UMUM

27-NOV-2019

Memahami Bisnes Minyak Kelapa Sawit


 


Kelapa sawit adalah salah satu tanaman yang boleh mengeluarkan minyak sayuran dan ia merupakan tanaman yang penting untuk Malaysia. Industri minyak kelapa sawit di Malaysia adalah yang kedua terbesar selepas Indonesia. Antara pemain utama dalam industri ini adalah Sime Darby, FGV dan KLK yang juga merupakan pemain utama pada peringkat global.

Kelapa sawit sebagai minyak sayuran

Kelapa sawit adalah salah satu tanaman yang ditanam secara komersial untuk mendapatkan minyak sayuran (vegetable oil atau kadang-kala dinamakan edible oil). Antara tanaman lain yang boleh mengeluarkan minyak sayuran ialah kacang soya, jagung, bunga matahari, kacang, zaitun dan sebagainya. Antara tanaman-tanaman ini, kelapa sawit boleh mengeluarkan kadar minyak yang paling tinggi apabila dibandingkan dalam keluasan tanah yang sama.

sawit crop land efficiency Gambar: MPOB

Maka boleh dikatakan penanaman pokok kelapa sawit untuk tujuan komersial adalah lebih mesra alam berbanding tanaman lain yang memerlukan tanah yang lebih luas. Oleh itu, ia juga merupakan minyak makanan yang lebih murah berbanding yang lain.

Tentang Kelapa Sawit

Kelapa sawit yang ditanam sebagai aktiviti komersial diberi nama saintifik Elaeis guineensis - nama yang kita tak mungkin ingat, namun ia membantu kita bezakan jenis kelapa sawit yang dibincangkan. Ia berasal dari Afrika dan boleh mencapai ketinggian 20 meter apabila matang, dan ia tumbuh di garisan ekuator bumi.

Di Malaysia, kawasan utama penanaman pokok kelapa sawit adalah di Sabah, Sarawak dan Johor. Tak kurang juga syarikat Malaysia yang meluaskan kawasan tanaman mereka di Indonesia.

kawasan subur pokok sawit Gambar: RCPO

Pokok kelapa sawit mula berbuah pada tahun ketiga hayatnya dan mempunyai hayat ekonomi antara 20 hingga 30 tahun. Buah yang dihasilkan ini dipanggil tandan buah segar ataupun Fresh Fruit Bunch (FFB) yang boleh diproses untuk mendapatkan minyaknya. Buah sawit ini terdiri daripada isinya (mesocarp) di bahagian luar, dan endocarp di bahagian dalam yang terdiri daripada cangkerang atau shell dan biji yang disebut sebagai kernel.

anatomi buah sawit

Anatomi buah sawit. Gambar: MPOB

Pemprosesan Kelapa Sawit

Proses bermula dengan pemilihan tandan yang berkualiti. Tandan buah atau FFB akan dimasukkan ke dalam pressure vessel untuk dipanaskan. Proses ini boleh capai pelbagai matlamat, antaranya membunuh bakteria, hentikan degradasi buah dan merenggangkan buah daripada tandan. Kemudian, ia dimasukkan ke dalam rotating drum untuk mengasingkan buah daripada tandan.

Buah yang diasingkan akan ditekan dengan mesin screw press untuk dihancurkan. Proses ini akan menghasilkan bentuk isi sawit yang dihancurkan atau dipanggil cake dan kernel. Cake ini akan menjalani proses penulenan untuk mengekstrak minyak sawit mentah atau Crude Palm Oil (CPO).

proses minyak sawit Gambar: IJM Plantation

Minyak sawit mentah ini sedia untuk dijual kepada kilang-kilang penapisan untuk diproses menjadi produk-produk downstream sama ada minyak masak, marjerin dan pelbagai produk ramuan. Antara kegunaan lain yang boleh dihasilkan dari CPO juga adalan biodiesel iaitu bahan bakar untuk enjin berkuasa diesel. Kerajaan di Malaysia dan malah di Indonesia juga telah menetapkan campuran biodiesel dan diesel sebagai mandatori.

Kernel yang diasingkan daripada cake tadi juga boleh diekstrak minyaknya. Minyak ini dinamakan sebagai Crude Palm Kernel Oil atau CPKO. Minyak ini boleh digunakan sebagai bahan untuk pelbagai produk seperti aiskrim, marjerin, coklat, sabun dan sebagainya.

Produk sampingan

Pengasingan buah dari tandan buah sawit akan memberikan tandan kosong sebagai produk sampingan. Tandan buah kosong atau Empty Fruit Bunches (EFB) ini boleh diproses sebagai papan serat (fibreboard) untuk perabot, bahan bakar biomass ataupun baja.

Isi sawit yang dihancurkan atau cake adalah kaya dengan serat dan boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan. Ini juga adalah sama untuk shell dari biji sawit dan juga EFB yang disebut tadi.

Bahagian pokok kelapa sawit yang tak melalui proses penghasilan minyak adalah batang pokok dan pelepah. Batang pokok boleh dijadikan kayu perabot atau arang kayu. Pelepah pula boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan.

Kebergantungan syarikat kepada harga CPO

CPO adalah minyak sawit mentah yang boleh diproses kepada pelbagai produk downstream untuk minyak sawit. Harga CPO memainkan peranan penting kepada pendapatan syarikat yang menjalankan aktiviti melibatkan tanaman sawit. Jika harga CPO menurun, maka pendapatan syarikat akan berkurang. Sebaliknya akan berlaku sekiranya harga CPO menaik.

Pada tahun 2018, harga CPO menunjukkan penurunan yang mendadak menjelang suku keempat. Sebagai akibatnya, banyak syarikat mencatatkan kerugian - atau jika bernasib baik, keuntungan yang berkurang - untuk tahun 2018. Harga CPO pada penghujung 2019 kini menunjukkan peningkatan yang semakin tinggi berbanding tahun lepas. Maka pada trend harga CPO sebegini, ia merupakan waktu yang bagus untuk melihat pada saham yang berteraskan sawit.

Harga CPO Sumber: MPOB

Tanaman Sawit dan Kelestarian Alam

Berita tentang kebakaran hutan bukanlah asing lagi. Hutan dibakar untuk dijadikan tapak tanaman komersial. Ini mengakibatkan ancaman terhadap ekosistem hidupan yang sedia ada, khususnya orang utan, rafflesia dan harimau di rantau ini.

Pada zaman ini, kita dapat lihat pelbagai gerakan antarabangsa yang menggesa supaya alam sekitar dapat dipelihara dalam aktiviti harian syarikat. Dalam skop tanaman kelapa sawit, organisasi antarabangsa yang menjadi barisan hadapan gerakan ini adalah Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO). Semakin banyak syarikat Malaysia yang mendapatkan pensijilan untuk RSPO yang mengikuti panduan kelestarian alam sekitar dalam aktiviti yang dijalankan.


< kembali ke laman blog utama