ASAS

11-MAR-2022

Memahami Merger & Acquisition (M&A)


 


Mungkin ada yang dah baca tentang Ancom Berhad telah memuktamadkan pengambilalihan semua asset dan liabiliti Nylex (Malaysia) Berhad dengan pembelian berjumlah RM 179.3 juta yang akan dipenuhi melalui gabungan tunai dan terbitan saham Ancom baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Ancom, melalui penggabungan dengan syarikat Nylex ini membolehkan mereka mendapat rangkaian produk yang lebih luas, faedah sinergi, penjimatan kos syarikat dan sebagainya.

Artikel kali ini akan menerangkan tentang maksud penggabungan dan pengambilalihan (M&A), serta tujuan dan kesan aktiviti M&A dilaksanakan.

Maksud Penggabungan & Pengambilalihan

Mergers atau penggabungan ialah strategi korporat untuk bergabung dengan syarikat lain dan beroperasi sebagai satu entiti yang sah. Penggabungan biasanya bersifat sukarela dan melibatkan syarikat yang mempunyai saiz dan skop yang lebih kurang sama.

Acquisitions atau pengambilalihan pula ialah apabila satu syarikat membeli sebahagian besar atau semua saham syarikat lain untuk mendapatkan pemilikan dan kawalan ke atas syarikat tersebut. Syarikat yang mengambil alih dikenali sebagai pemeroleh (acquirer), manakala syarikat yang diambil alih dikenali sebagai syarikat sasaran (target). Membeli lebih daripada 50% daripada firma sasaran dan aset lain memberikan syarikat pemeroleh tersebut kuasa untuk membuat keputusan mengenai aset baharu yang diperoleh tanpa kebenaran pemegang saham syarikat lain.

Penggabungan dan pengambilalihan

Tujuan penggabungan & pengambilalihan (M&A)

Aktiviti penggabungan dan pengambilalihan berlaku atas pelbagai sebab. Antaranya adalah seperti berikut:

Mewujudkan sinergi

Sinergi ialah konsep yang membolehkan dua atau lebih syarikat bergabung dan mendapat faedah yang lebih besar daripada menjalankan perusahaan mereka secara individu. Melalui penggabungan dan pengambilalihan boleh menghasilkan sinergi seperti pengurangan kos dan peningkatan pendapatan. Sinergi kos boleh terbentuk daripada pelaksanaan skala ekonomi, manakala sinergi pendapatan boleh terhasil daripada penjualan lebih banyak daripada dua syarikat secara berasingan, harga yang lebih tinggi dan pelbagai lagi.

Kuasa pasaran yang lebih kukuh

Dalam penggabungan horizontal, entiti yang terhasil akan memperoleh bahagian pasaran atau market share yang lebih tinggi dan berkemungkinan mendapat kuasa untuk mempengaruhi harga. Penggabungan horizontal di sini merujuk kepada dua syarikat yang beroperasi dalam industri yang sama.

Melalui penggabungan vertical juga menghasilkan kekuatan pasaran yang lebih tinggi. Hal ini kerana syarikat mempunyai kawalan yang besar ke atas rantaian bekalannya di mana secara tak langsung boleh mengelakkan isu bekalan tidak cukup atau terhad. Penggabungan vertical di sini merujuk kepada penggabungan di antara syarikat dengan rantaian bekalannya (pembekal atau pelanggan).

Diversifikasi

Apa jua perniagaan yang dijalankan semestinya tidak lari dengan risiko. Syarikat yang beroperasi dalam industri kitaran (cyclical industries) mungkin merasakan keperluan untuk mempelbagaikan aliran tunai mereka untuk mengurangkan kerugian yang besar semasa kemelesetan dalam industrinya. Oleh itu, dengan memperoleh atau bergabung dengan syarikat yang lain daripada industrinya, boleh mengurangkan risiko pasaran.

Kesan terhadap M&A

Melalui aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) boleh memberikan kesan kepada pelbagai faktor, seperti:

Pengurusan

Pengurusan syarikat akan berubah mengikut persetujuan M&A. Syarikat yang merundingkan penggabungan ini akan mempertimbangkan barisan lembaga pengarah, pasukan pengurusan, unit operasi dan sebagainya.

Pekerja

Dengan pelaksanaan M&A, perubahan akan datang boleh mewujudkan ketidakpastian daripada kalangan pekerja. Pekerja-pekerja akan bimbang tentang perubahan budaya kerja akan datang, pengurusan baharu, kehilangan jawatan dan pelbagai lagi.

Saham syarikat

Reaksi pasaran terhadap aktiviti M&A ini boleh jadi positif atau negatif, bergantung kepada persepsi oleh pelabur tentang perjanjian urus niaga tersebut sama ada penggabungan tersebut memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat atau tidak. Selain itu, dari segi keadaan ekonomi semasa juga boleh memberi kesan kepada syarikat yang bergabung tersebut dari segi prestasi kewangan, dan lain-lain.

Rumusan

Penjelasan di atas adalah penerangan ringkas tentang asas penggabungan dan pengambilalihan (M&A). Melalui aktiviti M&A ini, kedua-dua syarikat boleh mendapat manfaat bersama dari segi sinergi, manfaat kewangan, peningkatan daya saing dan pelbagai. Namun, terdapat juga kesan yang negatif terhadap aktiviti M&A ini yang tidak dapat dielakkan seperti perselisihan faham dalam budaya organisasi, dan lain-lain lagi.

Rujukan


< kembali ke laman blog utama