IPO

25-MAY-2022

LGMS - Meluaskan Segmen Perkhidmatan Keselamatan Siber Melalui Dana IPO


 


Thumbnail

LGMS Berhad merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan keselamatan siber bagi mengatasi serangan siber yang dihadapi oleh organisasi. Butiran IPO syarikat adalah seperti berikut.

Harga IPO:
RM 0.50
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
ACE
Permodalan pasaran:
RM 228 juta
Nisbah PE:
11.04
Permohonan ditutup:
26 Mei 2022
Cabutan saham:
30 Mei 2022
Tarikh penyenaraian:
8 Jun 2022

Bisnes LGMS Berhad

LGMS Berhad terlibat dalam perkhidmatan keselamatan bagi memenuhi permintaan untuk perlindungan keselamatan siber. Kepakaran utama mereka adalah menyediakan perkhidmatan pencegahan risiko siber, pematuhan dan pengurusan risiko siber, ancaman siber dan perkhidmatan tindak balas insiden terhadap syarikat teknologi, kewangan dan telekomunikasi.

Berikut adalah butiran aktiviti utama bisnes yang dijalankan oleh LGMS Berhad:

Aktiviti utama bisnes LGMS Berhad
Sumber: Prospektus

LGMS Berhad menyediakan perkhidmatan profesional keselamatan siber terutamanya di Malaysia. Bukan itu sahaja, LGMS juga menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang berpangkalan di negara-negara Asia Tenggara antaranya adalah Singapore, Brunei, Cambodia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Selain negara Asia Tenggara pula adalah Jepun, Kanada, Maldives, Belanda, New Zealand, Australia, Arab Saudi, Perancis dan Amerika Syarikat.

Kesan COVID-19 Terhadap Bisnes

Akibat pandemik COVID-19, beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan sepanjang tahun 2020 hingga 2021 oleh kerajaan. PKP telah menjejaskan operasi perniagaan LGMS apabila berlaku pengurangan dalam prospek pelanggan dan aktiviti perniagaan pelanggan sedia ada juga semakin perlahan. Ini telah mengakibatkan penurunan ketara dalam perkhidmatan LGMS kerana pelanggan mengurangkan perbelanjaan untuk IT dan keselamatan siber.

PKP juga telah memberi kesan negatif ke atas kewangan syarikat dengan mengalami penurunan pendapatan daripada pasaran tempatan sebanyak RM 0.92 juta atau 5.30% disebabkan pelaksanaan projek keselamatan siber yang perlahan pada FYE 2020. Namun begitu, LGMS menjangkakan permintaan untuk perkhidmatan keselamatn siber akan meningkat dengan peningkatan trend pengaturan kerja jarak jauh selepas PKP.

Prestasi kewangan

Secara keseluruhan, LGMS Berhad telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam pendapatan dan keuntungan daripada tahun 2018 hingga 2021. LGMS Berhad telah mengalami kenaikan pendapatan semenjak FYE 2018 iaitu daripada RM 17.39 juta menjadi RM 20.56 juta pada FYE 2019. Tahun 2021 pula LGMS Berhad telah merekodkan pendapatan yang tertinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM 28.26 juta berbanding FYE 2020 sebanyak RM 20.65 juta.

Sekalipun LGMS mengalami pengurangan perkhidmatan dan aktiviti perniagaan pelanggan menjadi perlahan akibat PKP, prestasi kewangan syarikat LGMS menunjukkan peningkatan yang baik dan tidak terjejas. Tahun 2021, berlaku peningkatan yang ketara apabila kebanyakan syarikat sudah memulakan mod kerja dari rumah dan permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber juga meningkat.

Prestasi Kewangan LGMS Berhad Setakat Tahun Kewangan Disember 2021
Prestasi kewangan LGMS Berhad

Pendapatan yang diperoleh LGMS Berhad melalui segmen perniagaannya dibahagikan kepada tiga, iaitu melalui perkhidmatan pencegahan risiko siber, pematuhan dan pengurusan risiko siber dan perkhidmatan ancaman siber dan tindak balas insiden. Penyumbang utama bagi pendapatan syarikat LGMS adalah daripada perkhidmatan pencegahan risiko siber.

Pada FYE 2021, perkhidmatan pencegahan risiko siber telah menyumbang sebanyak RM 16.10 juta (58.81%), berbanding pematuhan dan pengurusan risiko siber sebanyak RM 8.15 juta (28.83%) dan perkhidmatan ancaman siber dan tindak balas insiden sebanyak RM 3.5 juta.

Pendapatan LGMS Berhad Mengikut Segmen
Pendapatan mengikut segmen

Secara keseluruhan, ketiga-tiga segmen ini telah menunjukkan peningkatan yang baik daripada FYE 2018 hingga FYE 2021 dan pendapatan syarikat lebih banyak diperoleh daripada segmen perkhidmatan pencegahan risiko siber.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari penyenaraian IPO iaitu sebanyak RM45.7 juta akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

Dana Nilai (juta) Peratusan %
Pembelian pejabat 18.0 39.39
Perluasan tenaga kerja 6.5 14.22
Perbelanjaan modal untuk peralatan IT dan alatan perisian 6.0 13.13
Perluasan perniagaan yang strategik 7.7 16.85
Modal kerja 3.5 7.66
Perbelanjaan penyenaraian 4.0 8.75
Jumlah 45.7 100.0

Mengikut jadual di atas, majoriti dana yang diperoleh daripada penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk pembelian premis pejabat bahari di Klang Valley untuk menyokong pangkalan pelanggan yang semakin meningkat iaitu sebanyak RM 18 juta mewakili 39.39% daripada jumlah dana IPO tersebut. Selain itu, RM 6.5 juta bersamaan 14.42% akan digunakan untuk meluaskan tenaga kerja dengan membiayai gaji kakitangan 70 rekrut teknikal baharu dan kos latihan dan pensijilan yang berkaitan untuk meningkatkan kemahiran teknikal.

Tambahan, perbelanjaan modal untuk peralatan IT dan alatan perisian juga diperuntukkan sebanyak RM 6 juta mewakili 13.13% bagi pusat latihan dan makmal baharu. RM 7 juta bersamaan 16.85% daripada dana tersebut pula akan digunakan untuk perluasan perniagaan yang strategik dengan menubuhkan cawangan baru di Singapura dan membiayai usaha sama atau hubungan dengan rakan kongsi tempatan di Vietnam dan Kemboja. Tawaran IPO ini juga dapat memberikan RM 3.5 juta sebagai modal kerja kerpada syarikat dan baki selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Analisis bisnes dan industri LGMS Berhad

LGMS ialah penyedia bebas perkhidmatan keselamatn siber profesional yang mengkhusus dalam penilaian keselamatan siber dan ujian penembusan, pematuhan dan pengurusan risiko siber, serta penyediaan forensik digital dan perkhidmatan tindak balas insiden. Keselamatn siber menjadi lebih penting apabila teknologi berkembang dan internet digunakan secara meluas pada pelbagai platform, serta peningkatan infrastruktur cloud, pusat data dan telefon pintar.

Industri keselamatan siber

Keselamatan siber merujuk kepada teknologi atau perisian yang digunakan untuk melindungan seseorang, firma, organisasi atau sistem maklumat dan infrastruktur negara daripada jenayah dan serangan berasaskan internet. Industri keselamatan siber berkembang untuk memerangi kecanggihan jenayah siber yang semakin meningkat. Keselamatan siber meliputi tugas pencegahan, detektif dan pemulihan.

Industri keselamatan siber boleh dibahagikan mengikut beberapa kategori seperti berikut:

Cybersecurity Market
Sumber: Prospektus

Berdasarkan rajah di atas, keselamatan siber boleh dibahagikan kepada 5 kategori. Syarikat LGMS lebih banyak terlibat dengan endpoint security, data security, network security, cloud security dan lain lain bagi melindungi data digital dan rangkaian komputer. Selain itu, LGMS juga terlibat dalam perkhidmatan profesional dan menjalankan aktiviti keselamatan siber di premis klien dan cloud.

Prestasi industri

Menurut laporan IMR, industri keselamatan siber Malaysia semakin berkembang dengan pesat apabila Malaysia telah menduduki tempat kelima di peringkat global bersama Persekutuan Rusia dan Emiriah Arab Bersatu dan kedua di rantau Asia Pasifik dalam Indeks Keselamatan Siber Global ITU 2020, dengan skor 98.06 daripada 100.00. Justeru, industri keselamatan siber Malaysia telah berkembang daripada RM 2.92 billion pada tahun 2020 kepada RM 3.33 billion pada tahun 2021.

Historical size and growth forecast of the cybersecurity market in Malaysia, 2019 - 2026

Sejarah dan ramalan pertumbuhan syarikat

Memandangkan lockdown berlaku semasa wabak COVID-19 menyerang, ini mengakibatkan permintaan untuk perkhidmatan digital melonjak. Teknologi digital baharu seperti 5G, serta pengembangan perusahaan yang diterajui teknologi seperti fintech, dijangka meningkatkan ekonomi digital dan meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan keselamatan siber. Perniagaan keselamatan siber tempatan dijangka berkembang sebanyak 13.7% kepada 14.0% daripada tahun 2022 hingga 2026 apabila ekonomi Malaysia meneruskan transformasi digitalnya. Perniagaan keselamatan siber Malaysia diramalkan bernilai RM 6.36 billion menjelang 2026, dengan CAGR 13.9%.

Persaingan

LGMS ialah sebuah syarikat penyedia bebas di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan keselamatn siber profesional yang mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan teknikal, terutamanya dalam bidang penilaian kelamahan dan ujian penembusan.

Antara pesaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan LGMS terdiri daripada syarikat tempatan dan asing telah disenaraikan dalam prospektus seperti berikut:

Cybersecurity Market Players
Sumber: Prospektus

Data di atas hanya digunakan sebagai petunjuk dan perniagaannya tidak boleh dianggap setanding secara lansung dengan LGMS kerana tidak semua syarikat mempunyai FYE yang sama, menjalankan operasi yang serupa sepenuhnya dan beroperasi di kawasan geografi yang sama.

LGMS Berhad telah memperoleh pendapatan sebanyak RM 28.26 juta bersamaan dengan 0.8% bahagian daripada pasaran keselamatan siber di Malaysia yang berjumlah RM 3.33 billion pada tahun 2021. Ini merangkumi sumbangan hasil oleh peserta pasaran keselamatan siber tempatan dan asing daripada kesemua 5 kategori iaitu component, type, solution, service dan rollout.

Perbincangan

Melihat kepada permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber yang semakin meningkat, ini dapat memberi kesan positif terhadap prospek industri keselamatan siber Malaysia. Wabak COVID-19 dan lockdown telah meningkatkan penggunaan internet dan penggunaan medium digital sekaligus telah membuka jalan untuk potensi permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber.

LGMS juga telah menunjukkan pendapatan yang meningkat secara konsisten daripada FYE 2018 hingga FYE 2021 walaupun berlaku sedikit pengurangan pelanggan ketika syarikat yang lain terpaksa berhenti operasi seketika akibat pandemik COVID-19. Namun begitu, perniagaan LGMS tidak terlalu terjejas kerana pendapatan tersebut juga lebih banyak diperoleh daripada segmen pencegahan risiko siber hasil daripada perkhidmatan penilaian. Peningkatan pendapatan tersebut hasil daripada permintaan untuk perkhidmatan penilaian daripada pelanggan baharu yang beroperasi terutamanya industri teknologi dan perkhidmatan kewangan.

Hasil dana daripada penyenaraian IPO ini akan digunakan untuk membeli pejabat baharu, memandangkan pelanggan yang semakin meningkat dan merancang untuk mengembangkan perniagaan melalui penambahan tenaga kerja serta meningkatkan kapasiti teknikal melalui penubuhan makmal baharu. Namun, syarikat LGMS perlu memainkan peranan penting untuk membuktikan keberkesanan segala rancangan dan strategi mereka selepas penyenaraian di Bursa Malaysia.


< kembali ke laman blog utama