UMUM

8-MAY-2020

GDEX - Perbincangan Landskap Pengangkutan dan Kemungkinan Krisis Baru


 


Perkhidmatan penghantaran merupakan salah satu perkhidmatan keperluan yang dibenarkan beroperasi sewaktu PKP berlangsung di Malaysia. Dalam sesuatu perniagaan, jika barang tidak sampai kepada pelanggan, maka urusan perniagaan itu tidak lagi selesai. Kali ni, kami akan berkongsi sebuah perbincangan radio BFM dan CEO kepada syarikat penghantaran GDEX, Teong Teck Lean.

1. Perubahan prospek permintaan

60% dari pendapatan GDEX datangnya dari perkhidmatan B2B iaitu bisnes ke bisnes. Pada minggu pertama PKP berjalan, mereka memerhatikan pengurangan sehingga 70% daripada aktiviti ini. Dalam minggu itu juga, kebanyakan perniagaan menyesuaikan operasi mereka ke arah e-dagang. Minggu seterusnya melihatkan peningkatan aktiviti sehingga 50% lebih daripada biasa.

gdex lorry

Dalam waktu terbaharu ini, mereka memerhatikan peningkatan dalam segmen C2C pula iaitu penghantaran dari individu. Segmen ini dijelaskan sebagai perubahan terkini dengan jualan secara online melalui media sosial terutamanya oleh "influencer". Trend ini dilihat semakin meningkat dengan peningkatan yang kuat. Marjin keuntungan untuk segmen ini juga adalah sihat kerana persaingan harga tidak sehebat segmen B2B.

2. Covid-19 mungkin hanya permulaan krisis

malaysia twin tower Gambar: Zukiman Mohamad

Apabila ditanya tentang persiapan menjelang PKP, Teong mengatakan mereka sedang persiapkan diri lebih jauh untuk krisis yang mungkin akan tiba setelah Covid-19 ini. GDEX kini sedang memperkukuhkan kedudukan kewangan dengan mengekalkan simpanan tunai.

Katanya, Covid-19 ini mungkin hanya permulaan krisis. Selepas ini, terdapat kemungkinan syarikat-syarikat menghadapi masalah hutang tak berbayar akibat kekurangan pendapatan syarikat. Sejauh mana krisis yang akan timbul selepas ini pula tak diketahui. Namun, beliau membangkitkan situasi semasa di mana 90% negara membangun telah pun meminta bantuan kewangan dari IMF untuk menghadapi cabaran pandemik ini.

3. Pengurusan kos untuk menggagahkan syarikat

Teong menyatakan bahawa GDEX tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk membuang pekerja. Dari segi perniagaan, mereka juga mempunyai permintaan baru untuk penghantaran ikan segar. Mereka merancang untuk memanfaatkan pekerja mereka sepenuhnya supaya tiada yang dibuang, dan dalam masa yang sama, tidak perlu mengambil pekerja baru.

4. Peluang yang mungkin ada selepas ini

Dari segi pelaburan perniagaan, Teong menyatakan bahawa tahun 2020 tak berikan peluang yang banyak. Buat masa ini, syarikat dalam kedudukan berjaga-jaga dari berbelanja untuk membina simpanan tunai. Namun, peluang ini mungkin lebih cerah pada tahun 2021 hingga 2022. Pada waktu ini barulah keyakinan untuk meluaskan pelaburan itu lebih kuat.

5. Kesan Covid terhadap syarikat

Covid bukanlah suatu yang bagus untuk dilalui. Namun dalam melalui cabaran ini, syarikat mula menyedari bahawa terdapat banyak lagi tindakan yang boleh diambil untuk memperkasakan syarikat. Ini bukanlah suatu yang unik terhadap GDEX sahaja, tapi juga benar untuk kebanyakan syarikat.

gdex parcel scan

Sebelum ini, mungkin terdapat beberapa pelaburan yang telah dibuat untuk membina sesebuah sistem. Namun, dengan tamparan Covid-19, syarikat mula melakukan tindakan drastik untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi yang dilanda kini.


< kembali ke laman blog utama