naik tiga kali ganda dari yuran asal. Justeru itu, berita seperti ini tidak menggembirakan Tun Mahathir kerana Malaysia telah menghantar ramai pelajar ke negara itu.

4. Penolakan hak pendaratan dan pencerobohan ruang udara

Terdapat satu lagi isu yang timbul, iaitu tentang penolakan cadangan terhadap hak pendaratan bagi syarikat penerbangan kebangsaan iaitu Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Heathrow. Tidak lama selepas itu, terdapat pencerobohan di ruang udara antarabangsa Malaysia di Subang oleh kapal supersonik British iaitu Concorde.

Permulaan rancangan

Terdapat beberapa individu lain yang juga tidak berpuas hati dengan British dalam hal Guthrie ini, termasuklah Tun Ismail Ali, iaitu abang ipar kepada Tun Mahathir.

Tun Ismail Ali merupakan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) pada ketika itu. Beliau juga berkongsi pandangan dengan Tun Mahathir iaitu dengan tidak memihak kepada British. Beliau telah mengarahkan untuk memindahkan wang negara keluar dari bank-bank British seperti HSBC dan dimasukkan ke dalam bank tempatan.

Tambahan lagi, bank asing dari British turut disekat untuk membuka cawangan baru di Malaysia. Pada tahun 1981, disebabkan Guthrie telah menjual aset tanpa pengetahuan PNB, Tun Mahathir dan Tun Ismail telah membuat perancangan ambil alih.

Tun Ismail dan Tan Sri Khalid
Tun Ismail Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Gambar: New Straits Times

Tun Ismail kemudian mendapatkan pertolongan Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan pengurus pelaburan di PNB pada ketika itu. Beliau telah diarah untuk merangka sebuah strategi untuk rancangan ini. Antara sebab beliau dipilih adalah kerana beliau pernah bekerja di bawah syarikat Guthrie di London, iaitu Barings. Setelah kajian dijalankan, beliau memberitahu misi ini memerlukan sekurangnya RM 1 bilion (£286 juta) dana dan ianya perlu dilakukan dengan pantas.

Kerajaan Malaysia bersetuju menyediakan peruntukkan tersebut dengan memperoleh dana dari syarikat Petronas, PERNAS dan Amanah Saham Malaysia (ASN). Manakala di England pula terdapat 2 kumpulan yang bersama dengan misi ini iaitu N. M. Rothschild & Sons yang bertanggungjawab untuk meyakinkan syarikat M&G Investment Trust untuk menjual saham Guthrie milik mereka iaitu sebanyak 17%. Selain itu, mereka juga menghubungi syarikat broker saham, Rowe & Pitman untuk memastikan penjualan dan pembelian saham kecil berjalan dengan lancar.

Serangan dimulakan

Setelah semua rancangan disusun, Malaysia mula mengorak langkah. Pada awal pagi 7 September 1981, broker-broker di bawah Rowe & Pitman dikerah untuk membeli semua saham minoriti milik Guthrie yang ada di pasaran. Akhirnya sebanyak 1.6 juta iaitu 5% saham Guthrie dirampas oleh PNB. Pada masa ini saham PNB meningkat kepada 30%, daripada pegangan sebelumnya iaitu 25%. 12% lagi diambil oleh PNB dari syarikat-syarikat di Asia Tenggara. Ekuiti pegangan PNB melonjak naik ke 42%.

Pada waktu rancangan ini berlaku, Tun Ismail berada di Singapura untuk berunding dengan syarikat OCBC. Namun, mereka telah menolak untuk menjual pegangan mereka kepada PNB.

Oleh yang demikian, Tan Sri Khalid telah menghubungi Kuwait Investment untuk menjual 5% saham mereka kepada PNB. Akhirnya, rancangan Tan Sri Khalid berjaya apabila PNB telah memiliki 7995 juta unit saham iaitu 50.4% pegangan saham dan seterusnya menjadikan PNB mempunyai pegangan terbesar di dalam Kumpulan Guthrie Berhad.

Kemenangan kerajaan Malaysia memperoleh kembali Guthrie
Kejayaan kerajaan Malaysia menakluk Guthrie. Gambar: Pixel Play

Serangan ini dilakukan dalam masa 4 jam sahaja. Pengerusi Guthrie iaitu Mark Gent hanya menyedari tentang serangan ini melalui berita di radio. Pengambilalihan ini telah memberi tamparan yang hebat kepada British kerana ia berjaya dilakukan oleh bekas tanah jajahannya.

Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher, telah memberi respon dalam masa beberapa hari selepas serangan ini berlaku dengan mengetatkan undang-undang supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Kebanyakan broker di London telah memuji kerajaan Malaysia di atas rancangan yang licik ini.

Kesan Dawn Raid kepada Malaysia

Selepas beberapa bulan semenjak serangan ini dibuat, saham Guthrie beransur menjadi milik kerajaan Malaysia. Pada penghujung tahun 1981, kesemua saham Guthrie akhirnya berjaya menjadi milik negara.

Kumpulan Guthrie Berhad bergabung dengan Sime Darby
Kumpulan Guthrie Berhad bergabung dengan Sime Darby

Pada tahun 2007, Guthrie telah digabungkan dengan Sime Darby. Kini, nama Guthrie sudah pun tidak ada lagi. Namun strategi yang dirancang oleh tiga orang tokoh ini untuk kembalikan hak negara yang dirampas kekal di dalam sejarah negara.

Rujukan

  1. Recalling The Guthrie Dawn Raid -NST
  2. The ‘Unfinished Business’ of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie ‘Dawn Raid’ - Shakila Yacob

< kembali ke laman blog utama