UMUM

15-MAY-2020

Limit Up dan Limit Down Dalam Pasaran Saham


 


Di kala wabak Covid-19 menjadi tema kehidupan tahun 2020 ini, kesihatan kembali menjadi suatu nikmat yang berharga yang mungkin kita anggap remeh selama ini. Jika kita lihat kebelakangan ini, sektor penjagaan kesihatan juga merupakan sektor yang paling memberangsangkan. Beberapa saham dalam sektor ini mengalami limit up dalam hari yang sama. Apakah yang dimaksudkan dengan limit up? Mari kita baca selanjutnya.

Peraturan had harga

Sebagai penyelia pasaran saham, Bursa perlu tetapkan satu harga had dagangan untuk mengawal pergerakan harga. Had ini terpakai untuk sesebuah hari dagangan, dan sebuah had atas dan bawah ditetapkan berdasarkan harga tutup hari sebelumnya. Pada sesebuah hari, harga saham itu hanya boleh bergerak dalam lingkungan had harga yang ditetapkan tadi.

rocket spaceX

Sekiranya harga saham meningkat ke had atas (upper limit), saham itu disebut sebagai limit up. Sebaliknya pula sekiranya harga menurun ke had bawah (lower limit), ia disebut limit down. Harga tutup pada penghujung hari ini akan digunakan sebagai harga rujukan untuk menetapkan harga had atas dan bawah untuk hari esok pula.

Had atas dan had bawah

Had atas dan bawah dalam Bursa Malaysia ditetapkan berdasarkan kedudukan harga saham. Ketetapan had ini juga berbeza sekiranya saham itu pertama kali tersenarai, iaitu IPO. Had harga ini boleh dilihat seperti di bawah:

Kategori Kedudukan harga Had atas Had Bawah
Saham RM 1 dan ke atas 30% atas harga rujukan 30% bawah harga rujukan
Bawah RM 1 30 sen atas harga rujukan 30 sen bawah harga rujukan
IPO RM 1 dan ke atas 400% atas harga rujukan 30% bawah harga rujukan
Bawah RM 1 400% atas harga rujukan 30 sen bawah harga rujukan

Untuk mencari saham-saham yang menghampiri limit up, anda boleh gunakan screener Limit Up.

Apabila saham mencapai had harga

Apakah yang akan berlaku sekiranya saham mencapai had harga? Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa harga belian atau jualan yang tertinggi boleh dipesan adalah pada had atas. Apa-apa pesanan yang dihantar melebihi harga ini tidak akan diterima dalam platform dagangan.

limit up saham Tiga saham yang mengalami limit up pada hari yang sama

Apabila saham mencapai harga di had atas, tiada lagi harga yang lebih tinggi dari had tadi. Kita boleh anggap saham ini seperti mencapai paras siling, dan hanya boleh bertahan sampai siling, atau kembali menurun dari paras itu. Sebaliknya pula halnya untuk had bawah. Saham mencapai pada paras lantai, dan hanya boleh kekal di situ, atau kembali menaik.

Trend limit up boleh bersambung esoknya

Kejadian limit up ini menunjukkan terdapat banyaknya permintaan terhadap saham itu. Dengan adanya permintaan yang tinggi ini, kadar belian pun meningkat dan harga saham terus naik sehingga ke had atas.

Saham yang mengalami kenaikan seperti ini berpotensi untuk meningkat lagi pada hari berikutnya. Kita boleh bayangkan had atas sebagai penghalang kenaikan. Apabila masuk hari esok, had itu ditetapkan semula di paras yang baru. Maka saham boleh menyambung pergerakan kenaikan.

Seperti biasa, sekiranya sambungan kenaikan boleh berlaku pada saham yang limit up, sebaliknya pula boleh berlaku pada saham yang limit down.


< kembali ke laman blog utama