TEKNIKAL

15-JUN-2020

Mengesan Trend Pergerakan Pasaran


 


Konsep Trend adalah pengetahuan penting dalam pendekatan analisis teknikal. Ada banyak alat dalam analisis teknikal yang boleh membantu untuk mencari sebuah trend saham. Ianya bertujuan untuk memasuki saham dengan trend yang dikenalpasti. Sekiranya memasuki saham uptrend, ada kemungkinan kita akan memasuki saham itu dalam keadaan menaik, begitu juga sebaliknya. Satu pepatah dalam saham yang anda boleh ingat adalah “the trend is your friend”. Maka jadikan trend kawan baik anda.

Bagaimana untuk mengesan trend pasaran?

Secara ringkasnya, trend adalah arah pergerakan sesebuah pasaran atau saham. Saham tidak bergerak dalam satu garis lurus, tapi dalam bentuk zigzag. Dari pergerakan zigzag ini, puncak (peak) dan dasar (trough) akan terbentuk.

ascending and descending peak and trough

Dalam buku analisis teknikal, ada disebut “it is the direction of those peaks and troughs that constitutes market trend”. Maksudnya, nak tahu arah pergerakan pasaran, boleh tengok puncak dan dasar yang berturutan sama ada semakin menaik, menurun atau mendatar. Dari sinilah datangnya terma-terma seperti Higher High Higher Low, Lower High Lower Low dan sideway.

Penjelasan HHHL dan LHLL

Kenaikan dan penurunan puncak dan dasar ini adalah sebuah pernyataan yang agak umum. Untuk lihat corak yang lebih bermakna dan boleh diguna pakai dalam pemerhatian, kita boleh lihat pembentukan Higher High Higher Low atau Lower High Lower Low pada carta saham.

Higher High Higher Low ni agak panjang nak sebut, dan kebiasaannya ia juga dipendekkan sebagai HHHL. Ia adalah sebuah petunjuk uptrend berdasarkan puncak dan dasar yang menaik secara berturutan. Untuk memahami HHHL ni, kita boleh tengok pada pergerakan harga saham.

Dalam saham, sebuah puncak yang dapat dilihat pada carta boleh dipanggil sebagai sebuah High. Sebuah dasar pula disebut sebagai Low. Sepanjang pergerakan saham pula, harga boleh bergerak naik dan turun, dan berulang semula.

uptrend hh hl

Apabila pergerakan menunjukkan sebuah High yang lebih tinggi dari yang sebelumnya, maka saham itu telah membuat Higher High. Daripada kedudukan Higher High ni, saham boleh kembali menurun. Sekiranya penurunan ini berada di paras lebih tinggi dari kedudukan Low tadi, maka ia telah membuat Higher Low. Pergerakan ini secara keseluruhannya disebut sebagai Higher High, Higher Low. Senarai saham yang membuat corak ni boleh dilihat di screener HH HL.

downtrend lh ll

Sebaliknya pula untuk LHLL, sekiranya harga saham bergerak dari sebuah High ke sebuah Low, kita akan menjangka kenaikan semula. Sekiranya kenaikan ini membentuk sebuah High yang lebih rendah dari High sebelumnya, ia membentuk sebuah Lower High. Dari kedudukan ini, saham boleh kembali menurun. Sekiranya kedudukan Low yang baru adalah lebih rendah dari Low sebelumnya, ia membentuk Lower Low. Secara keseluruhannya, saham ini telah membuat corak Lower High, Lower Low.

Waktu untuk beli

Sekiranya anda baru dalam saham, tak digalakkan untuk beli saham yang sedang mengalami corak LHLL sehinggalah berlakunya corak pembalikan (reversal). Sebaiknya, berikan tumpuan kepada saham dengan corak HHHL. Apabila corak HHHL telah terbentuk, anda boleh mula berikan fokus kepada saham-saham ini. Perhatikan sekiranya saham mula naik dari kedudukan Higher Low, maka ia adalah masa yang baik untuk beli.

Cara lain untuk mengesan uptrend

Corak pembentukan HHHL hanyalah salah satu teknik analisis yang boleh digunakan untuk mengesan pergerakan uptrend. Terdapat pelbagai lagi teknik analisis yang boleh digunakan untuk mengesan pergerakan uptrend. Antaranya kaedah ichimoku di atas awan, oscillator, moving average dan lain-lain. Semuanya dapat mengenal pergerakan uptrend dalam cara masing-masing.


< kembali ke laman blog utama