ASAS

7-FEB-2020

Maksud Simbol dan Warna dalam Platform Trading


 


Trading platform merupakan sebuah perisian yang membolehkan anda membeli atau menjual saham. Di dalamnya disenaraikan kesemua saham yang boleh dijual beli berdasarkan jenis akaun yang anda pilih. Dalam kes kebiasaan, sekiranya anda buka akaun dengan kami, anda akan memegang akaun untuk jual beli saham yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

trading platform quotation Harga saham ditandakan dengan simbol dan warna

Maksud simbol dalam platform trading

Dalam platform trading ini, anda akan jumpa macam-macam simbol dalam ruangan Stock. Semua ini adalah untuk membantu memberikan maklumat yang anda perlu tahu sebelum membuat keputusan pelaburan. Simbol-simbol ini ada yang memberikan maksud pengumuman syarikat, syariah, saham PN17, saham digantung dan sebagainya.

Di bawah ini adalah maksud simbol dalam ruangan Stock.

Symbol Maksud
* Ada berita / pengumuman
o Kaunter syariah
! Kaunter PN17 / PN4 / GN3 , berjaga dengan pengumuman getir
C Tarikh dividen/bonus issue/right issue sudah diumumkan, boleh beli atau pegang saham untuk terima hak pegangan
X Pemberian dividen/bonus issue/right issue sudah berkuat kuasa
F Saham dibeku (Frozen)
S Saham digantung (Suspended)
iR Right click untuk lihat maklumat Investor Relation

Nota berkaitan entitlement

Seperti yang tertulis dalam jadual simbol di atas, terdapat dua simbol yang berkaitan entitlement, iaitu C dan X.

Simbol pertama iaitu C bermaksud Cum Entitlement. Dalam kes ini, suatu keputusan yang melibatkan pegangan saham telah diumumkan. Cum Entitlement bermaksud keputusan ini akan melibatkan pemegang saham sepanjang tempoh ini. Sekiranya anda mula membeli atau memegang saham ini dalam tempoh Cum Entitlement, anda akan menerima hak atas keputusan yang diumumkan. Keputusan ini boleh jadi perkara-perkara seperti share split, bonus issue, dividend dan sebagainya.

Simbol kedua iaitu X bermaksud Ex Entitlement. Ini adalah tarikh di mana keputusan dalam pengumuman di atas tadi berkuatkuasa. Selepas tarikh ini, keputusan ini tidak lagi berkuatkuasa kepada pemegang saham yang baru. Ini bermakna, selepas anda beli atau menjadi pemegang saham selepas tarikh ini, anda tidak akan menerima apa-apa hak berdasarkan perkara yang telah diumumkan tadi.

Maksud warna dalam platform trading

Dari platform trading ini juga, anda akan terjumpa pelbagai warna yang masing-masing membawa maksudnya tersendiri, sama ada dari segi syarikat ataupun harga saham. Maksud-maksud di sebalik warna dalam platform trading ini adala seperti di bawah:

Warna Maksud
Penanda Syarikat
Cyan Pasaran Utama
Magenta Pasaran ACE
Kelabu Digantung (Suspended)
Penanda Harga
Hijau Positif / Peningkatan nilai
Merah Negatif / Penurunan nilai
Putih Statik / Tiada perubahan

Penerangan

Maksud bagi warna untuk saham ini agak lurus kedepan (straight forward) sahaja. Warna hijau, merah dan putih memberikan maksud kepada harga saham. Sekiranya hijau, harga saham meningkat berbanding harga penutup hari sebelumnya. Sekiranya merah bermakna harga menurun, dan sekiranya putih, maksudnya harga saham tiada perubahan berbanding harga penutup hari sebelumnya.

Dari segi maksud kepada syarikat, warna cyan bermakna syarikat tersebut berada dalam pasaran utama. Kalau ditandakan dengan warna magenta, saham tersebut berada dalam pasaran ACE. Sekiranya ditandakan warna kelabu, saham ini digantung.

Ada pelbagai sebab suatu saham itu digantung. Kadang kala dipohon oleh pihak syarikat sendiri sebelum membuat pengumuman besar yang mungkin memberi kesan yang besar kepada pergerakan harga saham. Dalam situasi ini, saham yang digantung tidak boleh didagang sehingga status ini diangkat semula oleh Bursa.


< kembali ke laman blog utama